Menjiwai Semangat Korban Dalam Harakah  

Posted by zizane62 in

Alhamdulillah kita telah melalui satu lagi hari besar dalam kalendar umat Islam, Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidil Adha. Tidak perlu dihuraikan dengan lebih lanjut tentang peristiwa besar yang berlaku tetapi marilah kita bersama-sama menjiwai hikmah di sebalik peristiwa besar itu.


Saya ingin melihat dalam konteks yang lebih kecil iaitu apabila kita mengaitkan semangat korban ini dalam gerakan kita. Masih banyak kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki dan ditegur dalam menghayati budaya korban dalam gerakan. Apalah gunanya kita menghadiri usrah beribu-ribu kali sekiranya semangat, ruh dan isi usrah itu gagal kita terjemahkan dalam bentuk perlaksanaan.

Seringkali di dalam usrah kita mendengar para naqib @ naqibah mengingatkan tentang pentingnya kita bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Memahami bahawa dengan kerjasama dan pengorbananlah yang dapat memberikan kita kekuatan.


Saya ambil satu contoh mudah berdasarkan kepada pemerhatian dan PENGALAMAN yang tidak dapat dijual beli. Apabila menaiki sebuah kereta ke sesuatu tempat (mungkin nak ke usrah atau ke tempat program dan sebagainya), penumpang biasanya akan buat 'dek' bila nak isi minyak atau buat-buat tak tahu bila sampai 'part' minyak. Yang dia tahu, ada orang ambil dan hantar balik. Dah lah kawan (driver) tak bekerja (student jugak) dan sengkek, keta penuh 4-5 orang. Orang yang diambil pulak tinggal merata-rata tempat. Kalau kawan dah bekerja @ anak orang kaya @ dia sendiri memang kaya lainlah ceritanya.

Jadi di mana semangat pengorbanan di sini? Kan elok kalau setiap kali kita menumpang, kita faham-fahamlah, buat 'collection' RM2 seorang ke, kalau ada 5 tubuh dalam keta kan dah RM10. Lepas duit minyak. Kalau sebulan baru RM8. Kalau semua buat tak tahu, kawan kita yang 'drive' tu kena 'spend' RM40 sebulan. Itulah yang menyebabkan sesetengah kawan-kawan kita ni merungut dan ada yang dah tinggalkan kita.

Dan kita pun tak boleh nak salahkan mereka dengan mempersoalkan di mana semangat pengorbanan mereka. Yang kita pulak bagaimana? Nak tumpang tapi semua nak 'free'. Tak aci lah macam tu. Kawan kita pulak dah 'korban'kan kereta dan ego untuk jadi driver.

Satu lagi bila kita dah agak senior dalam gerakan ni, kita kena pandai cari inisiatif lain. Taklah sepanjang masa nak bergantung pada orang tu saja. Dalam gerakan ni, kita nak belajar supaya jadi lebih dewasa. Kalau ingin didodoikan macam bayi, baik balik rumah tido.

Saya fikir mungkin perkara ini perlu diberi penekanan yang lebih, baik dalam ABIM, PERKEPIS ataupun ABM sendiri. Sebab ini melibatkan soal pembentukan tarbiyah. Apabila semua punya rasa pengorbanan yang tinggi, semua perkara akan jadi mudah. Teringat pulak lagu dalam rancangan kanak-kanak Wonderpet yang berbunyi 'kami tak besar dan kami tak kuat bila bekerjasama semua jadi mudah'.


Semoga perkara ini tidak dipandang sebelah mata kerana banyak jiwa yang telah ter'korban' disebabkan perkara 'kecil' ini. Dan semoga kita semua mangambil manfaat bersama dalam melalui jalan dakwah yang berliku-liku ini.

Yang Syubhat Dalam Multi Level Marketing  

Posted by zizane62 in

Semakin banyak kini perniagaan yang berteraskan kepada MLM wujud di negara kita. Semua pihak berlumba-lumba untuk membuka syarikat MLM dan menjadi kaya.

Saya pasti kepada sesiapa yang pernah menyertai MLM tahu bagaimana MLM itu bergerak. Dengan pelbagai kata-kata manis, MLM menjanjikan seribu satu kesenangan kepada pengedar atau ahli-ahlinya yang berusaha. Saya tidak nafikan sememangnya MLM mampu merubah kehidupan seseorang tetapi merubah yang bagaimana. Setiap ketika bercakap soal nak jadi kaya. Kalau boleh seisi dunia ini dia nak dapat.

Alangkah baiknya apabila dalam setiap urusan kita mendahulukan pandangan agama. Kalau dengan menjadi kaya kita meninggalkan solat, bergaul tanpa batas, lupa pada tanggungjawab sebenarnya lebih baik ditinggalkan niat tersebut.

Rajin-rajinkanlah merujuk dalam membuat sesuatu. Di sini saya sertakan 'link' ke satu perbahasan tentang isu MLM yang dikupas oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Mudah-mudahan sedikit-sebanyak akan membantu umat Islam di luar sana.

http://www.zaharuddin.net/content/view/567/100/


http://www.zaharuddin.net/content/view/222/100/

Di sini saya petik sebahagian daripada hujah yang dinyatakan tentang syubhat dalam sistem MLM.

"Jualan target sebagai syarat komisyen : Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target jualan tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target' tersebut maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak. Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka menjadi bermasalah dari sudut Shariah kerana wujudnya unsur kezaliman terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat dengan syarat yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan "Anda mesti membeli atau mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda".

Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti ‘brokerage fee') sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi'en seperti Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato' Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha'ie dan ramai lagi (Sohih Al-Bukhari ; Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 ). Bagaimanapun, komisyen dalam hal MLM dan system piramdi ini boleh bertukar menjadi haram apabila :-

* Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan olehnya, ia menimbulkan masalah dari sudut Shariah seperti unsur pemaksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian.

* Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angina tanpa sebarang kerja dan usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas broker di atas briker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal berbilangnya rantaian komsiyen broker ini, menurut perbincangan saya bersama Syeikh Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama dalam bidang kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks memakan harta orang lain dengan bathil selain terdapat unsur judi. Ini adalah kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan samada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.

* Dari sudut yang lain, terdapat juga keraguan dalam isu pemberian komisyen di atas usaha dan tugas agen (wakil penjual) atau "brokerage" (tukang kempen). Ini kerana sepatutnya komisyen ke atas "brokerage" tidak harus mensyaratkan tukang kempen itu untuk membeli untuk diri sendiri sebagaimana yang berlaku dalam beberapa jenis MLM. Sesetengahnya pula mensyaratkan ‘broker' atau ‘agen' untuk menjual sendiri sebanyak sekian jumlah bagi memperolehi komisyen jualan broker (ahli) di bawahnya. Dengan sebab-sebab ini, hal ‘broker' atau ‘agen' menjadi syubhah dan tidak lagi benar ianya disifatkan sebagai komisyen wakil atau broker yang diterima Islam."

Perkhidmatan Pra Audit ANGKASA  

Posted by zizane62 in

Semalam genaplah 2 bulan aku bertugas sebagai Pegawai Pra Audit di ANGKASA Sarawak. Berbanding dengan pekerjaan-pekerjaan sebelumnya, pengalaman kali ini jauh bezanya kerana bidang tugasku memerlukan aku merantau ke seluruh ceruk tanah Bumi Kenyalang untuk memberikan khidmat nasihat pengurusan perakaunan kepada koperasi ahli ANGKASA.

(Gambar atas: Bersama Penolong Pegawai dari kanan Puan Kasmarita Kaseh dan Puan Arliza Rosli)

Dalam tempoh ini, bermacam-macam tempat telah aku pergi dan banyak lagi tempat-tempat yang perlu aku pergi. Tempat yang telah aku pergi termasuklah Serian, Sri Aman, Sarikei, Paloh, Tanjung Manis, Rajang dan Sibu. Minggu hadapan aku perlu ke Mukah dan pada awal bulan Januari kelak perjalananku akan diteruskan ke Ba'kelalan.

(Gambar atas: Bot ekspres ke Paloh bergerak jam 12.00 tengahari mengambil masa 3 jam 30 minit dari bandar Sarikei. Perjalanan dari Paloh ke Sarikei pula pukul 4 pagi)

Perkhidmatan Pra Audit yang disediakan oleh ANGKASA adalah KHIDMAT PERCUMA kepada koperasi-koperasi yang menjadi ahli ANGKASA. Koperasi yang menjadi ingin menjadi ahli ANGKASA hanya perlu membayar yuran RM100. Pra Audit membantu pihak koperasi ahli menyediakan rekod perakaunan dengan betul dan lengkap (sehingga ke Penyata Akhir Kewangan) sebelum akaun tersebut diserahkan kepada pihak juruaudit untuk diaudit. Selagi ada koperasi ahli yang memerlukan khidmat ini walau di mana pun lokasinya, Unit Pra Audit akan ditugaskan ke sana dan pihak koperasi tidak dikenakan sebarang bayaran, semuanya percuma.

(Gambar atas: Kawan-kawanku dari kiri Hj Bujang (67 tahun) dan Cikgu Haji Yusof (76 tahun), koperator yang banyak membantu semasa di Sarikei. Walaupun berusia tapi jiwa berkoperator masih muda!)

Alhamdulillah, walaupun agak letih melalui perjalanan demi perjalanan, suasana baru ini mendorongku untuk mengenali dengan lebih dekat bumi Sarawak dan masyarakatnya yang berbeza bahasa, budaya dan kepercayaan.


