Contohnya dalam melaksanakan solat sunat hajat. Dari sekolah rendah ke sekolah menengah hinggalah sekarang, pelbagai versi solat hajat yang aku pelajari daripada mereka yang berpendidikan agama. Lebih-lebih lagi dalam bilangan bacaan, surah yang dibaca, sujud meminta hajat sebelum atau selepas salam.
Ustaz ini kata begini, ustazah itu kata begitu. Bagiku yang bukan dari 'mainstream' agama, satu pun aku katakan tidak betul. Siapalah aku untuk mengatakan ini betul atau itu salah. Silap-silap, Dr Asri memfatwakan aku sesat.
Cuma aku ingin berkongsi kaedah pelaksanaan solat sunat hajat seperti yang tertulis di dalam kitab Al-Qirthaas, Syarah Raatib Qutub Al Anfaas Alhabib Umar Bin Abdurrahman Al-Attas yang ditulis oleh Al'Allaamah Alhabib Ali Bin Hasan Abdullah Bin Husen Bin Umar Al-Attas Baa'alawi Alhadhrami.
Pada raka'at pertama: Membaca Al-Fatihah dan surah Al-Kafirun (10 kali)
Pada raka'at kedua: Membaca Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas (11 kali)
Kemudian sesudah salam, ia sujud kembali sambil membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW 10 kali disusuli dengan mengucapkan "Subhaanallah Walhamdulillah Walaa Ilaha Illallah Wallahu Akbar Walaa Haula Wala Quwata Illa Billahil A'liyyil A'zim" sebanyak 10 kali. Kemudian disusuli dengan "Rabbana Aatina Fiddunya Hasanah Wafil Aakhirati Hasanah Waqina A'zabannar" sebanyak 10 kali juga. Kemudian mintalah hajat kepada Allah, Insya-Allah akan terkabul.
Alhakim berkata,"Barang siapa yang melaksanakan solat sunat hajat, hendaklah ia mandi pada malam Jumaat dan memakai pakaian yang bersih dan solatlah di waktu sahur dengan niat mohon dipenuhi hajatnya".
Mudah-mudahan dengan adanya sedikit ilmu ini akan menambahkan pengetahuan kita untuk dikongsi bersama umat-umat Islam yang lain.
Wallahua'lam.
(Nota: Bacaan ayat Quran dalam bentuk tulisan rumi boleh mengandungi kesilapan. Bacaan yang terbaik adalah dalam bentuk tulisan Arab itu sendiri. Harap maaf sekiranya terdapat kesilapan pada tulisan rumi tersebut)