Kepulangan Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulamak dan guru di Masjidil Haram ke Tanah Melayu pada 1922 telah mencetuskan pemikiran baru tentang perjuangan kemerdekaan di kalangan rakyat negara ini. 

Sheikh Abdullah Fahim atau nama sebenarnya Abdullah bin Ibrahim adalah ulamak berdarah campuran Arab-Pattani yang berasal dari Makkah. Beliau dilahirkan di Kota Suci pada 1869 di mana ayahnya, Sheikh Ibrahim bin Tahir adalah guru di Masjidil Haram semenjak berhijrah dari Pattani ke Kedah, kemudian ke Seberang Perai sebelum ke Makkah ketika berlakunya Perang Pattani-Siam pada 1830-an.

Dengan keistimewaan beliau sebagai anak seorang ulamak di Makkah, Haji Abdullah telah mengambil kesempatan untuk mendalami pelbagai ilmu agama di sana. Sepanjang pengajiannya, Haji Abdullah telah berjaya menguasai ilmu-ilmu agama seperti usuluddin, fiqh, tasawuf dan tarekat, tafsir al-Quran, hadis, falak serta ilmu alat seperti arudh dan qawafi dalam rumpun sastera Arab. 


  Beliau dikata berguru dengan lebih 50 orang ulamak dan mendapat 42 ijazah dalam pelbagai bidang pengajian termasuk politik. Dengan kedudukan ilmu beliau ini, Haji Abdullah telah diterima sebagai salah seorang guru di Masjidil Haram sehingga 1921. 

Beliau telah turun ke Tanah Melayu pada 1921 kerana semangatnya untuk memperjuangkan pembebasan tanah air dan bangsanya dari belenggu penjajah. Selepas pulang ke Tanah Melayu, beliau dijemput oleh Sheikhul Islam Kedah, Sheikh Wan Sulaiman Wan Sidiq untuk mengajar di Pondok Wan Sulaiman atau Madrasah Limbongan Kapal (kini Maahad Mahmud) selama empat tahun. 

Pada 1926, beliau kembali ke Kepala Batas dengan tujuan menubuhkan sebuah institusi pendidikan bagi melahirkan anak bangsa yang boleh memperjuangkan kemerdekaan negara. Beliau menamakan pusat pengajiannya sebagai “Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah”. Perkataan “al-Wathaniyah” atau Bumiputera itu jelas memperlihatkan semangat kemerdekaannya.

Tuan Guru Haji Abdullah Fahim bukan sahaja mengasas dan mengajar di sini, tetapi turut menjadi mudir sehingga 1930. Antara murid beliau yang paling terkenal ketika ini ialah Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pengasas Hizbul Muslimin. Di sini, Haji Abdullah telah memperkenal pengajian berkelas (nizami) dan juga umum (adami). 

Pada 1930, Sheikh Abdullah Fahim dijemput oleh Sultan Perak untuk menjadi Mudir Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan. Beliau berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Idrisiyah sehingga 1946. Antara pelajar beliau di sini termasuklah Ustaz Abu Bakar al-Bakir, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Prof Zulkifli Mohammed. 

Setelah meninggalkan Bukit Chandan, Haji Abdullah kembali ke Kepala Batas dan menguruskan Madrasah  Daeratul Maarif. Walau bagaimanapun, beliau hanya berkhidmat sebagai penaung, manakala anaknya, Tuan Haji Ahmad Badawi sebagai mudir dan murid kesayangannya, Ustaz Abdul Halim al-Hadi sebagai guru besar. Beliau menolak tawaran untuk dilantik sebagai Sheikhul Islam Kedah kerana menjaga maslahat madrasah ini. Pada 1951, Haji Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama dan beliau berkhidmat selama lima tahun. Selepas itu, beliau hanya menumpukan kepada kegiatan keilmuan di Kepala Batas dengan menjadi guru agama di sana. 

Selepas Perang Dunia Kedua tercetus, Sheikh Abdullah Fahim telah mula terlibat dalam politik kepartian dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai. Ketika Umno ditubuhkan pada 1946, beliau adalah ahli Umno pertama dari Pulau Pinang. Beberapa ketika kemudian, kerana kemasyhuran beliau sebagai seorang ulama, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno yang kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Agama dan Pelajaran Umno. Meskipun menjadi ahli Umno, kemahuan beliau untuk melihat kemerdekaan tidak padam walaupun Umno ketika itu tidak memperjuangkan kemerdekaan. 


Ketika murid beliau, Ustaz Abu Bakar al-Bakir menubuhkan Hizbul Muslimin, beliau bukan sahaja memberikan sokongan tetapi telah dilantik mempengerusikan Majlis Penasihat Hizbul Muslimin pada 1948 dan dalam masa yang sama mengetuai Bahagian Agama Umno. Ekoran beberapa krisis dalaman Umno berkaitan sikap Umno terhadap isu-isu agama seperti isu judi loteri, fun-fair, kaberet, isu pemurtadan Natrah dan lain-lain, Haji Abdullah telah berundur sebagai Pengerusi Bahagian Agama pada 1950. Selepas itu, jawatan ini diambil alih oleh muridnya, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan. 

  Walaupun Haji Abdullah tidak menyertai dua Persidangan Alim Ulamak Malaya pada 1950 dan 1951, tetapi beliau menghantar anaknya, Haji Ahmad Badawi untuk menyertainya. Apabila Persatuan Ulamak Se-Malaya ditubuhkan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, persatuan tersebut telah merancang mengadakan Persidangan Ulamak di Butterworth pada 24 November 1951 untuk meluluskan undang-undang tubuh dan melantik jawatankuasanya. Haji Abdullah Fahim sebagai Mufti Pulau Pinang telah merasmikan persidangan ini yang akhirnya telah mengambil keputusan menukar nama Persatuan Ulama Se-Malaya kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Haji Abdullah Fahim sendiri dicalon sebagai Yang Dipertua Agung PAS tetapi tewas kepada Tuan Haji Ahmad Fuad. 

Sebaik sahaja PAS ditubuhkan, Madrasah Daeratul Maarif telah dipilih sebagai Pejabat Agung PAS yang pertama sebelum berpintah ke Bukit Mertajam. Selepas itu ia kembali ke madrasah ini pada 1953 sebelum menumpang beberapa ketika di rumah Setiausaha Agung PAS, Haji Ahmad Maliki iaitu berhampir madrasah ini juga. 

Kerana penyertaan Haji Abdullah dalam PAS, hampir seluruh murid dan keluarganya menjadi tenaga penting PAS. Turut menyertai PAS di kalangan jawatankuasa madrasah ini ialah Cikgu Ahmad Awang, Ustaz Abdul Halim al-Hadi, Ustaz Abdul Kadir Kamal dan Ustaz Mohd Saghir. Di kalangan keluarganya pula ialah anaknya, Haji Ahmad Badawi; menantunya, Hajah Kailan Hassan; iparnya, Haji Mansor Hassan JP dan beberapa yang lain. 