(Gambar atas: Bersama Ahli Lembaga Koperasi Wanita Rajang di Pelabuhan Tanjung Manis)

Pendapat Tun Dr. M selepas kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim  

Posted by zizane62


Sedikit petikan ulasan Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ibu segala pilihanraya kecil baru-baru ini. Dipetik daripada Berita Harian online 28 Ogos 2008.

Adakah satu pengiktirafan atau sindiran? Anda baca dan buat penilaian sendiri...

Dr Mahathir diminta mengulas kemungkinan Anwar akan dapat membentuk kerajaan baru menjelang 16 September ini seperti yang diuar-uarkan sejak pakatan pembangkang menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum Mac lalu.

Anwar sebelum ini beberapa kali mendakwa 30 Ahli Parlimen BN akan menyertai pembangkang bagi membolehkan beliau membentuk kerajaan baru selepas kembali ke Parlimen.

Ditanya senario politik selepas Anwar kembali ke Dewan Rakyat sebagai Ketua Pembangkang, Dr Mahathir berkata, Anwar akan menyukarkan lagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri bukan tandingan Penasihat PKR itu yang petah berbicara.

Beliau berkata, Anwar akan membangkitkan pelbagai isu dan desakan dan Abdullah akan sentiasa terpaksa mengalah.

"Beliau adalah seseorang yang dapat meyakinkan malah iblis pun mampu menurut beliau. BN akan menghadapi masa yang sukar," katanya.


Yang pastinya, senario politik semasa akan menampakkan suasana baru. Ahli-ahli parlimen Barisan Nasional pastinya akan lebih berjaga-jaga dengan kehadiran tetamu yang sememangnya tidak ingin diundang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kita Khalifah  

Posted by zizane62 in


Bermula dengan kesibukan menguruskan peperiksaan pertengahan semester di kolej sehinggalah menghadiri muktamar Abim Kebangsaan di Paroi, Negeri Sembilan, tumpuanku untuk mengemaskini blog agak terjejas.

Memang banyak peristiwa semasa yang ingin aku kongsikan buah fikirku. Dari sukan hinggalah politik, rasanya semua nak bagi komen. Ada setuju, tak setuju, sokong, tak sokong dan macam-macam lagi.

Cuma kali ini aku masih belum bersedia untuk berkongsi semua sekali. Akalku masih dalam kondisi yang kurang bertenaga untuk meluahkan buah fikir. Antara ciri pemimpin yang baik adalah pemimpin yang tidak membuat keputusan dalam keadaan emosi yang tidak stabil.

Insya-Allah, 'posting'ku seterusnya akan menyusul.

Rehat hujung minggu, mensyukuri nikmat Ilahi  

Posted by zizane62 in


Sekali sebulan meluangkan masa hujung minggu di kampung halaman isteriku memang sesuatu yang amat menyenangkan. Walaupun tidak lama (tak sampai pun 24 jam) tetapi suasananya yang harmoni cukup untuk merehatkan fizikal dan mindaku yang tidak berhenti bergerak sepanjang minggu dari urusan pekerjaan sehingga tanggungjawab kepada umat.

Terletak di antara Simunjan dan Kota Samarahan, pekan Sebuyau masih lagi jauh dari kebingitan bandar yang menyesakkan. Walaupun penghuninya rata-rata sudah berkereta, masih tidak mengurangkan kenyamanan beristirehat di sini. Anginnya sejuk, udaranya segar. Mungkin kerana lokasinya di pesisir laut dan di kelilingi suasana kehijauan.

Dalam menikmati nyamannya udara petang, teringatku firman Allah SWT seperti dinukilkan dalam Surah Ar-Rum ayat 22-25;

22 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Dia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.

23 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahanNya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).

24 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Dia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.

25 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Dia menyeru kamu dengan satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta-merta keluar (dari kubur masing-masing).

Semoga umat Islam akan terus menjadi insan yang bersyukur di atas nikmat yang tidak terhingga ini.

Makluman:
Dalam kesempatan ini, tahniah diucapkan kepada Saudara Isman Hadi Jaafar dan isteri yang telah selamat menimang cahaya mata pertama (baby boy) 5 hari lepas. Semoga terus dimurahkan rezeki.

Rasulullah SAW di dalam Kitab Hindu dan Buddha  

Posted by zizane62 in


Umat Islam masih ramai yang tidak tahu sebenarnya di dalam Kitab Hindu dan Buddha terdapat kisah tentang Nabi Muhammad SAW.

Sungguhpun tidak dinyatakan di dalam Al-Quran tentang pengiktirafan kitab-kitab ini sebagai Kitab Allah, Dr. Jamal Badawi, Pengarah Pusat Islam di Halifax, Canada yang juga Ahli Majlis Fekah Jawatankuasa Persatuan Islam Amerika Utara (ISNA) berpendapat tidak mustahil ianya datang daripada Allah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan Kami mengutuskan rasul-rasul yang Kami kisahkan tentang mereka kepadamu dahulu, dan rasul-rasul yang tidak Kami kisahkan tentang mereka kepadamu." (An-Nisa'; 46).

Seorang pakar bahasa Sanskrit daripada Universiti Prayag, Dr. Ved Prakash Upaddhayaya merumuskan, Nabi Muhammad SAW disebut dalam Vedas dan Purana dengan empat nama dan gelaran.

Nama/gelaran

Maksud

Narashangsa

Yang Terpuji

Antim Rishi

Utusan Terakhir

Kalki Avatar

Utusan Akhir Zaman

Mamaha dan Ahamiddhi

Muhammad dan Ahmad








Yang Terpuji adalah selari dengan maksud Muhammad. Di dalam Atharvaveda 20:127:2 ada menjelaskan bahawa Narashangsa akan mengenderai unta dan mempunyai 12 isteri. Ini juga selari dengan sifat-sifat Rasulullah SAW.

Dalam kitab agama Buddha, Gautama Buddha pernah mengingatkan anak muridnya , Ananda, tentang Buddha akhir zaman yang digelar 'Maireya' yang bermaksud 'Pembawa Rahmat'. Ini juga selari dengan peranan Rasulullah SAW yang disebut dalam surah Al-Anbiya(21:ayat 107) sebagai 'pembawa rahmat bagi seluruh alam'.

Da'ie (pendakwah) pada masa kini perlu untuk mendalami tentang perihal Rasulullah SAW. Keperibadian dan keunggulan Baginda perlu untuk disampaikan kepada sekelian umat manusia.

ABIM Sarawak's blog  

Posted by zizane62 in


I would like to response to one of the reader's comment to my previous posting.

As mentioned in my blog, any comment, criticize and opinion publish in my blog is not representing ABIM Sarawak's official stand or announcement unless it is stated so.

For the readers information, ABIM Sarawak is in progress of establishing its own blog in order to convey ABIM's opinions and activities regarding the progression of dakwah in Sarawak and to get the Sarawakians get to know ABIM better.

For the time being, any announcements from ABIM Sarawak will be publish through my blog. As ABIM Sarawak's blog is ready for activation, I will let the readers informed.


Wan Azizan b. Hj Wan Zainal Abidin
State Secretary
ABIM Sarawak
2008-09

Muktamar Sanawi ABIM Sarawak kali ke-29  

Posted by zizane62 in


Alhamdulillah dengan izin-Nya, ABIM Sarawak buat kesekian kalinya telah melangsungkan Muktamar Sanawi (Mesyuarat Agung) kali ke-29 dengan jayanya di Tingkat 1, Dewan CEC, Bangunan Yayasan Sarawak pada 20 Julai 2008 (Ahad).


Walaupun tidak disekalikan dengan program sisipan seperti tahun-tahun yang sebelumnya, kehadiran dua orang wakil ABIM pusat amat dihargai oleh ABIM Sarawak dalam menerangkan tentang isu-isu semasa yang melatari rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khususnya.


Saudara Azril Mohd Amin (Naib Presiden Antarabangsa) banyak menyentuh tentang peranan semasa yang ABIM mainkan di peringkat nasional dan antarabangsa. Beliau juga menerangkan sedikit sebanyak tentang isu-isu semasa yang boleh memberi kesan kepada gerak kerja jemaah ABIM. Beliau juga mengharapkan ABIM Sarawak dapat menghantar seberapa banyak perwakilan ke Muktamar ABIM pusat kelak.

Seorang lagi wakil ABIM pusat, Saudara P. Aizan Tukirin (Ahli Majlis Kewangan ABIM) menerangkan tentang Projek Kewangan ABIM 25 iaitu merujuk kepada sumbangan bulanan setiap ahli ABIM sebanyak RM25 melalui 'standing instruction' iaitu potongan bank. Ini adalah penting untuk membantu menjana ekonomi dan kewangan ABIM yang akhirnya kelak akan digunakan untuk ABIM menggerakkan aktiviti dakwah dan tarbiyyah kepada umat.


Seperti lazimnya, saf kepemimpinan yang sedia ada dibubarkan dan digantikan oleh saf kepemimpinan yang baru untuk sesi 2008-2009. Berikut adalah barisan Exco Kanan ABIM Sarawak sesi 2008-2009.


Yang Di-Pertua : Ustaz Suhardi bin Haji Edward
Timb. Yang Di-Pertua: Ustaz Hasfa Bakhry b. Hassan
Setiausaha Negeri: Sdra. Wan Azizan b. Hj Wan Zainal Abidin
Pen. S/U Negeri: Sdra. Safiee b. Hanapi
Setiausaha Kewangan: Sdra. Raja Iskandar b. Raja Halid
Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA): Sdri. Shamsiah bt. Hj Mahli

Di kesempatan ini, selaku pengerusi Muktamar Sanawi ABIM Sarawak kali ke-29, saya merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada ahli jawatankuasa muktamar, barisan pengurusan dan guru taski ABIM, exco dan juga penyumbang individu yang bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan muktamar ini.

