Hari ini genaplah 10 tahun Islam ibuku kembali ke rahmatullah. Beliau meninggal pada 7 Rejab 1419H bersamaan 28 Oktober 1998.
Sepanjang hidupnya, ibuku seorang yang cekal, tabah dan sanggup berbuat apa sahaja demi anak-anak dan suaminya. Segala pengorbanan si ibu pernah aku rasai, cuma tidak berkesempatan untuk membalasnya.
Antara pengorbanan yang tidak mungkin dapat dilupakan adalah kesanggupan ibuku pergi dari rumah ke rumah untuk menjual barangan perhiasan semata-mata untuk mengumpul duit untuk membeli kereta proton saga merah supaya dapat mengambilku pulang lebih awal daripada Tadika. Aku biasa diambil ayahku sekitar jam 2.30-3.00 petang. Waktu tadika habis jam 11.00 pagi.
Dan banyak lagi pengorbanan lain yang tidak mungkinkan terbalas semuanya.
Kasih-sayang arwah ibu, tidak akan setara dengan kasih-sayang orang lain. Ibarat baru semalam sentuhan, derai tawa, gurauan ibuku terngiang-ngiang di telinga. Adik-beradikku 7 orang semuanya, 6 lelaki, yang terakhir perempuan. Anak-anak lelaki biasanya cerewet dalam hal makanan. Biasanya kami akan bertanya, ini ikan apa? sayur apa? Untuk mendorong kami supaya makan, ibuku akan menjawab, "tok ikan nombor satu, sayor nombor satu".
Sehingga sekarang aku rindukan kata-kata begitu dari ibuku. Bangun pagi hujung minggu, ibu akan bertanya, nak makan apa? Nasik goreng? Memang ibu tahu apa yang aku gemari. Ibu, hanya ibuku yang tahu dan memahami selera makanku. Sebut saja, jarang aku menolak makanan ibu.
Nampak rambut panjang sikit, ibu akan memanggil-manggil anak bujangnya untuk digunting rambut. Semuanya dibuat sendiri oleh ibu. Semuanya sentuhan tangan ibu. Mungkin itulah yang menyebabkan kami adik-beradik lelaki tidak pandai berambut panjang sampai sekarang.
Ibuku hobinya menanam pokok bunga, memelihara ikan. Setiap kali tidur malamnya terganggu akibat asma, ibuku akan duduk di hadapan akuarium ataupun keluar melihat bunga-bunganya hatta jam 2 atau 3 pagi. Lebih-lebih lagi di saat-saat akhir pemergiannya. Semakin kerap 'berhubung' dengan ikan dan bunga-bunganya. Mungkin untuk menyatakan selamat tinggal.
Aku bermain bola, ibulah peminat nombor satu walaupun pada hakikatnya dia tidak tahu sukan bola. Dialah akan hadir setiap kali perlawanan diadakan. Kejayaanku sehingga keluar di dada akhbar, ibulah orang pertama yang aku beritahu dan segera dia mendapatkan surat khabar. Kadang-kadang aku geram bilamana dia mengkritik caraku bermain sedangkan satu pun dia tak tahu. Bila mengenangkan kembali saat itu, lucu ada, sayu pun ada.
Kalau keputusan peperiksaan kami adik-beradik cemerlang, ibu ibarat 'ayam bertelur sebiji, riuh sekampung'. Ibu akan berkongsi kecemerlangan anak-anaknya bersama adik-beradiknya. Dia amat rapat dengan adik-adiknya. Ibu sering berkata kepada adik-adiknya, "tidak mengapa hidupku susah sekarang tapi suatu hari kelak, anak-anakku akan membelaku". Kalaulah ibu masih hidup, mesti dia berbangga dengan kami semua lebih-lebih lagi abangku yang sudah bergelar Doktor Falsafah.
Kenangan-kenangan itu aku simpan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan di Syurga Allah aku dapat berjumpa semula dengan arwah ibu. Al-Fatihah...
This entry was posted
on 10 July 2008
at 9:36 AM
and is filed under
Keluarga
. You can follow any responses to this entry through the
comments feed
.
Tentang Diri Saya
- zizane62
- Penulis dikenali dengan nama Wan Azizan B Wan Zainal Abidin Alqadri. Kini sebagai Penyelaras Negeri Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Pulau Pinang. Tanggungjawab sosial kepada umat adalah sebagai Yang Di-Pertua merangkap Ketua Biro Pendidikan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak. Mantan Bendahari ABM, mantan SUA dan YDP PERKEPIS. Berkelulusan Diploma Lanjutan (Pengurusan Kewangan), Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Perakaunan). Suami kepada Sharifah Afifah Bt Wan Morsidi, Ayah kepada Syed Umar Solihin & Sharifah Aisya Hawani. Boleh dihubungi melalui emel @ YM zizane62@gmail.com
Artikel Semasa & Terdahulu
-
▼
2008
(39)
-
▼
July
(13)
- Rehat hujung minggu, mensyukuri nikmat Ilahi
- Rasulullah SAW di dalam Kitab Hindu dan Buddha
- ABIM Sarawak's blog
- Muktamar Sanawi ABIM Sarawak kali ke-29
- POLIS KENA BUKTIKAN DAHULU!!
- Tahniah Pendebat!
- Hubbud Dunya - Cinta Dunia
- 10 tahun berlalu...Al-Fatihah
- Tinjauan pendapat Malaysiakini ke atas kes P Balas...
- Mereka yang alim, tolong nyatakan pandangan
- Political Minded?
- MEREKA PUNYAI SATU PERSAMAAN
- Ini Pendirian Ezam
-
▼
July
(13)
Info Waktu Solat
Blog Rujukan
ABIM & Agensinya
Maklumat Umum
Bank
Emel
Tetamu 'Online'
Huwa Jiddi
Masa
Salam Ziarah
Hadith Rasulullah SAW
Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda;
"Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah s.w.t. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah s.w.t. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan"'. Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?" Nabi Muhammad s.a.w. kita menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati".
H.R. Abu Daud