Pada 3 April 1952, Jawatankuasa Agung PAS telah memutuskan untuk menubuhkan Dewan Ulama PAS bagi menyatukan tenaga ulama dan mengelola urusan hukum-hukum agama, maka Sheikh Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama PAS yang pertama. Antara langkah penting dilaksanakan oleh beliau ialah mengadakan perjumpaan sekolah-sekolah agama rakyat pada 22 Mei 1952 bagi merundingkan usaha untuk menyatukan sekolah agama dan membentuk kumpulan wang untuk membangunkan sistem pendidikan tersebut. Beliau juga telah membuka Pejabat Dewan Ulama PAS di Madrasah Khairiyah, Pokok Sena iaitu sekolah milik Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein. 

Pada akhir 1953, telah berlaku krisis kepemimpinan PAS ekoran sokongan PAS terhadap National Convention tajaan Tunku Abdul Rahman. PAS mula membentuk disiplin parti dengan mencegah pimpinan PAS menjadi ahli parti lain. Pada Ogos 1954, bertempat di Madrasah ad-Diiniyah, Bagan Serai, PAS meluluskan usul tersebut. Akibatnya, beberapa pimpinan PAS seperti Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Haji Maansor JP, Tuan Guru Haji Huseein Che Dol, Haji Ahmad Maliki dan Haji Ahmad Badawi terpaksa memilih untuk kekal dalam PAS atau menjadi ahli Umno. Haji Hussein Che Dol, Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki memilih untuk meninggalkan PAS dan kekal bersama Umno. Pendirian ini turut diambil oleh Sheikh Abdullah Fahim. 

Walaupun tidak lagi bersama PAS selepas 1954, Haji Abdullah Fahim selaku Mufti bersama Ustaz Abdul Halim al-Hadi (Guru Besar Maarif Wathaniyah) dan Sheikh Salleh Masri (Pengerusi Majlis Penasihat Agama Pulau Pinang) telah mengeluarkan fatwa mewajibkan umat Islam keluar mengundi dan melarang mereka mengundi calon bukan Islam dalam pilihan raya 1955. Isu ini menjadi hangat kerana ia dilihat merugikan Perikatan dan Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad Awang pula menyokong fatwa ini. Pada 31 Mei 1955, pendaftaran PAS telah diluluskan dengan beralamat di “Arabic School, Kepala Batas” iaitu madrasah milik Haji Abdullah Fahim. 

Sumbangan penting Haji Abdullah dalam politik negara ialah menetapkan tarikh kemerdekaan negara pada  31 Ogos 1957. Berdasar keilmuan beliau dalam bidang falak, beliau mengatakan itu tarikh terbaik untuk Tanah Melayu merdeka. Tuan Guru Sheikh Abdullah Fahim telah meninggal dunia pada 27 April 1961 dalam usia 92 tahun. Beliau meninggalkan tiga anak termasuk Tuan Haji Ahmad Badawi iaitu bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Memaknai Erti Merdeka  

Posted by zizane62


 BICARA MERDEKA SEORANG GURU TUA

Lima dasawarsa yang lalu
aku, anak desa yang dungu serba tak tahu
hanya ikut-ikutan melulu
memekik “Merdeka! Hidup Tunku!” bertalu-talu.


Hingga tiba ketika aku berani bertanya
ruh dan makna sepatah kata,
meminta bukti nyata sebuah cerita
“Merdeka”.

Kutadah segala madah
kuperah khazanah hikmah
kutemukan daulat karamah insaniyah
mulia perkasa dengan al-izzah.

Merdeka siapa cuma mengenyah penjajah
merdekaku meraih izzah
Deklarasi syahadah: La ilaaha illa Lllah
menyanggah berhala seribu wajah
mengenyah segala bedebah penjajah, penjarah, penjenayah.
Kubongkar pendaman fakta
Kubuka kitab pusaka
Terserlah deretan nama
Wira merdeka bukan Tunku sahaja
ramai yang mendahuluinya.

Mendadak aku bertanya
sejarah bikinan siapa?
Merdekakah kita,
julingkah mata sarjana
apabila tidak bersuara
tentang pahlawan tak dikenang
wira tak didendang?

Lima dasawarsa lamanya
banyak kata belum terkota
banyak lagi rupa tak seindah berita.

Bagi generasi yang semakin tak mengerti
kata merdeka bak mantra yang hilang sakti
dan mereka semakin tak peduli.

Jiwa merdeka sirna ditelan pesta
matilah rasa hilanglah peka
betapapun gegak gempitanya
pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Tetapi semerta terbelalak mata
bila setan korupsi menggoda,
“Mau duit ka? Mau duit ka? Mau duit ka?”

Gejala pesona yang kian menggila
menginjak takwa menganjak jiwa
merdeka dengan ketuhanan Yang Maha Esa
menjadi hamba kewangan yang “maha berkuasa”.

Pada Hari Merdeka yang ceria
kusimpan tangis di balik tawa
kupendam cemas di tengah pesta.
Akan terjualkah merdeka kita?


Hasil Nukilan:
Dato’ Dr. Siddiq Fadzil,
31 Ogos 2007

Pulau Pinang Pulau Mutiara - Chapter 1  

Posted by zizane62

Lama dah aku berehat dari tulis-menulis ni. Dengan sedikit kudrat minat menulis yang terbatas ni, bolehla jugak nak share sekerat dua pengalaman awal dah nak hampir sebulan berhijrah ke negeri orang ni. Tapi masih berkecamuk nak tulis yang mana satu. Al-maklumlah, bab2 nak susun plot cerita ni memang tiada ilmu di dada. Semoga Allah berikanku ilham dalam menyampaikan sesuatu yang bermanfaat.



Pulau Pinang begitulah nama diberi, juga dikenali sebagai Pulau Mutiara. Tapi so far aku tak jumpa pulak Mutiara ni. Mungkin ada kat mana2 kot tapi aku je yang belum jumpa. Takpalah, nanti2 aku boleh carik. Balik kepada cerita di negeri orang ni. Mula2 dpt tahu nak transfer ke sini, tertanya2 pulak boleh ke aku buat? Yalah kalau nak dikatakan keperluan sampai nak perlu pindah, Alhamdulillah kalau di hometown dah serba cukup bagi akulah. Bagi orang lain tak tau pulak. Rumah dah ada, kereta, motosikal, anak, bini, kawan2. Bolehlah dikatakan berada dalam zon selesa...Alhamdulillah..