'Menegakkan Kebenaran Memperjuang Keadilan'

Wan Azizan b. Hj Wan Zainal Abidin
Setiausaha Negeri
ABIM Sarawak
Sesi 2008/09

POLIS KENA BUKTIKAN DAHULU!!  

Posted by zizane62 in


Polis mungkin guna perintah mahkamah dapatkan DNA Anwar

KUALA LUMPUR: Polis sedang menimbang kemungkinan menggunakan perintah mahkamah bagi mendapatkan sampel DNA (asid deoksiribonukleik) Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan keengganannya memberikan sampel itu malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, dalam sidang akhbarnya di sini, hari ini berkata, polis sedang menimbang tindakan itu dari sudut perundangan bagi membolehkan sampel itu diperoleh.

Katanya, ini kerana ia adalah antara elemen penting dalam siasatan membabitkan kes liwat terhadap Anwar.

(Dipetik daripada Berita Harian online 17 Julai 2008)

Ini ULASANKU

Sepatutnya, polis yang kena buktikan terlebih dahulu kewujudan DNA manusia lain dalam dubur si Saiful tu. Kalau betul ada DNA manusia, bagi satu salinan kepada pihak DSAI dan barulah mintak DNA DSAI. Kemudian bandingkan. Kalau sama, siasat secara adil kerana tidak mustahil pihak hospital atau polis masih menyimpan DNA DSAI dari kes tahun 1998. Kalau tidak sama, Saiful telah buat fitnah.

Kalau pemeriksaan menunjukkan tiada DNA manusia, tiadalah liwat seperti yang didakwa dan Saiful dah buat fitnah lagi.

Ini perkara asas. Yang menuduh kena bagi bukti dulu barulah yang dituduh buat pembelaan. Kalau tidak DNA DSAI boleh dimanipulasi.


Tahniah Pendebat!  

Posted by zizane62 in


Malam tadi, seluruh rakyat Malaysia (yang ada Astro sahaja) berpeluang menonton secara langsung perdebatan terbuka antara Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) (Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat) dan Datuk Ahmad Shabery Cheek (DASC) (Menteri Penerangan).

Inilah julung kalinya diadakan perdebatan seumpama ini di Malaysia. Dalam nada berbaur sindiran, pendebat masih bijak mengawal emosi, tahniah!.

Bagiku Menteri Penerangan ini memang layak diberi pujian. Bukan kerana hujahnya (yang bagiku banyak keluar dari 'maudhu' debat) tetapi kerana keberaniaannya mempertahankan apa yang dirasakannya betul, berhadapan dengan antara 100 pemimpin terbaik dunia, DSAI.

Bukan sebarangan pemimpin kerajaan yang berani mengambil keputusan sebegini. Tahu akan dimalukan tetapi kerana tanggungjawab, beliau berani menyahut cabaran. Datuk Seri Syed Hamid ALbar yang banyak mengkritik DSAI akhir-akhir ini, beranikah? Yang sepatutnya berdebat dengan DSAI adalah Datuk Seri Najib Razak (DSNR) atau PM sendiri. Yang lebih cocok bagiku DSNR kerana seperti DSAI, mereka berdua inilah yang disebut-sebut akan menjadi Perdana Menteri suatu hari kelak.

Oleh itu, bakal Perdana Menteri kena meyakinkan kepada rakyat siapa yang lebih berkredibiliti, bijak menyusun ekonomi, berwawasan dan menjaga kesejahteraan rakyat. Barulah rakyat yakin.

Debat ini BERAT SEBELAH. PM dan TPM tidak sepatutnya membiarkan maruah mereka dijatuhkan dengan menghantar DASC. Pembaca boleh menilai, DSAI, bekas Menteri Kewangan selama 8 tahun lawan DASC, Menteri Penerangan 4 bulan. ADILKAH??? Hujah yang dikemukakan jauh berbeza dari segi kualitinya.

Pusing2....

Satu lagi, kalau betul ingin menunjukkan kepada rakyat Malaysia yang dakwaan DSAI menurunkan harga minyak tidak berasas, kenapa tidak ditunjukkan 'live' dalam RTM? Barulah rakyat tahu DSAI PEMBOHONG, kalau betul beliau membohongi rakyat. Ini tidak, hanya orang yang ada Astro boleh melihatnya. Mana asas untuk menyatakan yang benar, menyanggah yang batil??? Apa rasionalnya berbuat demikian sedangkan DASC adalah Menteri Penerangan, berkuasa penuh ke atas RTM. Siapa yang bagi arahan supaya tidak disiarkan 'live' dalam RTM?? Ada tangan lainkah?

Kalaulah semua rakyat Malaysia boleh melihat secara langsung bagaimana kaedah DSAI menurunkan harga minyak barulah rakyat boleh menilai masuk akal atau tidak.

Aku juga tidak faham mengapa DASC asyik lari daripada topik perbincangan. Kenapa perlu disentuh banyak peribadi DSAI? Kita kan bercakap tentang nak turunkan harga minyak? Tentang kebajikan rakyat? Minat betul DASC kepada DSAI...Itupun dah dijawab oleh DSAI secara ringkas dan padat, siap dengan cabaran lagi.

Suatu lagi yang agak melucukan bagaimana Tan Sri Datuk Nordin Kardi 'diajar' DSAI. Beliau dikenali sebagai seorang yang bijak 'mengenakan' seseorang tetapi kali ini beliau yang kena. Kasihan Nordin Kardi.

Kepada yang belum melihat debat ini, anda lihat sendiri rakaman debat ini di youtube atau blog DSAI, http://anwaribrahimblog.com dan buatlah pertimbangan secara adil kerana anda rakyat Malaysia, punyai hak ke atas apa yang berlaku dalam negara.

Hubbud Dunya - Cinta Dunia  

Posted by zizane62 in

Ramai yang masih belum mengadaptasi sepenuhnya konsep hubbud dunya (cinta dunia) dan hubbul akhirah (cinta akhirat) walaupun pada dasarnya memahami dengan sedalam-dalamnya terdapat hidup sesudah mati. Islam mengajar supaya umatnya mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW tanpa mengabaikan dunia sebagai ladang akhirat.


Formulanya mudah, cintakan Allah melahirkan rasa cinta kepada akhirat. Cintakan Allah akan mendapat keberkatan hidup dunia dan akhirat. Manifestasi dari rasa cinta ini adalah wujudnya keberaniaan menyanggah segala bentuk kebatilan yang melanda. Inilah Ashabul Kahfi akhir zaman.

Rasulullah menggelar mereka ini sebagai 'Ghuraba' berdasarkan sabda Baginda yang bermaksud, "Islam bermula asing dan kembali asing seperti permulaannya, maka bahagialah golongan Ghuraba. " Sahabat bertanya, "Siapa Ghuraba, ya Rasulullah?' Baginda bersabda, "Mereka ialah golongan yang memperbaiki keadaan yang dirosakkan oleh manusia," - Riwayat Ahmad.

Inilah sebahagian daripada manifestasi kecintaan terhadap Allah yang akhirnya menyedarkan umat manusia bahawa hubbud dunya secara semberono hanya akan menjauhkan cinta Allah kepada kita. Na'uzubillah...

10 tahun berlalu...Al-Fatihah  

Posted by zizane62 in

Hari ini genaplah 10 tahun Islam ibuku kembali ke rahmatullah. Beliau meninggal pada 7 Rejab 1419H bersamaan 28 Oktober 1998.


Sepanjang hidupnya, ibuku seorang yang cekal, tabah dan sanggup berbuat apa sahaja demi anak-anak dan suaminya. Segala pengorbanan si ibu pernah aku rasai, cuma tidak berkesempatan untuk membalasnya.

Antara pengorbanan yang tidak mungkin dapat dilupakan adalah kesanggupan ibuku pergi dari rumah ke rumah untuk menjual barangan perhiasan semata-mata untuk mengumpul duit untuk membeli kereta proton saga merah supaya dapat mengambilku pulang lebih awal daripada Tadika. Aku biasa diambil ayahku sekitar jam 2.30-3.00 petang. Waktu tadika habis jam 11.00 pagi.

Dan banyak lagi pengorbanan lain yang tidak mungkinkan terbalas semuanya.

Kasih-sayang arwah ibu, tidak akan setara dengan kasih-sayang orang lain. Ibarat baru semalam sentuhan, derai tawa, gurauan ibuku terngiang-ngiang di telinga. Adik-beradikku 7 orang semuanya, 6 lelaki, yang terakhir perempuan. Anak-anak lelaki biasanya cerewet dalam hal makanan. Biasanya kami akan bertanya, ini ikan apa? sayur apa? Untuk mendorong kami supaya makan, ibuku akan menjawab, "tok ikan nombor satu, sayor nombor satu".

Sehingga sekarang aku rindukan kata-kata begitu dari ibuku. Bangun pagi hujung minggu, ibu akan bertanya, nak makan apa? Nasik goreng? Memang ibu tahu apa yang aku gemari. Ibu, hanya ibuku yang tahu dan memahami selera makanku. Sebut saja, jarang aku menolak makanan ibu.

Nampak rambut panjang sikit, ibu akan memanggil-manggil anak bujangnya untuk digunting rambut. Semuanya dibuat sendiri oleh ibu. Semuanya sentuhan tangan ibu. Mungkin itulah yang menyebabkan kami adik-beradik lelaki tidak pandai berambut panjang sampai sekarang.

