Kepulangan Sheikh Abdullah Fahim, seorang ulamak dan
guru di Masjidil Haram ke Tanah Melayu pada 1922 telah mencetuskan
pemikiran baru tentang perjuangan kemerdekaan di kalangan rakyat negara
ini.
Sheikh Abdullah Fahim atau nama sebenarnya
Abdullah bin Ibrahim adalah ulamak berdarah campuran Arab-Pattani yang
berasal dari Makkah. Beliau dilahirkan di Kota Suci pada 1869 di mana
ayahnya, Sheikh Ibrahim bin Tahir adalah guru di Masjidil Haram semenjak
berhijrah dari Pattani ke Kedah, kemudian ke Seberang Perai sebelum ke
Makkah ketika berlakunya Perang Pattani-Siam pada 1830-an.
Dengan keistimewaan beliau sebagai anak seorang
ulamak di Makkah, Haji Abdullah telah mengambil kesempatan untuk
mendalami pelbagai ilmu agama di sana. Sepanjang pengajiannya, Haji
Abdullah telah berjaya menguasai ilmu-ilmu agama seperti usuluddin,
fiqh, tasawuf dan tarekat, tafsir al-Quran, hadis, falak serta ilmu alat
seperti arudh dan qawafi dalam rumpun sastera Arab.
Beliau
dikata berguru dengan lebih 50 orang ulamak dan mendapat 42 ijazah
dalam pelbagai bidang pengajian termasuk politik. Dengan kedudukan ilmu
beliau ini, Haji Abdullah telah diterima sebagai salah seorang guru di
Masjidil Haram sehingga 1921.
Beliau telah turun
ke Tanah Melayu pada 1921 kerana semangatnya untuk memperjuangkan
pembebasan tanah air dan bangsanya dari belenggu penjajah. Selepas
pulang ke Tanah Melayu, beliau dijemput oleh Sheikhul Islam Kedah,
Sheikh Wan Sulaiman Wan Sidiq untuk mengajar di Pondok Wan Sulaiman atau
Madrasah Limbongan Kapal (kini Maahad Mahmud) selama empat tahun.
Pada
1926, beliau kembali ke Kepala Batas dengan tujuan menubuhkan sebuah
institusi pendidikan bagi melahirkan anak bangsa yang boleh
memperjuangkan kemerdekaan negara. Beliau menamakan pusat pengajiannya
sebagai “Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah”. Perkataan
“al-Wathaniyah” atau Bumiputera itu jelas memperlihatkan semangat
kemerdekaannya.
Tuan Guru Haji Abdullah Fahim
bukan sahaja mengasas dan mengajar di sini, tetapi turut menjadi mudir
sehingga 1930. Antara murid beliau yang paling terkenal ketika ini ialah
Ustaz Abu Bakar al-Baqir, pengasas Hizbul Muslimin. Di sini, Haji
Abdullah telah memperkenal pengajian berkelas (nizami) dan juga umum
(adami).
Pada 1930, Sheikh Abdullah Fahim
dijemput oleh Sultan Perak untuk menjadi Mudir Madrasah Idrisiyah, Bukit
Chandan. Beliau berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Idrisiyah sehingga
1946. Antara pelajar beliau di sini termasuklah Ustaz Abu Bakar
al-Bakir, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dan Prof Zulkifli Mohammed.
Setelah
meninggalkan Bukit Chandan, Haji Abdullah kembali ke Kepala Batas dan
menguruskan Madrasah Daeratul Maarif. Walau bagaimanapun, beliau hanya
berkhidmat sebagai penaung, manakala anaknya, Tuan Haji Ahmad Badawi
sebagai mudir dan murid kesayangannya, Ustaz Abdul Halim al-Hadi sebagai
guru besar. Beliau menolak tawaran untuk dilantik sebagai Sheikhul
Islam Kedah kerana menjaga maslahat madrasah ini. Pada 1951, Haji
Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama
dan beliau berkhidmat selama lima tahun. Selepas itu, beliau hanya
menumpukan kepada kegiatan keilmuan di Kepala Batas dengan menjadi guru
agama di sana.
Selepas Perang Dunia Kedua
tercetus, Sheikh Abdullah Fahim telah mula terlibat dalam politik
kepartian dengan menyertai Persatuan Melayu Seberang Perai. Ketika Umno
ditubuhkan pada 1946, beliau adalah ahli Umno pertama dari Pulau Pinang.
Beberapa ketika kemudian, kerana kemasyhuran beliau sebagai seorang
ulama, beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama
Umno yang kemudiannya dikenali sebagai Bahagian Agama dan Pelajaran
Umno. Meskipun menjadi ahli Umno, kemahuan beliau untuk melihat
kemerdekaan tidak padam walaupun Umno ketika itu tidak memperjuangkan
kemerdekaan.
Ketika murid beliau, Ustaz Abu Bakar
al-Bakir menubuhkan Hizbul Muslimin, beliau bukan sahaja memberikan
sokongan tetapi telah dilantik mempengerusikan Majlis Penasihat Hizbul
Muslimin pada 1948 dan dalam masa yang sama mengetuai Bahagian Agama
Umno. Ekoran beberapa krisis dalaman Umno berkaitan sikap Umno terhadap
isu-isu agama seperti isu judi loteri, fun-fair, kaberet, isu pemurtadan
Natrah dan lain-lain, Haji Abdullah telah berundur sebagai Pengerusi
Bahagian Agama pada 1950. Selepas itu, jawatan ini diambil alih oleh
muridnya, Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan.