Jadi, aku betulkan niat hijrah ini kerana Allah. Memang dalam apa2pun yang kita buat niat kerana Allah, barulah berkat. Jadi aku sahut cabaran kerana meyakini Allah lah yang Maha Mengetahui hikmah penghijrahan ini. Dalam suasana nak hari raya, aku pulak bawak family berhijrah. Nak dipendekkan cerita, penghijrahan pun bermula...

Masa nak take-off

Bestnyer nait belon...hehe







Adek mesti pegang tangan abang, gugok kelak

Adek dah 'kepak' gilak tok
Bukan main seronok lagi Umar & Aisya dapat naik 'belon'. Selama ni hanya setakat 'babai belon' dari rumah. Pada hari penerbangan tak sangka pulak hajat tercapai. Mungkin pada mereka Bagai Bulan Jatuh ke Riba...hmmmm. Isteri pulak tak boleh nak 'aktif' sangat memandangkan yang dalam perut pun nak mintak perhatian jugak. Jadilah aku Usain Bolt mengejar anak2 yang serba aktif. Pantang lihat space besar sikit mulalah adegan kejar-mengejar.

Gaya pecutan Bolt - Gaya yang aku gunakan nak kejar Umar & Aisya
Bolt - Die Hard Fan of Manchester United
Lebih kurang pukul 11.30 pagi 5 Ogos 2012, kami semua selamat touch-down di airport Penang. Bagi aku, Umar & Aisya, Ahlan Wasahlan Wa Marhaban Bikum Ila Penang. Orang rumah dah pernah sampai sebelum ni, jadi Selamat Datang Lagi sekali. Kali ni terus bermastautin di sinilah pulak..

Insya-Allah, dalam Chapter 2 bolehlah aku sambung kesah nak carik rumah sewa, bukak puasa dan sebagainya. Semoga diberi Allah kekuatan dan keistiqamahan...

Tentang Siswazah Muda ABIM (SISMA) Sarawak  

Posted by zizane62

Assalamua'laikum Wrh Wbt..


Ramai yang mula tertanya-tanya apa itu SISMA? Apa objektif SISMA dan peranannya dalam gerakan dakwah di Sarawak.


Berikut adalah petikan ucapan saya semasa melancarkan SISMA Sarawak pada 4 Februari 2012 yang lepas. Semoga menjawab apa yang terbuku.


Wallahua'lam.


‎"Dengan menerapkan 5 budaya ABIM, 1. Menghayati Budaya Ilmu 2. Menghayati Amalan Kerohaniaan 3. Menghayati Amal Syura & Amal Jama'iy 4. Memahami & melibatkan diri dalam isu semasa 5. Menghayati Ruh jihad Fi Sabilillah, ABIM Sarawak melalui Biro Tugas-tugas Khas (Regenerasi) melancarkan penubuhan Siswazah Muda ABIM (SISMA) sebagai platform untuk anak2 muda berkongsi idea, ilmu & tenaga seterusnya bersama2 Abim Sarawak untuk menzahirkannya dalam bentuk program tarbiyyah dan dakwah kepada masyarakat.

SISMA akan berdiri seiring bersama2 ABIM Sarawak dan merupakan elemen pelengkap kepada rantaian2 dakwah ABIM Sarawak seperti Akademi Bestari Muda (ABM), Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) & Wadah Pencerdasan Umat (WADAH).

Inilah yang dimaksudkan dalam firman Allah dalam Surah As-Soff ayat 4, "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh".

Dengan hadirnya 'the missing puzzle" dalam mata rantai ini, kita berdoa agar ABIM Sarawak akan lebih bersemangat, bertenaga & konsisten untuk mengadakan program-program berbentuk keilmuan, kerohaniaan & latihan."



Berikut adalah petikan ucapan saya semasa melancarkan SISMA Sarawak pada 4 Februari 2012 yang lepas. Semoga menjawab apa yang terbuku.






Gambar di atas bersama orang kuat SISMA, Saudara Hasif (kiri) dan Saudara Afiq Asyraf. Tahniah! Anda dan barisan pelaksana telah memberikan yang terbaik dengan penganjuran program yang lepas.










Liputan media program Wacana Anak Muda yang dianjurkan SISMA (dalam Bahasa Malaysia & Bahasa Inggeris). Sungguh, kita perlu perbanyakkan wacana sebegini di masa akan datang.

Akhlak Rasulullah SAW - Kisah Baginda Dengan Pengemis Yahudi Buta  

Posted by zizane62







Dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 Allah SWT berfirman, "Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”


Dan di dalam satu hadis apabila Saidatina Aisyah RA ditanya tentang akhlak baginda, jawabnya,   "Kaana Khuluqul Quran (Akhlaknya itu adalah Al-Quran)".


Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1433H, marilah kita kembali meningkatkan rasa cinta dan rindu kepada insan Al-Amin ini melalui kisah baginda dengan seorang pengemis yahudi buta, menggambarkan ketinggian akhlak seorang Rasul Allah.




Di sudut pasar Madinah ada seorang pengemis Yahudi buta yang setiap harinya selalu berkata kepada setiap orang yang mendekatinya,

Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya maka kalian akan dipengaruhinya.

Namun, setiap pagi Muhammad Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawakan makanan, dan tanpa berucap sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahwa yang menyuapinya itu adalah Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW melakukan hal ini setiap hari sampai beliau wafat.

Setelah wafatnya Rasulullah SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah SAW yakni Abubakar RA berkunjung ke rumah anaknya Aisyah RA yang tidak lain tidak bukan merupakan isteri Rasulullah SAW dan beliau bertanya kepada anaknya itu, Anakku, adakah kebiasaan kekasihku yang belum aku kerjakan?

Aisyah RA menjawab,Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja. Apakah Itu?, tanya Abubakar RA.

Setiap pagi Rasulullah SAW selalu pergi ke ujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang ada disana, kata Aisyah RA. Keesokan harinya Abubakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis itu.

Abubakar RA mendatangi pengemis itu lalu memberikan makanan itu kepadanya. Ketika Abubakar RA mulai menyuapinya, sipengemis marah sambil menghardik, Siapakah kamu?
Abubakar RA menjawab,Aku orang yang biasa (mendatangi engkau).
Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku, bantah si pengemis buta itu.
Apabila ia datang kepadaku tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah.

Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut, setelah itu ia berikan padaku, pengemis itu melanjutkan perkataannya.
Abubakar RA tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu. Aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada. Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW.

Seketika itu juga pengemis itu pun menangis mendengar penjelasan Abubakar RA, dan kemudian berkata, Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia….
Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat di hadapan Abubakar RA saat itu juga dan sejak hari itu menjadi muslim.