Ibuku hobinya menanam pokok bunga, memelihara ikan. Setiap kali tidur malamnya terganggu akibat asma, ibuku akan duduk di hadapan akuarium ataupun keluar melihat bunga-bunganya hatta jam 2 atau 3 pagi. Lebih-lebih lagi di saat-saat akhir pemergiannya. Semakin kerap 'berhubung' dengan ikan dan bunga-bunganya. Mungkin untuk menyatakan selamat tinggal.

Aku bermain bola, ibulah peminat nombor satu walaupun pada hakikatnya dia tidak tahu sukan bola. Dialah akan hadir setiap kali perlawanan diadakan. Kejayaanku sehingga keluar di dada akhbar, ibulah orang pertama yang aku beritahu dan segera dia mendapatkan surat khabar. Kadang-kadang aku geram bilamana dia mengkritik caraku bermain sedangkan satu pun dia tak tahu. Bila mengenangkan kembali saat itu, lucu ada, sayu pun ada.

Kalau keputusan peperiksaan kami adik-beradik cemerlang, ibu ibarat 'ayam bertelur sebiji, riuh sekampung'. Ibu akan berkongsi kecemerlangan anak-anaknya bersama adik-beradiknya. Dia amat rapat dengan adik-adiknya. Ibu sering berkata kepada adik-adiknya, "tidak mengapa hidupku susah sekarang tapi suatu hari kelak, anak-anakku akan membelaku". Kalaulah ibu masih hidup, mesti dia berbangga dengan kami semua lebih-lebih lagi abangku yang sudah bergelar Doktor Falsafah.

Kenangan-kenangan itu aku simpan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan di Syurga Allah aku dapat berjumpa semula dengan arwah ibu. Al-Fatihah...

(Sumber didapati daripada laman sawang rasmi Malaysiakini di http://www.malaysiakini.com/news/85834)

Klik di atas imej tersebut untuk lebih jelas.

Mereka yang alim, tolong nyatakan pandangan  

Posted by zizane62 in


Subuh tadi aku dan isteri solat Subuh di Masjid Gita. Mendambakan kekhusyukan bacaan Ustaz Hashim Man Al-Hafiz, kami berdua masih berkesempatan masuk ke rakaat pertama walaupun sedikit terlewat.

Hanyut dalam bacaan surah dengan makhraj dan tajwid yang indah, tumpuanku terganggu dengan tangisan anak kecil yang memanggil-manggil nama ibunya dalam rakaat pertama. Memandangkan Al-Fadil Ustaz membacakan surah yang agak panjang (kebiasaannya memang begitu), tangisan tersebut terus kedengaran bahkan bertambah kuat pada suatu ketika. Seolah-olah anak kecil itu melihat sesuatu yang menakutkan, melolong tanpa perhatian si ibu.

Ahhh...khusyukku terganggu. Sempat lagi fikiranku melayang kenapa si ibu tidak menghiraukan si anak kecil? Mungkin khusyuk juga agaknya. Tangisan, jeritan terus kedengaran. Si ibu mungkin berasa sayang untuk 'keluar' dari solat untuk mententeramkan anak, lantas membiarkan suara itu kedengaran tanpa menyedari ianya mengganggu jemaah lain.

Dan tangisan, rintihan, jeritan tersebut terus kedengaran sepanjang rakaat yang kedua. Apabila selesai bacaan doa qunut, suara anak kecil itu mula perlahan tetapi semakin kedengaran menghampiri jemaah lelaki dan akhirnya terus senyap.

Setelah tazkirah, aku bertanya kepada isteriku. Rupa-rupanya, menyedari rintihannya tidak dilayan si ibu, anak kecil tadi pergi kepada ayahnya di saf hadapan. Terlihat sahaja kelibat anaknya berjalan ke saf hadapan, si ibu dengan serta-merta ’keluar’ dari jemaah dan mendapatkan si anak kecil tanpa sempat menghabiskan solatnya.

Timbul persoalan dalam diriku. Untuk seorang wanita bergelar isteri, yang manakah keutamaan padanya? Adakah menunaikan solat bersendirian sahaja di rumah menemani si anak kecil tidur ataupun berjemaah di masjid dengan membawa anak kecil yang mungkin mengantuk tanpa diawasi oleh sesiapa?

Mereka yang alim, tolong nyatakan pandangan untuk ingatan kita bersama.

Political Minded?  

Posted by zizane62 in

Sejak kebelakangan ini, posting blogku banyak menyentuh isu mutakhir politik yang berlaku dalam negara hinggakan ada di kalangan teman-teman yang mengambil berat bertanya ok ke kalau aku buat posting begitu.

Kalau nak dijawab, panjang lebarlah ulasannya. Cuma yang aku boleh kongsi adalah sebagai khalifah yang diutuskan untuk memakmurkan bumi Allah, aku juga bertanggungjawab untuk memastikan bumi yang makmur dipimpin oleh insan yang makmur. Bagaimana aku boleh membantu?

Aku boleh menyuarakan pandangan dan persoalan untuk difikirkan bersama oleh pembaca blog. Apa yang aku bangkitkan tidak semestinya menyatakan sokongan atau penolakan secara hakiki terhadap seseorang. Pemimpin yang menerajui negara adalah mereka yang akan membuat polisi dan peraturan negara. Secara tidak langsung kemakmuran kehidupan umat manusia bergantung kepada bagaimana pemimpin tersebut indah dari segi akhlaknya, cemerlang dari segi amanahnya dan taat dari segi pengabdian kepada Pencipta.

Jadi, seseorang pemimpin itu perlu bersih akhlaknya. Kalau ada dakwaan terlibat dengan kes pembunuhan atau liwat, lakukan penyiasatan secara adil dan saksama.

Bayangkan saudara saudari pembaca, kalau anda terlibat dalam sesuatu fitnah untuk menjatuhkan seseorang dan disebabkan kerjasama anda juga hidupnya menderita dan tidak mendapat haknya yang sepatutnya, bagaimana anda hendak menjawab di hadapan Allah SWT apabila ditanyakan kelak?

Tenteramkah anda duduk di tempat yang tidak sepatutnya anda duduk? Bagaimana dengan gaji atau elaun yang tidak sepatutnya dibayar kepada anda dan kemudiannya jadi darah daging anak isteri anda? Halalkah ia? Na'uzubillah...

Ingatlah, kita ada kehidupan kedua dan setiap yang kita lakukan di dunia pasti ada ganjaran atau balasan di akhirat kelak. Jadilah umat yang menyesal selagi masih hidup di dunia kerana menyesal apabila nyawa sudah tersekat-sekat, ianya sudah terlambat.

MEREKA PUNYAI SATU PERSAMAAN  

Posted by zizane62 in

Kedua-duanya mengharapkan suami merekalah yang layak untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Dan mereka akan menjadi 'the first lady' dan seterusnya menjadi 'ibu' kepada seluruh rakyat Malaysia.

Siapakah yang anda fikir sesuai untuk menjadi 'ibu' kepada rakyat Malaysia?

Ini Pendirian Ezam  

Posted by zizane62 in

Bekas Setiausaha Politiknya, Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, adalah mustahil kerajaan sengaja mereka-reka atau membuat konspirasi seumpama itu untuk menjatuhkan Anwar.

Menurutnya, perbuatan Anwar mengaitkan nama beberapa pemimpin negara dan kerajaan dengan konspirasi serta menuduh mereka membuat dakwaan itu untuk menjatuhkannya juga bercanggah dengan ajaran Islam.

(Sumber dipetik daripada Utusan malaysia 1 Julai 2008)

Inilah kenyataan pendekar yang pernah aku kagumi suatu ketika dahulu. Teringat ketika menghadiri ceramah Ezam, dialah sendiri yang mengatakan segala berlaku ke atas DSAI adalah suatu konspirasi politik tertinggi.

Malah buku dan VCD nya pun aku pernah beli.

Itulah manusia, rambutnya hitam tapi hati berbelang-belang.

p/s: Mungkin juga apa yang Ezam buat sekarang adalah satu strategi...

GALAKSI MUHSININ - SATU SUMBANGAN DAKWAH NYDP PERKEPIS  

Posted by zizane62 in


Akan terbit pada: 23 Julai 2008
Harga: RM19.00 (Semenanjung)/RM22.00 (Sarawak&Sabah)
Halaman: 320 muka surat
SINOPSIS

Galaksi Muhsinin adalah satu umat. Mereka berbilang bangsa tetapi bersatu. Mereka maju tetapi bertakwa kepada Tuhan. Misi mereka cuma satu: menyebarkan rahmat ke serata alam.

Tahun 2205. Keamanan galaksi ini mula tergugat. Orang Zion sentiasa mengintai peluang. Liga Lanun mahukan maruah mereka kembali. Maharaja Legion pula berikrar melunaskan sumpah maharaja Empayar Sibernatik Cyborg yang pertama.

Konflik tercetus apabila salah sebuah planet yang berlindung di bawah Galaksi Muhsinin cuba dijajah oleh pihak musuh. Konflik dilanjutkan lagi apabila kapal angkasa yang membawa rombongan haji hilang selepas diserang oleh pasukan yang tidak dikenali.

Kemakmuran yang dahulunya tiada tolok banding kini di ambang kehancuran. Di bawah kepimpinan Khalifah Zulqarnain, mampukah Detasmen Mujahidin Elit ke-15 mempertahankan kedaulatan galaksi?

BETUL KE SAIFUL DILIWAT???  

