Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Rehat hujung minggu, mensyukuri nikmat Ilahi  

Posted by zizane62 in


Sekali sebulan meluangkan masa hujung minggu di kampung halaman isteriku memang sesuatu yang amat menyenangkan. Walaupun tidak lama (tak sampai pun 24 jam) tetapi suasananya yang harmoni cukup untuk merehatkan fizikal dan mindaku yang tidak berhenti bergerak sepanjang minggu dari urusan pekerjaan sehingga tanggungjawab kepada umat.

Terletak di antara Simunjan dan Kota Samarahan, pekan Sebuyau masih lagi jauh dari kebingitan bandar yang menyesakkan. Walaupun penghuninya rata-rata sudah berkereta, masih tidak mengurangkan kenyamanan beristirehat di sini. Anginnya sejuk, udaranya segar. Mungkin kerana lokasinya di pesisir laut dan di kelilingi suasana kehijauan.

Dalam menikmati nyamannya udara petang, teringatku firman Allah SWT seperti dinukilkan dalam Surah Ar-Rum ayat 22-25;

22 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Dia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.

23 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahanNya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).

24 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Dia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.

25 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Dia menyeru kamu dengan satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta-merta keluar (dari kubur masing-masing).

Semoga umat Islam akan terus menjadi insan yang bersyukur di atas nikmat yang tidak terhingga ini.

Makluman:
Dalam kesempatan ini, tahniah diucapkan kepada Saudara Isman Hadi Jaafar dan isteri yang telah selamat menimang cahaya mata pertama (baby boy) 5 hari lepas. Semoga terus dimurahkan rezeki.

Hubbud Dunya - Cinta Dunia  

Posted by zizane62 in

Ramai yang masih belum mengadaptasi sepenuhnya konsep hubbud dunya (cinta dunia) dan hubbul akhirah (cinta akhirat) walaupun pada dasarnya memahami dengan sedalam-dalamnya terdapat hidup sesudah mati. Islam mengajar supaya umatnya mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW tanpa mengabaikan dunia sebagai ladang akhirat.


Formulanya mudah, cintakan Allah melahirkan rasa cinta kepada akhirat. Cintakan Allah akan mendapat keberkatan hidup dunia dan akhirat. Manifestasi dari rasa cinta ini adalah wujudnya keberaniaan menyanggah segala bentuk kebatilan yang melanda. Inilah Ashabul Kahfi akhir zaman.

Rasulullah menggelar mereka ini sebagai 'Ghuraba' berdasarkan sabda Baginda yang bermaksud, "Islam bermula asing dan kembali asing seperti permulaannya, maka bahagialah golongan Ghuraba. " Sahabat bertanya, "Siapa Ghuraba, ya Rasulullah?' Baginda bersabda, "Mereka ialah golongan yang memperbaiki keadaan yang dirosakkan oleh manusia," - Riwayat Ahmad.

Inilah sebahagian daripada manifestasi kecintaan terhadap Allah yang akhirnya menyedarkan umat manusia bahawa hubbud dunya secara semberono hanya akan menjauhkan cinta Allah kepada kita. Na'uzubillah...

Panduan Solat Hajat  

Posted by zizane62 in

Bagi sesetengah orang yang bukan daripada latarbelakang pendidikan agama, banyak perkara yang merunsingkan dan kadang-kadang mengelirukan apabila berdepan dengan permasalahan hukum atau panduan dalam mengerjakan sesuatu ibadah.

Contohnya dalam melaksanakan solat sunat hajat. Dari sekolah rendah ke sekolah menengah hinggalah sekarang, pelbagai versi solat hajat yang aku pelajari daripada mereka yang berpendidikan agama. Lebih-lebih lagi dalam bilangan bacaan, surah yang dibaca, sujud meminta hajat sebelum atau selepas salam.

Ustaz ini kata begini, ustazah itu kata begitu. Bagiku yang bukan dari 'mainstream' agama, satu pun aku katakan tidak betul. Siapalah aku untuk mengatakan ini betul atau itu salah. Silap-silap, Dr Asri memfatwakan aku sesat.

Cuma aku ingin berkongsi kaedah pelaksanaan solat sunat hajat seperti yang tertulis di dalam kitab Al-Qirthaas, Syarah Raatib Qutub Al Anfaas Alhabib Umar Bin Abdurrahman Al-Attas yang ditulis oleh Al'Allaamah Alhabib Ali Bin Hasan Abdullah Bin Husen Bin Umar Al-Attas Baa'alawi Alhadhrami.

Menurut Asy Syaikh Abul Khair Alyamaani Asy Syarji yang telah mengutip dari Muhammad bin Darsituwiyyah, ia telah berkata:" Aku telah melihat pada Kitab Al Imam Asy Syafi'i (rahimahullah) yang ditulisnya sendiri tentang 'Solat Hajat' untuk 1000 (seribu) hajat atau keperluan, yang diajarkan oleh Nabi AlKhidhir kepada sebahagian hamba-hamba Allah iaitu melakukan solat 2 (dua) raka'at sebagai berikut:

Pada raka'at pertama: Membaca Al-Fatihah dan surah Al-Kafirun (10 kali)

Pada raka'at kedua: Membaca Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas (11 kali)

Kemudian sesudah salam, ia sujud kembali sambil membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW 10 kali disusuli dengan mengucapkan "Subhaanallah Walhamdulillah Walaa Ilaha Illallah Wallahu Akbar Walaa Haula Wala Quwata Illa Billahil A'liyyil A'zim" sebanyak 10 kali. Kemudian disusuli dengan "Rabbana Aatina Fiddunya Hasanah Wafil Aakhirati Hasanah Waqina A'zabannar" sebanyak 10 kali juga. Kemudian mintalah hajat kepada Allah, Insya-Allah akan terkabul.

Alhakim berkata,"Barang siapa yang melaksanakan solat sunat hajat, hendaklah ia mandi pada malam Jumaat dan memakai pakaian yang bersih dan solatlah di waktu sahur dengan niat mohon dipenuhi hajatnya".

Mudah-mudahan dengan adanya sedikit ilmu ini akan menambahkan pengetahuan kita untuk dikongsi bersama umat-umat Islam yang lain.

Wallahua'lam.

(Nota: Bacaan ayat Quran dalam bentuk tulisan rumi boleh mengandungi kesilapan. Bacaan yang terbaik adalah dalam bentuk tulisan Arab itu sendiri. Harap maaf sekiranya terdapat kesilapan pada tulisan rumi tersebut)






Pesan Dr. Yusuf al-Qaradhawi  

Posted by zizane62 in

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menetapkan di dalam bukunya ‘Nasr Jail al-Mansyud’ bahawa generasi muda perlulah mempunyai ciri-ciri seperti: berpegang dengan realiti dan tradisi keilmuan, bekerja untuk membina masyarakat, bersifat rabbaniyyah dan penuh keikhlasan, menghayati Islam dengan sebenarnya dan bukan melalui keturunan atau suasana, berdakwah dan berjihad, mempunyai kekuatan dan rasa ‘izzah serta bersifat fleksibel dan sederhana.

Beliau juga di dalam kitabnya, ‘Kritikan dan Saranan untuk Para Da’ie’ menambah beberapa ciri lain, iaitu berpandangan jauh, kreatif, inovatif, personaliti yang disenangi umum, berfikiran strategik, berketrampilan, berdinamisme dan mempunyai ketahanan diri yang tinggi.