Inilah akhlak Nabi kita, Rasul kita. Dihambur dengan cemuhan, cacian dan kejian tetapi dibalas dengan kasih sayang & belas kasihan. Bermuhasabahlah kita pada setiap masa dan ketika. Semoga Allah memberikan hidayah dan rahmatnya.

"Allahumma Solli A'la Saidina Muhammad Waa'la Ali Saidina Muhammad"


Alhamdulillah  

Posted by zizane62

Usai mesyuarat pimpinan bersama teman-teman pimpinan ABIM negeri. Banyak agenda dakwah bil hal yang dibincangkan sebagai tanda cinta kepada baginda Rasulullaw SAW. Setiap gerak kerja memerlukan perancangan yang teliti dan dilakukan secara bersungguh-sungguh.


Benarlah kata-kata hikmah Saidina Ali Karamallahuwajha,"Kebatilan yang terancang akan mengatasi kebenaran yang berantakan". Semoga Allah memberikan kami pekerjaNya keikhlasan hati untuk konsisten berada di jalan ini, jalan yang tidak menjadi pilihan kebanyakan orang.

Menjiwai Semangat Korban Dalam Harakah  

Posted by zizane62 in

Alhamdulillah kita telah melalui satu lagi hari besar dalam kalendar umat Islam, Hari Raya Korban atau Hari Raya Aidil Adha. Tidak perlu dihuraikan dengan lebih lanjut tentang peristiwa besar yang berlaku tetapi marilah kita bersama-sama menjiwai hikmah di sebalik peristiwa besar itu.


Saya ingin melihat dalam konteks yang lebih kecil iaitu apabila kita mengaitkan semangat korban ini dalam gerakan kita. Masih banyak kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki dan ditegur dalam menghayati budaya korban dalam gerakan. Apalah gunanya kita menghadiri usrah beribu-ribu kali sekiranya semangat, ruh dan isi usrah itu gagal kita terjemahkan dalam bentuk perlaksanaan.

Seringkali di dalam usrah kita mendengar para naqib @ naqibah mengingatkan tentang pentingnya kita bekerjasama dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Memahami bahawa dengan kerjasama dan pengorbananlah yang dapat memberikan kita kekuatan.


Saya ambil satu contoh mudah berdasarkan kepada pemerhatian dan PENGALAMAN yang tidak dapat dijual beli. Apabila menaiki sebuah kereta ke sesuatu tempat (mungkin nak ke usrah atau ke tempat program dan sebagainya), penumpang biasanya akan buat 'dek' bila nak isi minyak atau buat-buat tak tahu bila sampai 'part' minyak. Yang dia tahu, ada orang ambil dan hantar balik. Dah lah kawan (driver) tak bekerja (student jugak) dan sengkek, keta penuh 4-5 orang. Orang yang diambil pulak tinggal merata-rata tempat. Kalau kawan dah bekerja @ anak orang kaya @ dia sendiri memang kaya lainlah ceritanya.

Jadi di mana semangat pengorbanan di sini? Kan elok kalau setiap kali kita menumpang, kita faham-fahamlah, buat 'collection' RM2 seorang ke, kalau ada 5 tubuh dalam keta kan dah RM10. Lepas duit minyak. Kalau sebulan baru RM8. Kalau semua buat tak tahu, kawan kita yang 'drive' tu kena 'spend' RM40 sebulan. Itulah yang menyebabkan sesetengah kawan-kawan kita ni merungut dan ada yang dah tinggalkan kita.

Dan kita pun tak boleh nak salahkan mereka dengan mempersoalkan di mana semangat pengorbanan mereka. Yang kita pulak bagaimana? Nak tumpang tapi semua nak 'free'. Tak aci lah macam tu. Kawan kita pulak dah 'korban'kan kereta dan ego untuk jadi driver.

Satu lagi bila kita dah agak senior dalam gerakan ni, kita kena pandai cari inisiatif lain. Taklah sepanjang masa nak bergantung pada orang tu saja. Dalam gerakan ni, kita nak belajar supaya jadi lebih dewasa. Kalau ingin didodoikan macam bayi, baik balik rumah tido.

Saya fikir mungkin perkara ini perlu diberi penekanan yang lebih, baik dalam ABIM, PERKEPIS ataupun ABM sendiri. Sebab ini melibatkan soal pembentukan tarbiyah. Apabila semua punya rasa pengorbanan yang tinggi, semua perkara akan jadi mudah. Teringat pulak lagu dalam rancangan kanak-kanak Wonderpet yang berbunyi 'kami tak besar dan kami tak kuat bila bekerjasama semua jadi mudah'.


Semoga perkara ini tidak dipandang sebelah mata kerana banyak jiwa yang telah ter'korban' disebabkan perkara 'kecil' ini. Dan semoga kita semua mangambil manfaat bersama dalam melalui jalan dakwah yang berliku-liku ini.

Yang Syubhat Dalam Multi Level Marketing  

Posted by zizane62 in

Semakin banyak kini perniagaan yang berteraskan kepada MLM wujud di negara kita. Semua pihak berlumba-lumba untuk membuka syarikat MLM dan menjadi kaya.

Saya pasti kepada sesiapa yang pernah menyertai MLM tahu bagaimana MLM itu bergerak. Dengan pelbagai kata-kata manis, MLM menjanjikan seribu satu kesenangan kepada pengedar atau ahli-ahlinya yang berusaha. Saya tidak nafikan sememangnya MLM mampu merubah kehidupan seseorang tetapi merubah yang bagaimana. Setiap ketika bercakap soal nak jadi kaya. Kalau boleh seisi dunia ini dia nak dapat.

Alangkah baiknya apabila dalam setiap urusan kita mendahulukan pandangan agama. Kalau dengan menjadi kaya kita meninggalkan solat, bergaul tanpa batas, lupa pada tanggungjawab sebenarnya lebih baik ditinggalkan niat tersebut.

Rajin-rajinkanlah merujuk dalam membuat sesuatu. Di sini saya sertakan 'link' ke satu perbahasan tentang isu MLM yang dikupas oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Mudah-mudahan sedikit-sebanyak akan membantu umat Islam di luar sana.

http://www.zaharuddin.net/content/view/567/100/


http://www.zaharuddin.net/content/view/222/100/

Di sini saya petik sebahagian daripada hujah yang dinyatakan tentang syubhat dalam sistem MLM.