Posted by zizane62 in


Kepada yang belum mengenali Saiful Bukhari Azlan (baju biru), ini dia wajahnya. Dia mula dikenali setelah membuat laporan polis mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ataupun Saiful kecewa setelah gagal masuk AF6?

Yang pastinya Saiful, Allah Maha Mengetahui. Lepas mati, kita ada satu lagi kehidupan yakni yang kekal abadi. Kalau dakwaan itu fitnah, pastilah tak berkat hidup Saiful, lebih-lebih lagi di akhirat. Bak kata Tn Guru Nik Aziz, orang yang fitnah kena laknat Tuhan. Saiful tak takut ke?

Kalau betul, Saifullah hero Islam sejati. Cayalah Saiful.

Pose istimewa bersama Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof.
Saiful buat apa di ofis TPM? Dapat projek besar?

Sumber berita kita banyak. ada yang pro kerajaan, ada yang pro pembangkang dan ada yang neutral.

Pro Pembangkang:
Harakahdaily
Malaysia today

Neutral:
Malaysiakini

Pro kerajaan:
Berita harian
Utusan Malaysia

Bacalah dari pelbagai sumber, kemudian anda nilailah sendiri.

Apa kata Dr. Asyraf Wajdi dan Ezam Md Nor?  

Posted by zizane62 in

Aku ingin sekali nak dengar respon dari dua anak muda ni memandangkan merekalah antara pejuang-pejuang muda yang berada di 'front-liner' sewaktu berlaku peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) 10 tahun lalu atas tuduhan liwat dan rasuah.

Merekalah yang mempertahankan DSAI. Apa pendirian mereka sekarang?

Adakah mereka akan berdiri teguh di belakang tuduhan tersebut?

Atau mereka akan kembali mepertahankan DSAI?

Atau membisu seribu bahasa?

'Saspen' betul 'darama' ini....

Susahnya nak Berkuasa  

Posted by zizane62 in

Aku rasalah, nak dapatkan kuasa di Malaysia ni memang susah. Lebih-lebih lagi yang melibatkan jawatan utama dalam kepimpinan negara.

Memanglah satu fitrah manusia cinta kepada kuasa dan apa-apa pun sanggup dilakukan untuk mendapatkan kuasa dengan berlindung di sebalik pelbagai alasan. Dan memang susah bagi kita rakyat biasa untuk meneropong ke dalam hati mereka-mereka ini adakah perjuangan mereka ikhlas atau tidak.

Rakyat hanya boleh membuat keputusan melalui pilihanraya. Lebih dari itu, lambat-laun masuk 'jail'. Kalau lebih berani, boleh kena tuduhan liwat atau apa-apa supaya kena tahan polis dan akhirnya, kempunan nak berkuasa.

Semua rakyat Malaysia yang berakal dan peka tahu situasi politik tanah air yang berlaku mutakhir ini. Sebagai anak muda Islam, gerak hati mengatakan ada sesuatu yang pelik sedang berlaku. KEPERCAYAAN DAN KEYAKINANKU TERHADAP ISLAM sedang diuji semula.

Buat masa ini, aku menunggu perkembangan terbaru.

Marga Al-Qadri  

Posted by zizane62 in

(Dipetik daripada laman sawang Asyraaf Malaysia)

Yang pertama kali dijuluki (digelari) "Al-Qadri" adalah waliyullah Muhammad bin Salim bin Abdullah bin Muhammad Bin Salim bin Ahmad bin Abdurrahman bin Ali bin Muhammad bin Hasan Al-Muallim bin Muhammad bin Hasan Atturabi.

So'al gelar yang disandangnya karena Beliau dalam semua aspek kehidupannya selalu menyerahkan dirinya (pasrah) pada Taqdir Allah, terutama sewaktu ditimpa suatu Musibah (bencana). Hal tersebut menunjukkan bahwa beliau seorang yang beriman kuat sekali. Kata Taqdir berasat dari bahasa Arab yang sinonimnya yaitu "AI-Qadar".

Waliyyullah Muhammad Al-Qadri dilahirkan di Tarim Hadramaut. Dikurniai 2 orang anak lelaki yang melanjutkan keturunannya, masing-masing bernama :

  1. Abdullah, keturununnya hanya berada di Macha' (Hadramaut)

  2. Husein, keturunannya kebanyakan berada di Indonesia; termasuk diantaranya Sultan Abdurrahman bin Waliyyulah Al-Habib Husein bin Ahmad Al-Qadri, Pendiri Kota Pontianak (Kalimantan). Beliau dikurniai 6 anak. Wafat pada tahun 1231 Hijriyyah di Batu Layang Pontianak.

Waliyyullah Muhammad bin Salim Al-Qadri pulang ke Rahmatullah di kota Tarim pada tahun 1079 Hijriyyah.

Semoga Allah SWT memasukkan beliau ke dalam Syurga dan menghimpunkannya bersama-sama para Nabi, para Syuhada, para Auliya dan para Sholihin. Amin !.

Mengenali Habib Husein Al-Qadri (Siri 1)  

Posted by zizane62 in

HUSEIN AL-QADRI

Penyebar Islam Kalimantan Barat
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

MENGENAI Habib Husein al-Qadri, tidak terlalu sukar membuat penyelidikan kerana memang terdapat beberapa manuskrip yang khusus membicarakan biografinya. Walau bagaimana pun semua manuskrip yang telah dijumpai tidak jelas nama pengarangnya, yang disebut hanya nama penyalin. Semua manuskrip dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi. Nama lengkapnya, As-Saiyid/as-Syarif Husein bin al-Habib Ahmad/Muhammad bin al-Habib Husein bin al-Habib Muhammad al-Qadri, Jamalul Lail, Ba `Alawi, sampai nasabnya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sampai ke atas adalah melalui perkahwinan Saidatina Fatimah dengan Saidina Ali k.w. Nama gelarannya ialah Tuan Besar Mempawah. Lahir di Tarim, Yaman pada tahun 1120 H/1708 M. Wafat di Sebukit Rama Mempawah, 1184 H/ 1771M. ketika berusia 64 tahun. Dalam usia yang masih muda beliau meninggalkan negeri kelahirannya untuk menuntut ilmu pengetahuan bersama beberapa orang sahabatnya.

PENDIDIKAN, PENGEMBARAAN DAN SAHABAT

Mengembara ke negeri Kulaindi dan tinggal di negeri itu selama empat tahun. Di Kulaindi beliau mempelajari kitab kepada seorang ulama besar bernama Sayid Muhammad bin Shahib. Dalam waktu yang sama beliau juga belajar di Kalikut. Jadi sebentar beliau tinggal di Kulaindi dan sebentar tinggal di Kalikut. Habib Husein al-Qadri termasuk dalam empat sahabat. Mereka ialah, Saiyid Abu Bakar al-`Aidrus, menetap di Aceh dan wafat di sana. Digelar sebagai Tuan Besar Aceh. Kedua, Saiyid Umar as-Sagaf, tinggal di Siak dan mengajar Islam di Siak, juga wafat di Siak. Digelar sebagai Tuan Besar Siak. Ketiga, Saiyid Muhammad bin Ahmad al-Qudsi yang tinggal di Terengganu dan mengajar Islam di Terengganu. Digelar sebagai Datuk Marang. Keempat, Saiyid Husein bin Ahmad al-Qadri (yang diriwayatkan ini)

Maka Habib Husein pun berangkatlah dari negeri Kulaindi menuju Aceh. Di Aceh beliau tinggal selama satu tahun, menyebar agama Islam dan mengajar kitab. Selanjutnya perjalanan diteruskan ke Siak, Betawi dan Semarang. Saiyid Husein tinggal di Betawi selama tujuh bulan dan di Semarang selama dua tahun. Sewaktu di Semarang beliau mendapat sahabat baru, bernama Syeikh Salim bin Hambal. Pada suatu malam tatkala ia hendak makan, dinantinya Syeikh Salim Hambal itu tiada juga datang. Tiba-tiba ia bertemu Syeikh Salim Hambal di bawah sebuah perahu dalam lumpur. Habib Husein pun berteriak sampai empat kali memanggil Syeikh Salim Hambal. Syeikh Salim Hambal datang menemui Habib Husein berlumuran lumpur. Setelah itu bertanyalah Habib Husein, ``Apakah yang kamu perbuat di situ?''
Jawabnya: ``Hamba sedang membaiki perahu.'' Habib Husein bertanya pula, ``Mengapa membaikinya malam hari begini?'' Maka sahutnya, ``Kerana siang hari, air penuh dan pada malam hari air kurang.'' Kata Habib Husein lagi, ``Jadi beginilah rupanya orang mencari dunia.'' Jawabnya, ``Ya, beginilah halnya.''

Kata Habib Husein pula, ``Jika demikian sukarnya orang mencari atau menuntut dunia, aku haramkan pada malam ini juga akan menuntut dunia kerana aku meninggalkan tanah Arab sebab aku hendak mencari yang lebih baik daripada nikmat akhirat.''

Habib Husein kembali ke rumah dengan menangis dan tidak mahu makan. Keesokan harinya wang yang pernah diberi oleh Syeikh Salim Hambal kepadanya semuanya dikembalikannya. Syeikh Salim Hambal berasa hairan, lalu diberinya nasihat supaya Habib Husein suka menerima pemberian dan pertolongan modal daripadanya. Namun Habib Husein tiada juga mahu menerimanya. Oleh sebab Habib Husein masih tetap dengan pendiriannya, yang tidak menghendaki harta dunia, Syeikh Salim Hambal terpaksa mengalah. Syeikh Salim Hambal bersedia mengikuti pelayaran Habib Husein ke negeri Matan.