Walaupun
Haji Abdullah tidak menyertai dua Persidangan Alim Ulamak Malaya pada
1950 dan 1951, tetapi beliau menghantar anaknya, Haji Ahmad Badawi untuk
menyertainya. Apabila Persatuan Ulamak Se-Malaya ditubuhkan di Kuala
Lumpur pada 23 Ogos 1951, persatuan tersebut telah merancang mengadakan
Persidangan Ulamak di Butterworth pada 24 November 1951 untuk meluluskan
undang-undang tubuh dan melantik jawatankuasanya. Haji Abdullah Fahim
sebagai Mufti Pulau Pinang telah merasmikan persidangan ini yang
akhirnya telah mengambil keputusan menukar nama Persatuan Ulama
Se-Malaya kepada Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). Haji Abdullah Fahim
sendiri dicalon sebagai Yang Dipertua Agung PAS tetapi tewas kepada Tuan
Haji Ahmad Fuad.
Sebaik sahaja PAS ditubuhkan,
Madrasah Daeratul Maarif telah dipilih sebagai Pejabat Agung PAS yang
pertama sebelum berpintah ke Bukit Mertajam. Selepas itu ia kembali ke
madrasah ini pada 1953 sebelum menumpang beberapa ketika di rumah
Setiausaha Agung PAS, Haji Ahmad Maliki iaitu berhampir madrasah ini
juga.
Kerana penyertaan Haji Abdullah dalam PAS,
hampir seluruh murid dan keluarganya menjadi tenaga penting PAS. Turut
menyertai PAS di kalangan jawatankuasa madrasah ini ialah Cikgu Ahmad
Awang, Ustaz Abdul Halim al-Hadi, Ustaz Abdul Kadir Kamal dan Ustaz Mohd
Saghir. Di kalangan keluarganya pula ialah anaknya, Haji Ahmad Badawi;
menantunya, Hajah Kailan Hassan; iparnya, Haji Mansor Hassan JP dan
beberapa yang lain.
Pada 3 April 1952,
Jawatankuasa Agung PAS telah memutuskan untuk menubuhkan Dewan Ulama PAS
bagi menyatukan tenaga ulama dan mengelola urusan hukum-hukum agama,
maka Sheikh Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Ketua Dewan Ulama PAS
yang pertama. Antara langkah penting dilaksanakan oleh beliau ialah
mengadakan perjumpaan sekolah-sekolah agama rakyat pada 22 Mei 1952 bagi
merundingkan usaha untuk menyatukan sekolah agama dan membentuk
kumpulan wang untuk membangunkan sistem pendidikan tersebut. Beliau juga
telah membuka Pejabat Dewan Ulama PAS di Madrasah Khairiyah, Pokok Sena
iaitu sekolah milik Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein.
Pada
akhir 1953, telah berlaku krisis kepemimpinan PAS ekoran sokongan PAS
terhadap National Convention tajaan Tunku Abdul Rahman. PAS mula
membentuk disiplin parti dengan mencegah pimpinan PAS menjadi ahli parti
lain. Pada Ogos 1954, bertempat di Madrasah ad-Diiniyah, Bagan Serai,
PAS meluluskan usul tersebut. Akibatnya, beberapa pimpinan PAS seperti
Haji Zabidi Ali, Tuan Guru Haji Yahya Junid, Haji Maansor JP, Tuan Guru
Haji Huseein Che Dol, Haji Ahmad Maliki dan Haji Ahmad Badawi terpaksa
memilih untuk kekal dalam PAS atau menjadi ahli Umno. Haji Hussein Che
Dol, Haji Ahmad Badawi dan Haji Ahmad Maliki memilih untuk meninggalkan
PAS dan kekal bersama Umno. Pendirian ini turut diambil oleh Sheikh
Abdullah Fahim.
Walaupun tidak lagi bersama PAS
selepas 1954, Haji Abdullah Fahim selaku Mufti bersama Ustaz Abdul Halim
al-Hadi (Guru Besar Maarif Wathaniyah) dan Sheikh Salleh Masri
(Pengerusi Majlis Penasihat Agama Pulau Pinang) telah mengeluarkan fatwa
mewajibkan umat Islam keluar mengundi dan melarang mereka mengundi
calon bukan Islam dalam pilihan raya 1955. Isu ini menjadi hangat kerana
ia dilihat merugikan Perikatan dan Setiausaha Agung PAS, Cikgu Ahmad
Awang pula menyokong fatwa ini. Pada 31 Mei 1955, pendaftaran PAS telah
diluluskan dengan beralamat di “Arabic School, Kepala Batas” iaitu
madrasah milik Haji Abdullah Fahim.
Sumbangan
penting Haji Abdullah dalam politik negara ialah menetapkan tarikh
kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Berdasar keilmuan beliau dalam
bidang falak, beliau mengatakan itu tarikh terbaik untuk Tanah Melayu
merdeka. Tuan Guru Sheikh Abdullah Fahim telah meninggal dunia pada 27
April 1961 dalam usia 92 tahun. Beliau meninggalkan tiga anak termasuk
Tuan Haji Ahmad Badawi iaitu bapa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi.
This entry was posted
on 29 August 2012
at 4:29 PM
. You can follow any responses to this entry through the
comments feed
.