"Jualan target sebagai syarat komisyen : Selain dari yuran yang wajib dibayar oleh ahli, pada kebiasaannya terdapat syarat yang mewajibkan ahli tersebut mencapai target jualan tertentu bagi melayakkannya mendapat apa jua komsiyen dari hasil jualan orang di bawahnya. Apabila ia gagal mencapai ‘harga target' tersebut maka keahliannya akan hilang atau tiada sebarang komisyen untuknya walaupun orang bawahannya menjual dengan begitu banyak. Semua MLM yang terlibat dengan syarat seperti ini, menyebabkan sistem MLM mereka menjadi bermasalah dari sudut Shariah kerana wujudnya unsur kezaliman terhadap ahli selain wujudnya kewajiban jualan bersyarat dengan syarat yang tidak menyebelahi ahli serta berbentuk penindasan. Seolah-olah pihak syarikat memaksanya dengan mengatakan "Anda mesti membeli atau mengekalkan penjualan peribadi sebanyak RM 500 sebulan bagi membolehkan anda mendapat hak komisyen orang bawahan anda".

Pada asasnya, komisyen yang diambil atas usaha menjual (seperti ‘brokerage fee') sesuatu barangan adalah adalah harus menurut Shariah, ia adalah pandangan ulama besar Tabi'en seperti Muhammad Ibn Sirin, ‘Ato' Bin Abi Rabah, Ibrahim an-Nakha'ie dan ramai lagi (Sohih Al-Bukhari ; Al-Musannaf, 5/242 ; Mawahibul Jalil, 4/452 ). Bagaimanapun, komisyen dalam hal MLM dan system piramdi ini boleh bertukar menjadi haram apabila :-

* Diikat komisyen jualan rangkaiannya dengan sesuatu jualan olehnya, ia menimbulkan masalah dari sudut Shariah seperti unsur pemaksaan, syarat yang tidak sah dalam perwakilan dan perjudian.

* Komisyen datang dari orang bawahan yang langsung tidak dikenalinya kerana sudah terlampau jauh ke bawah. Ini menjadikan orang atasan seolah-olah mendapat untung di atas angina tanpa sebarang kerja dan usaha lagi. Ia juga boleh dikelaskan sebagai broker di atas broker di atas briker di atas broker dan seterusnya. Dalam hal berbilangnya rantaian komsiyen broker ini, menurut perbincangan saya bersama Syeikh Prof. Dr Abd Sattar Abu Ghuddah (Pakar Shariah utama dalam bidang kewangan Islam dunia di Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia, AAOIFI, Dow Jones Islamic Index dan lain-lain) ia termasuk dalam konteks memakan harta orang lain dengan bathil selain terdapat unsur judi. Ini adalah kerana ia seolah-olah meletakkan syarat kepada semua orang bawahan samada dengan pengetahuan mereka atau tidak, semua hasil jualan mereka akan diambil sebahagian keuntungannya untuk orang atasnya.

* Dari sudut yang lain, terdapat juga keraguan dalam isu pemberian komisyen di atas usaha dan tugas agen (wakil penjual) atau "brokerage" (tukang kempen). Ini kerana sepatutnya komisyen ke atas "brokerage" tidak harus mensyaratkan tukang kempen itu untuk membeli untuk diri sendiri sebagaimana yang berlaku dalam beberapa jenis MLM. Sesetengahnya pula mensyaratkan ‘broker' atau ‘agen' untuk menjual sendiri sebanyak sekian jumlah bagi memperolehi komisyen jualan broker (ahli) di bawahnya. Dengan sebab-sebab ini, hal ‘broker' atau ‘agen' menjadi syubhah dan tidak lagi benar ianya disifatkan sebagai komisyen wakil atau broker yang diterima Islam."

Perkhidmatan Pra Audit ANGKASA  

Posted by zizane62 in

Semalam genaplah 2 bulan aku bertugas sebagai Pegawai Pra Audit di ANGKASA Sarawak. Berbanding dengan pekerjaan-pekerjaan sebelumnya, pengalaman kali ini jauh bezanya kerana bidang tugasku memerlukan aku merantau ke seluruh ceruk tanah Bumi Kenyalang untuk memberikan khidmat nasihat pengurusan perakaunan kepada koperasi ahli ANGKASA.

(Gambar atas: Bersama Penolong Pegawai dari kanan Puan Kasmarita Kaseh dan Puan Arliza Rosli)

Dalam tempoh ini, bermacam-macam tempat telah aku pergi dan banyak lagi tempat-tempat yang perlu aku pergi. Tempat yang telah aku pergi termasuklah Serian, Sri Aman, Sarikei, Paloh, Tanjung Manis, Rajang dan Sibu. Minggu hadapan aku perlu ke Mukah dan pada awal bulan Januari kelak perjalananku akan diteruskan ke Ba'kelalan.

(Gambar atas: Bot ekspres ke Paloh bergerak jam 12.00 tengahari mengambil masa 3 jam 30 minit dari bandar Sarikei. Perjalanan dari Paloh ke Sarikei pula pukul 4 pagi)

Perkhidmatan Pra Audit yang disediakan oleh ANGKASA adalah KHIDMAT PERCUMA kepada koperasi-koperasi yang menjadi ahli ANGKASA. Koperasi yang menjadi ingin menjadi ahli ANGKASA hanya perlu membayar yuran RM100. Pra Audit membantu pihak koperasi ahli menyediakan rekod perakaunan dengan betul dan lengkap (sehingga ke Penyata Akhir Kewangan) sebelum akaun tersebut diserahkan kepada pihak juruaudit untuk diaudit. Selagi ada koperasi ahli yang memerlukan khidmat ini walau di mana pun lokasinya, Unit Pra Audit akan ditugaskan ke sana dan pihak koperasi tidak dikenakan sebarang bayaran, semuanya percuma.

(Gambar atas: Kawan-kawanku dari kiri Hj Bujang (67 tahun) dan Cikgu Haji Yusof (76 tahun), koperator yang banyak membantu semasa di Sarikei. Walaupun berusia tapi jiwa berkoperator masih muda!)

Alhamdulillah, walaupun agak letih melalui perjalanan demi perjalanan, suasana baru ini mendorongku untuk mengenali dengan lebih dekat bumi Sarawak dan masyarakatnya yang berbeza bahasa, budaya dan kepercayaan.


(Gambar atas: Bersama Ahli Lembaga Koperasi Wanita Rajang di Pelabuhan Tanjung Manis)

Pendapat Tun Dr. M selepas kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim  

Posted by zizane62


Sedikit petikan ulasan Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ibu segala pilihanraya kecil baru-baru ini. Dipetik daripada Berita Harian online 28 Ogos 2008.

Adakah satu pengiktirafan atau sindiran? Anda baca dan buat penilaian sendiri...

Dr Mahathir diminta mengulas kemungkinan Anwar akan dapat membentuk kerajaan baru menjelang 16 September ini seperti yang diuar-uarkan sejak pakatan pembangkang menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum Mac lalu.

Anwar sebelum ini beberapa kali mendakwa 30 Ahli Parlimen BN akan menyertai pembangkang bagi membolehkan beliau membentuk kerajaan baru selepas kembali ke Parlimen.