Setelah di Matan, Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal menemui seorang berketurunan saiyid juga, namanya Saiyid Hasyim al-Yahya, digelar orang sebagai Tuan Janggut Merah. Perwatakan Saiyid Hasyim/ Tuan Janggut Merah itu diriwayatkan adalah seorang yang hebat, gagah dan berani. Apabila Saiyid Hasyim berjalan senantiasa bertongkat dan jarang sekali tongkatnya itu ditinggalkannya. Tongkatnya itu terbuat daripada besi dan berat. Sebab Saiyid Hasyim itu memakai tongkat demikian itu kerana ia tidak boleh sekali-kali melihat gambaran berbentuk manusia atau binatang, sama ada di perahu atau di rumah atau pada segala perkakas, sekiranya beliau terpandang atau terlihat apa saja dalam bentuk gambar maka dipalu dan ditumbuknya dengan tongkat besi itu.

KEDUDUKAN DI MATAN

Setelah beberapa lama Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal berada di Matan, pada suatu hari Sultan Matan menjemput kedua-duanya dalam satu jamuan makan kerana akan mengambil berkat kealiman Habib Husein itu. Selain kedua-duanya juga dijemput para pangeran, sekalian Menteri negeri Matan, termasuk juga Saiyid Hasyim al-Yahya. Setelah jemputan hadir semuanya, maka dikeluarkanlah tempat sirih adat istiadat kerajaan lalu dibawa ke hadapan Saiyid Hasyim. Saiyid Hasyim al-Yahya melihat tempat sirih yang di dalamnya terdapat satu kacip besi buatan Bali. Pada kacip itu terdapat ukiran kepala ular. Saiyid Hasyim al-Yahya sangat marah. Diambilnya kacip itu lalu dipatah-patah dan ditumbuk-tumbuknya dengan tongkatnya. Kejadian itu berlaku di hadapan Sultan Matan dan para pembesarnya. Sultan Matan pun muram mukanya, baginda bersama menteri-menterinya hanya tunduk dan terdiam saja. Peristiwa itu mendapat perhatian Habib Husein al-Qadri. Kacip yang berkecai itu diambilnya, dipicit-picit dan diusap-usap dengan air liurnya. Dengan kuasa Allah jua kacip itu pulih seperti sediakala. Setelah dilihat oleh Sultan Matan, sekalian pembesar kerajaan Matan dan Saiyid Hasyim al-Yahya sendiri akan peristiwa itu, sekaliannya gementar, segan, berasa takut kepada Habib Husein al-Qadri yang dikatakan mempunyai karamah itu.

Beberapa hari setelah peristiwa di majlis jamuan makan itu, Sultan Matan serta sekalian pembesarnya mengadakan mesyuarat. Keputusan mesyuarat bahawa Habib Husein dijadikan guru dalam negeri Matan. Sekalian hukum yang tertakluk kepada syariat Nabi Muhammad s.a.w. terpulanglah kepada keputusan Habib Husein al-Qadri. Selain itu Sultan Matan mencarikan isteri untuk Habib Husein. Beliau dikahwinkan dengan Nyai Tua. Daripada perkahwinan itulah mereka memperoleh anak bernama Syarif Abdur Rahman al-Qadri yang kemudian dikenali sebagai Sultan Kerajaan Pontianak yang pertama. Semenjak itu Habib Husein al-Qadri dikasihi, dihormati dan dipelihara oleh Sultan Matan. Setelah sampai kira-kira dalam dua hingga tiga tahun diam di negeri Matan, datanglah suruhan Raja Mempawah dengan membawa sepucuk surat dan dua buah perahu akan menjemput Habib Husein untuk dibawa pindah ke Mempawah. Tetapi pada ketika itu Habib Husein masih suka tinggal di negeri Matan. Beliau belum bersedia pindah ke Mempawah. Kembalilah suruhan itu ke Mempawah. Yang menjadi Raja Mempawah ketika itu ialah Upu Daeng Menambon, digelar orang dengan Pangeran Tua. Pusat pemerintahannya berkedudukan di Sebukit Rama.

HABIB HUSEIN PINDAH KE MEMPAWAH

Negeri Matan dikunjungi pelaut-pelaut yang datang dari jauh dan dekat. Di antara ahli-ahli pelayaran, pelaut-pelaut yang ulung, yang datang dari negeri Bugis-Makasar ramai pula yang datang dari negeri-negeri lainnya. Salah seorang yang berasal dari Siantan, Nakhoda Muda Ahmad kerap berulang alik ke Matan. Terjadi fitnah bahawa dia dituduh melakukan perbuatan maksiat, yang kurang patut, dengan seorang perempuan. Sultan Matan sangat murka, baginda hendak membunuh Nakhoda Muda Ahmad itu. Persoalan itu diserahkan kepada Habib Husein untuk memutuskan hukumannya. Diputuskan oleh Habib Husein dengan hukum syariah bahawa Nakhoda Muda Ahmad lepas daripada hukuman bunuh. Hukuman yang dikenakan kepadanya hanyalah disuruh oleh Habib Husein bertaubat meminta ampun kepada Allah serta membawa sedikit wang denda supaya diserahkan kepada Sultan Matan. Sultan Matan menerima keputusan Habib Husein. Nakhoda Muda Ahmad pun berangkat serta disuruh hantar oleh Sultan Matan dengan dua buah sampan yang berisi segala perbekalan makanan. Setelah sampai di Kuala, Nakhoda Muda Ahmad diamuk oleh orang yang menghantar kerana diperintah oleh Sultan Matan. Nakhoda Muda Ahmad dibunuh secara zalim di Muara Kayang. Peristiwa itu akhirnya diketahui juga oleh Habib Husein al-Qadri. Kerana peristiwa itulah Habib Husein al-Qadri mengirim surat kepada Upu Daeng Menambon di Mempawah yang menyatakan bahawa beliau bersedia pindah ke Mempawah.

Tarikh Habib Husein al-Qadri pindah dari Matan ke Mempawah, tinggal di Kampung Galah Hirang ialah pada 8 Muharam 1160 H/20 Januari 1747 M. Setelah Habib Husein al-Qadri tinggal di tempat itu ramailah orang datang dari pelbagai penjuru, termasuk dari Sintang dan Sanggau, yang menggunakan perahu dinamakan `bandung' menurut istilah khas bahasa Kalimantan Barat. Selain kepentingan perniagaan mereka menyempatkan diri mengambil berkat daripada Habib Husein al-Qadri, seorang ulama besar, Wali Allah yang banyak karamah. Beliau disegani kerana selain seorang ulama besar beliau adalah keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Dalam tempoh yang singkat negeri tempat Habib Husein itu menjadi satu negeri yang berkembang pesat sehingga lebih ramai dari pusat kerajaan Mempawah, tempat tinggal Upu Daeng Menambon/Pangeran Tua di Sebukit Rama. Manakala Upu Daeng Menambon mangkat puteranya bernama Gusti Jamiril menjadi anak angkat Habib Husein al-Qadri. Dibawanya tinggal bersama di Galah Hirang/Mempawah lalu ditabalkannya sebagai pengganti orang tuanya dalam tahun 1166 H/1752 M. Setelah ditabalkan digelar dengan Penembahan Adiwijaya Kesuma.

Akan kemasyhuran nama Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah itu tersebar luas hingga hampir semua tempat di Asia Tenggara. Pada satu ketika Sultan Palembang mengutus Saiyid Alwi bin Muhammad bin Syihab dengan dua buah perahu untuk menjemput Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah datang ke negeri Palembang kerana Sultan Palembang itu ingin sekali hendak bertemu dengan beliau. Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah tidak bersedia pergi ke Palembang dengan alasan beliau sudah tua.

WAFAT

Dalam semua versi manuskrip Hikayat Habib Husein al-Qadri dan sejarah lainnya ada dicatatkan, beliau wafat pada pukul 2.00 petang, 2 Zulhijjah 1184 H/19 Mac 1771 dalam usia 64 tahun. Wasiat lisannya ketika akan wafat bahawa yang layak menjadi Mufti Mempawah ialah ulama yang berasal dari Patani tinggal di Kampung Tanjung Mempawah, bernama Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.

Insya-Allah, dalam ruang dan kesempatan yang ada kelak, aku akan menyatakan pandanganku berhubung dengan industri Multi Level Marketing (MLM). Sejak akhir-akhir ini aku sering 'diasak' untuk menyertai dan terlibat secara aktif dalam industri MLM ini. Dengan tidak menafikan kebaikan yang dibawanya, aku juga mempunyai pandangan dari sudut yang berlainan.

Sesudah kesekian kalinya menelaah bagaimana untuk menjadikan isi blog nampak lebih menarik, aku akhirnya berjaya. Kalau tidak bagi orang lain, bagi aku ada peningkatan.

Singgah di blog Sdra. Azrul menarik perhatianku dengan novel terbarunya yang akan keluar dalam masa terdekat. Sudah tentu aku akan mendapatkannya dan menambahkan royalti jualan Sdra. Azrul. Sememangnya beliau Allah anugerahkan dengan kebolehan menulis dengan baik. Semoga anugerah ini terus digunakan untuk manfaat Islam.

Panduan Solat Hajat  

Posted by zizane62 in

Bagi sesetengah orang yang bukan daripada latarbelakang pendidikan agama, banyak perkara yang merunsingkan dan kadang-kadang mengelirukan apabila berdepan dengan permasalahan hukum atau panduan dalam mengerjakan sesuatu ibadah.