Ditanya senario politik selepas Anwar kembali ke Dewan Rakyat sebagai Ketua Pembangkang, Dr Mahathir berkata, Anwar akan menyukarkan lagi Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri bukan tandingan Penasihat PKR itu yang petah berbicara.

Beliau berkata, Anwar akan membangkitkan pelbagai isu dan desakan dan Abdullah akan sentiasa terpaksa mengalah.

"Beliau adalah seseorang yang dapat meyakinkan malah iblis pun mampu menurut beliau. BN akan menghadapi masa yang sukar," katanya.


Yang pastinya, senario politik semasa akan menampakkan suasana baru. Ahli-ahli parlimen Barisan Nasional pastinya akan lebih berjaga-jaga dengan kehadiran tetamu yang sememangnya tidak ingin diundang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kita Khalifah  

Posted by zizane62 in


Bermula dengan kesibukan menguruskan peperiksaan pertengahan semester di kolej sehinggalah menghadiri muktamar Abim Kebangsaan di Paroi, Negeri Sembilan, tumpuanku untuk mengemaskini blog agak terjejas.

Memang banyak peristiwa semasa yang ingin aku kongsikan buah fikirku. Dari sukan hinggalah politik, rasanya semua nak bagi komen. Ada setuju, tak setuju, sokong, tak sokong dan macam-macam lagi.

Cuma kali ini aku masih belum bersedia untuk berkongsi semua sekali. Akalku masih dalam kondisi yang kurang bertenaga untuk meluahkan buah fikir. Antara ciri pemimpin yang baik adalah pemimpin yang tidak membuat keputusan dalam keadaan emosi yang tidak stabil.

Insya-Allah, 'posting'ku seterusnya akan menyusul.

Rehat hujung minggu, mensyukuri nikmat Ilahi  

Posted by zizane62 in


Sekali sebulan meluangkan masa hujung minggu di kampung halaman isteriku memang sesuatu yang amat menyenangkan. Walaupun tidak lama (tak sampai pun 24 jam) tetapi suasananya yang harmoni cukup untuk merehatkan fizikal dan mindaku yang tidak berhenti bergerak sepanjang minggu dari urusan pekerjaan sehingga tanggungjawab kepada umat.

Terletak di antara Simunjan dan Kota Samarahan, pekan Sebuyau masih lagi jauh dari kebingitan bandar yang menyesakkan. Walaupun penghuninya rata-rata sudah berkereta, masih tidak mengurangkan kenyamanan beristirehat di sini. Anginnya sejuk, udaranya segar. Mungkin kerana lokasinya di pesisir laut dan di kelilingi suasana kehijauan.

Dalam menikmati nyamannya udara petang, teringatku firman Allah SWT seperti dinukilkan dalam Surah Ar-Rum ayat 22-25;

22 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Dia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.

23 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahanNya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).

24 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Dia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.

25 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Dia menyeru kamu dengan satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta-merta keluar (dari kubur masing-masing).

Semoga umat Islam akan terus menjadi insan yang bersyukur di atas nikmat yang tidak terhingga ini.

Makluman:
Dalam kesempatan ini, tahniah diucapkan kepada Saudara Isman Hadi Jaafar dan isteri yang telah selamat menimang cahaya mata pertama (baby boy) 5 hari lepas. Semoga terus dimurahkan rezeki.

Rasulullah SAW di dalam Kitab Hindu dan Buddha  

Posted by zizane62 in


Umat Islam masih ramai yang tidak tahu sebenarnya di dalam Kitab Hindu dan Buddha terdapat kisah tentang Nabi Muhammad SAW.

Sungguhpun tidak dinyatakan di dalam Al-Quran tentang pengiktirafan kitab-kitab ini sebagai Kitab Allah, Dr. Jamal Badawi, Pengarah Pusat Islam di Halifax, Canada yang juga Ahli Majlis Fekah Jawatankuasa Persatuan Islam Amerika Utara (ISNA) berpendapat tidak mustahil ianya datang daripada Allah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan Kami mengutuskan rasul-rasul yang Kami kisahkan tentang mereka kepadamu dahulu, dan rasul-rasul yang tidak Kami kisahkan tentang mereka kepadamu." (An-Nisa'; 46).

Seorang pakar bahasa Sanskrit daripada Universiti Prayag, Dr. Ved Prakash Upaddhayaya merumuskan, Nabi Muhammad SAW disebut dalam Vedas dan Purana dengan empat nama dan gelaran.

Nama/gelaran

Maksud

Narashangsa

Yang Terpuji

Antim Rishi

Utusan Terakhir

Kalki Avatar

Utusan Akhir Zaman

Mamaha dan Ahamiddhi

Muhammad dan Ahmad








Yang Terpuji adalah selari dengan maksud Muhammad. Di dalam Atharvaveda 20:127:2 ada menjelaskan bahawa Narashangsa akan mengenderai unta dan mempunyai 12 isteri. Ini juga selari dengan sifat-sifat Rasulullah SAW.

Dalam kitab agama Buddha, Gautama Buddha pernah mengingatkan anak muridnya , Ananda, tentang Buddha akhir zaman yang digelar 'Maireya' yang bermaksud 'Pembawa Rahmat'. Ini juga selari dengan peranan Rasulullah SAW yang disebut dalam surah Al-Anbiya(21:ayat 107) sebagai 'pembawa rahmat bagi seluruh alam'.

Da'ie (pendakwah) pada masa kini perlu untuk mendalami tentang perihal Rasulullah SAW. Keperibadian dan keunggulan Baginda perlu untuk disampaikan kepada sekelian umat manusia.

ABIM Sarawak's blog  

Posted by zizane62 in


I would like to response to one of the reader's comment to my previous posting.

As mentioned in my blog, any comment, criticize and opinion publish in my blog is not representing ABIM Sarawak's official stand or announcement unless it is stated so.

For the readers information, ABIM Sarawak is in progress of establishing its own blog in order to convey ABIM's opinions and activities regarding the progression of dakwah in Sarawak and to get the Sarawakians get to know ABIM better.

For the time being, any announcements from ABIM Sarawak will be publish through my blog. As ABIM Sarawak's blog is ready for activation, I will let the readers informed.


Wan Azizan b. Hj Wan Zainal Abidin
State Secretary
ABIM Sarawak
2008-09

Muktamar Sanawi ABIM Sarawak kali ke-29  

Posted by zizane62 in


Alhamdulillah dengan izin-Nya, ABIM Sarawak buat kesekian kalinya telah melangsungkan Muktamar Sanawi (Mesyuarat Agung) kali ke-29 dengan jayanya di Tingkat 1, Dewan CEC, Bangunan Yayasan Sarawak pada 20 Julai 2008 (Ahad).