Contohnya dalam melaksanakan solat sunat hajat. Dari sekolah rendah ke sekolah menengah hinggalah sekarang, pelbagai versi solat hajat yang aku pelajari daripada mereka yang berpendidikan agama. Lebih-lebih lagi dalam bilangan bacaan, surah yang dibaca, sujud meminta hajat sebelum atau selepas salam.

Ustaz ini kata begini, ustazah itu kata begitu. Bagiku yang bukan dari 'mainstream' agama, satu pun aku katakan tidak betul. Siapalah aku untuk mengatakan ini betul atau itu salah. Silap-silap, Dr Asri memfatwakan aku sesat.

Cuma aku ingin berkongsi kaedah pelaksanaan solat sunat hajat seperti yang tertulis di dalam kitab Al-Qirthaas, Syarah Raatib Qutub Al Anfaas Alhabib Umar Bin Abdurrahman Al-Attas yang ditulis oleh Al'Allaamah Alhabib Ali Bin Hasan Abdullah Bin Husen Bin Umar Al-Attas Baa'alawi Alhadhrami.

Menurut Asy Syaikh Abul Khair Alyamaani Asy Syarji yang telah mengutip dari Muhammad bin Darsituwiyyah, ia telah berkata:" Aku telah melihat pada Kitab Al Imam Asy Syafi'i (rahimahullah) yang ditulisnya sendiri tentang 'Solat Hajat' untuk 1000 (seribu) hajat atau keperluan, yang diajarkan oleh Nabi AlKhidhir kepada sebahagian hamba-hamba Allah iaitu melakukan solat 2 (dua) raka'at sebagai berikut:

Pada raka'at pertama: Membaca Al-Fatihah dan surah Al-Kafirun (10 kali)

Pada raka'at kedua: Membaca Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas (11 kali)

Kemudian sesudah salam, ia sujud kembali sambil membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW 10 kali disusuli dengan mengucapkan "Subhaanallah Walhamdulillah Walaa Ilaha Illallah Wallahu Akbar Walaa Haula Wala Quwata Illa Billahil A'liyyil A'zim" sebanyak 10 kali. Kemudian disusuli dengan "Rabbana Aatina Fiddunya Hasanah Wafil Aakhirati Hasanah Waqina A'zabannar" sebanyak 10 kali juga. Kemudian mintalah hajat kepada Allah, Insya-Allah akan terkabul.

Alhakim berkata,"Barang siapa yang melaksanakan solat sunat hajat, hendaklah ia mandi pada malam Jumaat dan memakai pakaian yang bersih dan solatlah di waktu sahur dengan niat mohon dipenuhi hajatnya".

Mudah-mudahan dengan adanya sedikit ilmu ini akan menambahkan pengetahuan kita untuk dikongsi bersama umat-umat Islam yang lain.

Wallahua'lam.

(Nota: Bacaan ayat Quran dalam bentuk tulisan rumi boleh mengandungi kesilapan. Bacaan yang terbaik adalah dalam bentuk tulisan Arab itu sendiri. Harap maaf sekiranya terdapat kesilapan pada tulisan rumi tersebut)






Pesan Dr. Yusuf al-Qaradhawi  

Posted by zizane62 in

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menetapkan di dalam bukunya ‘Nasr Jail al-Mansyud’ bahawa generasi muda perlulah mempunyai ciri-ciri seperti: berpegang dengan realiti dan tradisi keilmuan, bekerja untuk membina masyarakat, bersifat rabbaniyyah dan penuh keikhlasan, menghayati Islam dengan sebenarnya dan bukan melalui keturunan atau suasana, berdakwah dan berjihad, mempunyai kekuatan dan rasa ‘izzah serta bersifat fleksibel dan sederhana.

Beliau juga di dalam kitabnya, ‘Kritikan dan Saranan untuk Para Da’ie’ menambah beberapa ciri lain, iaitu berpandangan jauh, kreatif, inovatif, personaliti yang disenangi umum, berfikiran strategik, berketrampilan, berdinamisme dan mempunyai ketahanan diri yang tinggi.

Analisis Mudah Kesan Kenaikan Harga Minyak  

Posted by zizane62

Kenaikan harga minyak dalam tempoh seminggu yang lepas seperti diduga telah menyebabkan 'kesan domino' kepada kos-kos barangan dan perkhidmatan yang lain.

Boleh dikatakan semua lapisan masyarakat tidak bersetuju dengan langkah ini. Iyalah, siapa yang suka kan?

Aku ingin berkongsi analisis mudah untuk dinilai oleh pembaca. Analisis ini mengambil contoh caj perjalanan kereta/van sapu dari Kuching ke Sebuyau. Agak mudah untuk mengagak berapa margin keuntungan yang diperolehi oleh pemandu-pemandu ini.

Aku menggunakan kadar keretaku sendiri, Myvi 1.3. Sebelum harga minyak naik, kos petrol yang aku perlu tanggung adalah RM30 (perjalanan pergi-pulang). Kos ini tanpa menggunakan 'aircond' (pemandu van/kereta sapu pun bukannya menggunakan 'aircond'). Jika dibahagikan dengan kadar lama per liter untuk petrol iaitu (RM30/RM1.92), aku hanya menggunakan sebanyak 15.625 liter petrol untuk perjalanan pergi-pulang Kuching-Sebuyau-Kuching. Jadi kos petrol adalah RM30.

Caj sebelum ini adalah RM20 untuk perjalanan Sebuyau-Kuching dan sebaliknya. Katakan dalam sebuah kereta aku membawa 4 orang (kebanyakannya kereta sapu seperti Kancil, Proton Saga, Van tak usah dikata, lagipun van menggunakan diesel). Jadi, pulangan yang aku perolehi adalah RM20 x 4 orang = RM80. Ditolak dengan kos petrol RM30, jadi keuntungan untuk satu perjalanan adalah RM80 - RM30 = RM50.

Ingat, satu perjalanan RM50. Kalau pergi pulang RM50 x 2 = RM100. RM100 sehari untung tak besar ke?

Sekarang apa berlaku bila minyak naik. Pemandu sekarang mengenakan caj RM25 seorang untuk satu perjalanan. Bermakna dalam satu kereta dengan penumpang 4 orang pulangannya adalah RM100. Kos pula bagaimana? Begini. Petrol yang digunakan tetap sama iaitu 15.625 liter untuk perjalanan pergi pulang. Yang berbezanya adalah kadar per liter. Bermakna, 15.625 liter x RM2.70 (kadar baru) = RM42.20.

Pulangan RM100 ditolak dengan kos petrol RM42.20, jadi keuntungan untuk satu perjalanan adalah RM100 - RM42.20 = RM57.80. Kalau return trip dah untung RM57.80 x 2 = RM115.60.

Untung sebelum kenaikan = RM100
Untung selepas kenaikan = RM115.60

Pertambahan keuntungan kepada pemandu RM115.60 - RM100 = RM15.60.

Jadi, boleh dikatakan kenaikan harga minyak ini menambahkan keuntungan kepada pengusaha kerana sedikit sebanyak 'profit margin' mereka dapat dinaikkan (inilah peluangnya!) dengan alasan harga minyak naik! Untung akan bertambah besar sekiranya pemandu menggunakan van dengan Diesel sebagai bahan bakar. Wah!!Untung2 atas kenaikan harga minyak ni...

Kesannya, sudah tentu 'final user' iaitu pengguna dan penumpang. Adilkah begini? Anda bayangkan pula bagaimana dengan barangan/perkhidmatan lain?

Pokoknya, peniaga tidak akan mahu rugi atau mengurangkan margin keuntungan kerana itu adalah tujuan berniaga (mendapatkan keuntungan). Akhirnya, segala kos akan dipulangkan kepada pengguna. Lainlah kalau dapat dijelaskan kepada aku kaedah yang digunakan dan rasional peniaga/pemandu untuk menaikkan harga barangan/perkhidmatan. Alangkah senangnya kalau aku seorang menteri, semuanya 'free' sebab dapat elaun daripada cukai rakyat.

Ini adalah analisis mudahku yang berlatarbelakangkan Perakaunan sebagai disiplin ilmu.

Pembaca dialu-alukan untuk menyuarakan pandangan.

Syukron atas undangan kalian  

Posted by zizane62

Dalam tempoh 2 minggu kebelakangan, memang jadualku agak sibuk termasuk di hujung minggu. Dalam pada aku perlu memenuhi tanggungjawab sosialku sebagai pekerja di PTPL, aku juga memenuhi undangan daripada YDP Perkepis, Sdra. Syeed Abdul Hamid untuk mengisi beberapa slot pengisian untuk Tamrin Qiady dan Kursus Asas Fasilitator (KAFI). Juga jemputan daripada Setiausaha Agung Perkepis, Sdri. Siti Khadijah Edi Wahab untuk program Latihan Kepimpinan Organisasi (LAKEPO).

Sudah lama aku tidak memberikan pengisian untuk program-program tersebut. Mungkin itu juga yang menyebabkan otak ku sedikit berkarat.

Aku sempat berkongsi darihal tanzim haraki, sistem hamba-khalifah, Teori i dan pengurusan kewangan program. Masih banyak kelemahan yang boleh diperbaiki.

Insya-Allah sekiranya diberi ruang yang sama, aku tidak keberatan untuk memenuhi undangan kalian andai tiada urusan lain yang mendepani.

Kepada yang mengundang, syukron kathiran..

Aku Diketuk...(Bhgn. akhir)  

Posted by zizane62

Aku hampir tidak percaya dengan keputusan demi keputusan yang terpapar di kaca televisyen. Sekali-sekala aku menoleh ke belakang, ingin melihat respon birasku (arwah bg zee). Dalam kejutan itu, aku teringat perbincangan ilmiah (isu semasa) antara aku dan temanku 2 3 malam yang lepas...betul, memang betul. Ajaib, memang ajaib.

Seketika aku terbayangkan suasana di Semenanjung dengan riuh-rendah menyambut kemenangan. Tidak kurang yang terdiam, sedih dengan kekalahan. Kalau di negeriku sendiri memang dapat dijangka, jadi tiada perkara yang menarik perhatianku.

Ketika jam hampir mencecah 3 pagi, aku muhasabah diri. Memang dalam tempoh berkempen 2 minggu yang diberikan, aku menyaji mindaku dengan input-input dari sumber-sumber yang berlawanan. Ada yang pro-kerajaan dan ada yang pro-alternitif. Masing-masing mengemukakan hujah-hujah tersendiri dan sentiasa mutahir.

Sumber sajianku pastinya dari internet, gedung ilmu yang boleh meruntuh atau membina jiwa dan peribadi.

Terasa diriku diketuk. Kenapa tidak aku perkuatkan diriku untuk menjadikan media ini sebagai wadah untuk ku bekerja di jalan Allah. Ini adalah sebahagian harta dunia yang dipinjamkan agar aku melakukan sesuatu untuk agama suci ini. Inilah yang boleh aku jadikan modal untuk pelaburan ku di dunia. Di akhirat kelak, hanya hasilnya aku perolehi. Kan cantik..Subhaanallah.

Alhamdulillah, Allah memberikan aku ruang dan peluang sekali lagi (entah kali keberapa peluang ini diberikan kepadaku). Cuma yang aku pohon agar Allah mengekalkan hidayah-Nya kepada ku untuk terus berbakti di jalan-Nya. Gusar sekiranya aku terus tertipu oleh permainan duniawi yang akhirnya menjadikan aku golongan yang tercicir di akhirat kelak.

End.

Adakah Islam sekadar memenuhi Rukun Islam, Rukun Iman?  

Posted by zizane62

Selalu aku terfikir. Adakah Islam sekadar Rukun Islam dan Rukun Iman? Adakah dengan memenuhi rukun-rukun tersebut tugasku sebagai khalifah Alah telah terlaksana?

Bagaimana dengan firman Allah dalam Al-Quran untuk menyuruhku berbuat kepada ma'ruf dan mencegah daripada kemungkaran? Adakah telah kupenuhi?

Tentang blog?Artikel menarik untuk dibaca...  

Posted by zizane62


'Copy' pautan ini:

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Dimensi/
20080420123657/Article

Komen aku, "kalaulah setiap blog orang Islam menyeru kepada penyebaran ajaran Islam, pasti akan bergema syiar Islam di seluruh dunia"

Foto di atas adalah anak abangku (sh narumi aiko) di samping
isteriku tersayang (sh afifah). Foto diambil sejurus ketibaan abangku sekeluarga dari Jepun setelah selesai pengajiannya di peringkat doktor falsafah.

Photo dated: 24th April 2008, 8.35pm

Harapan Baharu Menjelma  

Posted by zizane62


Dengan mereka yang turut bersamaku, terserlah sinar harapan untuk membentuk pemuda-pemudi berjiwa qurani di tempatku menabur ilmu. Walaupun latar belakangnya tidak segah institusi-institusi pendidikan yang lain akan tetapi 'ruh'nya itulah yang perlu aku kumpul kembali.

Satu tugas yang bukan mudah. Teringat akan pesanan As-Syahid Imam Hasan Al-Bana, "jalan dakwah ini dipenuhi dengan onak duri dan jalan yang berliku." Sebab itulah tidak ramai di kalangan hamba Allah yang memilih jalan ini fikirku. Aku tidak boleh gentar, tidak sesekali akan kecut dan mengalah. Keyakinanku jelas, tekadku bulat. Kuat manapun lautan bergelora, akan kuredah jua.

Allah Maha Pengasih, Pemurah, Adil dalam melayani hamba-Nya. Diperginya satu, ada saja datang mengganti. Aku orang jamaah. 'Baju' yang kupakai adalah amanah yang perlu kujalankan di mana saja aku dicampakkan. Bagiku, ini adalah perancangan Allah dan perlu aku jayakan perancangan itu sebaik-baiknya.

Buat sahabat-sahabat seperjuangan, doakan agar usaha murni ini berjaya...Amiiin

Pesan Saiyidina 'Umar al-Khattab  

Posted by zizane62

Dalam menyusuri kehidupan berkeluarga, teringat aku pada pesanan Khalifah kedua umat Islam selepas kewafatan baginda Rasulullah SAW. Pesannya, "Didiklah anak-anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu"

Walaupun ringkas, tetapi maksud tersirat melampaui pemikiran pada ketika itu. Anak-anak adalah anugerah Allah. Bagi insan yang telah menemui alam selepas kehidupan, anak yang soleh dan solehahlah yang menjadi salah satu 'contributor' kepada kehidupan di alam kubur seperti yang tercoret dalam satu hadis.

Mereka inilah generasi penerus kepada kegemilangan peradaban dan keilmuan Islam. Hal ini turut dikongsi oleh ahli falsafah China, Konfusius yang menyatakan dengan jelas

"Jika kamu merancang untuk setahun, tanamlah padi,
Jika kamu merancang untuk sepuluh tahun, tanamlah pokok,
Jika kamu merancang untuk seratus tahun, didiklah anak-anak kamu"

Aku terbayangkan suasana pada masa akan datang di mana generasi penggeraknya adalah mereka yang tidak terdidik dengan Al-Quran sebagai paksi utama. Kan haru....Na'uzubillah.

Umat Tanpa Iman  

Posted by zizane62

Dalam kekhusyukanku berkongsi pandangan bersama rakan seperjuangan, tumpuanku disapa oleh berita yang menyatakan terjadi pertengkaran mulut di tempat letak kereta PTPL. Bila ku jenguk ke luar, menteeku rupa-rupanya.

Sedikit pelanggaran semasa meletak kereta. Apa yang aku ingin kongsi bukanlah soal siapa salah tapi apabila perbalahan yang berlaku dalam keadaan tiada iman tertanam di hati, maka masing-masing tidak mahu mengalah. Aku cuba merenung ke dalam diri. Kalau aku juga begitu, mana mungkin aku dapat melahirkan generasi al-Quran suatu hari kelak...Nau'zubillah.

Umat tanpa iman ibarat layang-layang tanpa tali. Tanpa arah, tanpa tujuan. Ke mana angin bertiup, ke situlah ia akan melayang. Itulah resam umat. Tanpa iman, dunia akan 'meniup' kita ke mana sahaja.

Aku berdoa agar diriku, isteriku, ahli keluarga dan seluruh umat islam tidak menjadi mangsa 'tiupan' angin ini.

Pendakwah alam siber (Bhgn 1)  

Posted by zizane62

Zaman ini bukan sembarangan zaman. Maklumat tanpa sempadan, maklumat tidak bertepi. Ibarat asap, boleh meresap selagi ada ruang dan peluang. Kesan globalisasi ini lagi hebat. Maklumatnya cepat, padat, tepat, hebat. Tidak kurang juga yang berbaur merendahkan darjat dan tahap kemanusiaan. Lebih hina dari haiwan agaknya.

Ada dua pilihanku sekarang. Nak dimanfaat atau dilihat ?

Hari yang mencabar  

Posted by zizane62

Selesai sahaja menunaikan solat fardhu Subuh berjemaah bersama isteri tersayang, kucapai Al-Quran untuk ku saji pagi ku dengan kalimah Allah. Sungguh kurasakan ketenangan dan terasa diberi satu suntikan kekuatan untuk meneruskan hari ini, 13 April 2008.

Aku punya tugas besar hari ini....untuk memindahkan barangan dari rumah sewaku ke rumah abah. Letih memang letih tetapi Alhamdulillah berakhirnya azan Zohor menandakan berakhirnya tugasanku..

Tetapi, sekitar jam 2 petang, rehatku dikejutkan panggilan dari abah...dia kemalangan....

Aku Diketuk...(Bhgn. 1)  

Posted by zizane62

Pelik rasanya apabila jiwa mula diketuk kembali. Manakan tidak, hampir setahun lebih aku tidak berkongsi sebarang ilmu, pengalaman, coretan cerita, isu semasa dalam alam siber ini.

Beberapa event penting telah mengembalikan jiwa muda bergolak ini. Seringkali bermain di benak fikiran yang perlu kembali setelah beberapa kali diketuk. Events yang aku maksudkan merujuk kepada keputusan pilihanraya umum ke-12 yang lalu.

Manakan tidak, sejarah kebangkitan rakyat di beberapa buah negara lain diwarnai dengan demonstrasi besar-besaran, rusuhan dan sebagainya tapi di Malaysia, faktor alam siber memainkan peranan. Ingin aku kongsikan kejutan PRU ke-12 yang lepas. Sehari sebelum hari mengundi, aku ada berbincang dengan seorang teman satu jamaah yang baru balik dari Semenanjung (semata-mata untuk mengundi). Menurutnya perkembangan di Semenanjung menunjukkan tidak mustahil majoriti 2/3 BN akan dinafikan.

Aku janggal dengan kenyataan tersebut kerana berdasarkan laporan media perdana, BN dijangka akan mengulangi kejayaan PRU ke-11. Kuterima pandangan tersebut walau dalam hati masih meragui kemampuan parti lawan.

Bilamana sahaja keputusan diumumkan satu per satu, aku yang ketika itu berada di rumah mertua tersayang di Sebuyau terpukau dengan apa yang sedang berlaku, satu per satu...