Walaupun tidak disekalikan dengan program sisipan seperti tahun-tahun yang sebelumnya, kehadiran dua orang wakil ABIM pusat amat dihargai oleh ABIM Sarawak dalam menerangkan tentang isu-isu semasa yang melatari rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khususnya.


Saudara Azril Mohd Amin (Naib Presiden Antarabangsa) banyak menyentuh tentang peranan semasa yang ABIM mainkan di peringkat nasional dan antarabangsa. Beliau juga menerangkan sedikit sebanyak tentang isu-isu semasa yang boleh memberi kesan kepada gerak kerja jemaah ABIM. Beliau juga mengharapkan ABIM Sarawak dapat menghantar seberapa banyak perwakilan ke Muktamar ABIM pusat kelak.

Seorang lagi wakil ABIM pusat, Saudara P. Aizan Tukirin (Ahli Majlis Kewangan ABIM) menerangkan tentang Projek Kewangan ABIM 25 iaitu merujuk kepada sumbangan bulanan setiap ahli ABIM sebanyak RM25 melalui 'standing instruction' iaitu potongan bank. Ini adalah penting untuk membantu menjana ekonomi dan kewangan ABIM yang akhirnya kelak akan digunakan untuk ABIM menggerakkan aktiviti dakwah dan tarbiyyah kepada umat.


Seperti lazimnya, saf kepemimpinan yang sedia ada dibubarkan dan digantikan oleh saf kepemimpinan yang baru untuk sesi 2008-2009. Berikut adalah barisan Exco Kanan ABIM Sarawak sesi 2008-2009.


Yang Di-Pertua : Ustaz Suhardi bin Haji Edward
Timb. Yang Di-Pertua: Ustaz Hasfa Bakhry b. Hassan
Setiausaha Negeri: Sdra. Wan Azizan b. Hj Wan Zainal Abidin
Pen. S/U Negeri: Sdra. Safiee b. Hanapi
Setiausaha Kewangan: Sdra. Raja Iskandar b. Raja Halid
Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA): Sdri. Shamsiah bt. Hj Mahli

Di kesempatan ini, selaku pengerusi Muktamar Sanawi ABIM Sarawak kali ke-29, saya merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada ahli jawatankuasa muktamar, barisan pengurusan dan guru taski ABIM, exco dan juga penyumbang individu yang bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan muktamar ini.

'Menegakkan Kebenaran Memperjuang Keadilan'

Wan Azizan b. Hj Wan Zainal Abidin
Setiausaha Negeri
ABIM Sarawak
Sesi 2008/09

POLIS KENA BUKTIKAN DAHULU!!  

Posted by zizane62 in


Polis mungkin guna perintah mahkamah dapatkan DNA Anwar

KUALA LUMPUR: Polis sedang menimbang kemungkinan menggunakan perintah mahkamah bagi mendapatkan sampel DNA (asid deoksiribonukleik) Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan keengganannya memberikan sampel itu malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, dalam sidang akhbarnya di sini, hari ini berkata, polis sedang menimbang tindakan itu dari sudut perundangan bagi membolehkan sampel itu diperoleh.

Katanya, ini kerana ia adalah antara elemen penting dalam siasatan membabitkan kes liwat terhadap Anwar.

(Dipetik daripada Berita Harian online 17 Julai 2008)

Ini ULASANKU

Sepatutnya, polis yang kena buktikan terlebih dahulu kewujudan DNA manusia lain dalam dubur si Saiful tu. Kalau betul ada DNA manusia, bagi satu salinan kepada pihak DSAI dan barulah mintak DNA DSAI. Kemudian bandingkan. Kalau sama, siasat secara adil kerana tidak mustahil pihak hospital atau polis masih menyimpan DNA DSAI dari kes tahun 1998. Kalau tidak sama, Saiful telah buat fitnah.

Kalau pemeriksaan menunjukkan tiada DNA manusia, tiadalah liwat seperti yang didakwa dan Saiful dah buat fitnah lagi.

Ini perkara asas. Yang menuduh kena bagi bukti dulu barulah yang dituduh buat pembelaan. Kalau tidak DNA DSAI boleh dimanipulasi.


Tahniah Pendebat!  

Posted by zizane62 in


Malam tadi, seluruh rakyat Malaysia (yang ada Astro sahaja) berpeluang menonton secara langsung perdebatan terbuka antara Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) (Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat) dan Datuk Ahmad Shabery Cheek (DASC) (Menteri Penerangan).

Inilah julung kalinya diadakan perdebatan seumpama ini di Malaysia. Dalam nada berbaur sindiran, pendebat masih bijak mengawal emosi, tahniah!.

Bagiku Menteri Penerangan ini memang layak diberi pujian. Bukan kerana hujahnya (yang bagiku banyak keluar dari 'maudhu' debat) tetapi kerana keberaniaannya mempertahankan apa yang dirasakannya betul, berhadapan dengan antara 100 pemimpin terbaik dunia, DSAI.

Bukan sebarangan pemimpin kerajaan yang berani mengambil keputusan sebegini. Tahu akan dimalukan tetapi kerana tanggungjawab, beliau berani menyahut cabaran. Datuk Seri Syed Hamid ALbar yang banyak mengkritik DSAI akhir-akhir ini, beranikah? Yang sepatutnya berdebat dengan DSAI adalah Datuk Seri Najib Razak (DSNR) atau PM sendiri. Yang lebih cocok bagiku DSNR kerana seperti DSAI, mereka berdua inilah yang disebut-sebut akan menjadi Perdana Menteri suatu hari kelak.

Oleh itu, bakal Perdana Menteri kena meyakinkan kepada rakyat siapa yang lebih berkredibiliti, bijak menyusun ekonomi, berwawasan dan menjaga kesejahteraan rakyat. Barulah rakyat yakin.

Debat ini BERAT SEBELAH. PM dan TPM tidak sepatutnya membiarkan maruah mereka dijatuhkan dengan menghantar DASC. Pembaca boleh menilai, DSAI, bekas Menteri Kewangan selama 8 tahun lawan DASC, Menteri Penerangan 4 bulan. ADILKAH??? Hujah yang dikemukakan jauh berbeza dari segi kualitinya.

Pusing2....

Satu lagi, kalau betul ingin menunjukkan kepada rakyat Malaysia yang dakwaan DSAI menurunkan harga minyak tidak berasas, kenapa tidak ditunjukkan 'live' dalam RTM? Barulah rakyat tahu DSAI PEMBOHONG, kalau betul beliau membohongi rakyat. Ini tidak, hanya orang yang ada Astro boleh melihatnya. Mana asas untuk menyatakan yang benar, menyanggah yang batil??? Apa rasionalnya berbuat demikian sedangkan DASC adalah Menteri Penerangan, berkuasa penuh ke atas RTM. Siapa yang bagi arahan supaya tidak disiarkan 'live' dalam RTM?? Ada tangan lainkah?

Kalaulah semua rakyat Malaysia boleh melihat secara langsung bagaimana kaedah DSAI menurunkan harga minyak barulah rakyat boleh menilai masuk akal atau tidak.

Aku juga tidak faham mengapa DASC asyik lari daripada topik perbincangan. Kenapa perlu disentuh banyak peribadi DSAI? Kita kan bercakap tentang nak turunkan harga minyak? Tentang kebajikan rakyat? Minat betul DASC kepada DSAI...Itupun dah dijawab oleh DSAI secara ringkas dan padat, siap dengan cabaran lagi.

Suatu lagi yang agak melucukan bagaimana Tan Sri Datuk Nordin Kardi 'diajar' DSAI. Beliau dikenali sebagai seorang yang bijak 'mengenakan' seseorang tetapi kali ini beliau yang kena. Kasihan Nordin Kardi.

Kepada yang belum melihat debat ini, anda lihat sendiri rakaman debat ini di youtube atau blog DSAI, http://anwaribrahimblog.com dan buatlah pertimbangan secara adil kerana anda rakyat Malaysia, punyai hak ke atas apa yang berlaku dalam negara.

Hubbud Dunya - Cinta Dunia  

Posted by zizane62 in

Ramai yang masih belum mengadaptasi sepenuhnya konsep hubbud dunya (cinta dunia) dan hubbul akhirah (cinta akhirat) walaupun pada dasarnya memahami dengan sedalam-dalamnya terdapat hidup sesudah mati. Islam mengajar supaya umatnya mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW tanpa mengabaikan dunia sebagai ladang akhirat.


Formulanya mudah, cintakan Allah melahirkan rasa cinta kepada akhirat. Cintakan Allah akan mendapat keberkatan hidup dunia dan akhirat. Manifestasi dari rasa cinta ini adalah wujudnya keberaniaan menyanggah segala bentuk kebatilan yang melanda. Inilah Ashabul Kahfi akhir zaman.

Rasulullah menggelar mereka ini sebagai 'Ghuraba' berdasarkan sabda Baginda yang bermaksud, "Islam bermula asing dan kembali asing seperti permulaannya, maka bahagialah golongan Ghuraba. " Sahabat bertanya, "Siapa Ghuraba, ya Rasulullah?' Baginda bersabda, "Mereka ialah golongan yang memperbaiki keadaan yang dirosakkan oleh manusia," - Riwayat Ahmad.

Inilah sebahagian daripada manifestasi kecintaan terhadap Allah yang akhirnya menyedarkan umat manusia bahawa hubbud dunya secara semberono hanya akan menjauhkan cinta Allah kepada kita. Na'uzubillah...

10 tahun berlalu...Al-Fatihah  

Posted by zizane62 in

Hari ini genaplah 10 tahun Islam ibuku kembali ke rahmatullah. Beliau meninggal pada 7 Rejab 1419H bersamaan 28 Oktober 1998.


Sepanjang hidupnya, ibuku seorang yang cekal, tabah dan sanggup berbuat apa sahaja demi anak-anak dan suaminya. Segala pengorbanan si ibu pernah aku rasai, cuma tidak berkesempatan untuk membalasnya.

Antara pengorbanan yang tidak mungkin dapat dilupakan adalah kesanggupan ibuku pergi dari rumah ke rumah untuk menjual barangan perhiasan semata-mata untuk mengumpul duit untuk membeli kereta proton saga merah supaya dapat mengambilku pulang lebih awal daripada Tadika. Aku biasa diambil ayahku sekitar jam 2.30-3.00 petang. Waktu tadika habis jam 11.00 pagi.

Dan banyak lagi pengorbanan lain yang tidak mungkinkan terbalas semuanya.

Kasih-sayang arwah ibu, tidak akan setara dengan kasih-sayang orang lain. Ibarat baru semalam sentuhan, derai tawa, gurauan ibuku terngiang-ngiang di telinga. Adik-beradikku 7 orang semuanya, 6 lelaki, yang terakhir perempuan. Anak-anak lelaki biasanya cerewet dalam hal makanan. Biasanya kami akan bertanya, ini ikan apa? sayur apa? Untuk mendorong kami supaya makan, ibuku akan menjawab, "tok ikan nombor satu, sayor nombor satu".

Sehingga sekarang aku rindukan kata-kata begitu dari ibuku. Bangun pagi hujung minggu, ibu akan bertanya, nak makan apa? Nasik goreng? Memang ibu tahu apa yang aku gemari. Ibu, hanya ibuku yang tahu dan memahami selera makanku. Sebut saja, jarang aku menolak makanan ibu.

Nampak rambut panjang sikit, ibu akan memanggil-manggil anak bujangnya untuk digunting rambut. Semuanya dibuat sendiri oleh ibu. Semuanya sentuhan tangan ibu. Mungkin itulah yang menyebabkan kami adik-beradik lelaki tidak pandai berambut panjang sampai sekarang.

Ibuku hobinya menanam pokok bunga, memelihara ikan. Setiap kali tidur malamnya terganggu akibat asma, ibuku akan duduk di hadapan akuarium ataupun keluar melihat bunga-bunganya hatta jam 2 atau 3 pagi. Lebih-lebih lagi di saat-saat akhir pemergiannya. Semakin kerap 'berhubung' dengan ikan dan bunga-bunganya. Mungkin untuk menyatakan selamat tinggal.

Aku bermain bola, ibulah peminat nombor satu walaupun pada hakikatnya dia tidak tahu sukan bola. Dialah akan hadir setiap kali perlawanan diadakan. Kejayaanku sehingga keluar di dada akhbar, ibulah orang pertama yang aku beritahu dan segera dia mendapatkan surat khabar. Kadang-kadang aku geram bilamana dia mengkritik caraku bermain sedangkan satu pun dia tak tahu. Bila mengenangkan kembali saat itu, lucu ada, sayu pun ada.

Kalau keputusan peperiksaan kami adik-beradik cemerlang, ibu ibarat 'ayam bertelur sebiji, riuh sekampung'. Ibu akan berkongsi kecemerlangan anak-anaknya bersama adik-beradiknya. Dia amat rapat dengan adik-adiknya. Ibu sering berkata kepada adik-adiknya, "tidak mengapa hidupku susah sekarang tapi suatu hari kelak, anak-anakku akan membelaku". Kalaulah ibu masih hidup, mesti dia berbangga dengan kami semua lebih-lebih lagi abangku yang sudah bergelar Doktor Falsafah.

Kenangan-kenangan itu aku simpan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan di Syurga Allah aku dapat berjumpa semula dengan arwah ibu. Al-Fatihah...