Rehat hujung minggu, mensyukuri nikmat Ilahi  

Posted by zizane62 in


Sekali sebulan meluangkan masa hujung minggu di kampung halaman isteriku memang sesuatu yang amat menyenangkan. Walaupun tidak lama (tak sampai pun 24 jam) tetapi suasananya yang harmoni cukup untuk merehatkan fizikal dan mindaku yang tidak berhenti bergerak sepanjang minggu dari urusan pekerjaan sehingga tanggungjawab kepada umat.

Terletak di antara Simunjan dan Kota Samarahan, pekan Sebuyau masih lagi jauh dari kebingitan bandar yang menyesakkan. Walaupun penghuninya rata-rata sudah berkereta, masih tidak mengurangkan kenyamanan beristirehat di sini. Anginnya sejuk, udaranya segar. Mungkin kerana lokasinya di pesisir laut dan di kelilingi suasana kehijauan.

Dalam menikmati nyamannya udara petang, teringatku firman Allah SWT seperti dinukilkan dalam Surah Ar-Rum ayat 22-25;

22 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya (menghidupkan kamu semula), bahawa Dia menciptakan kamu dari tanah; setelah sempurna sahaja peringkat-peringkat kejadian kamu, kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran di muka bumi.

23 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahanNya dan kasih sayangNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari dan usaha kamu mencari rezeki dari limpah kurniaNya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran).

24 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Dia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.

25 - Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan keluasan ilmuNya dan kekuasaanNya, ialah terdirinya langit dan bumi (dalam keadaan yang menakjubkan itu) dengan perintah dan penentuan takdirNya; akhirnya apabila Dia menyeru kamu dengan satu seruan (supaya kamu bangkit hidup semula) dari bumi, kamu dengan serta-merta keluar (dari kubur masing-masing).

Semoga umat Islam akan terus menjadi insan yang bersyukur di atas nikmat yang tidak terhingga ini.

Makluman:
Dalam kesempatan ini, tahniah diucapkan kepada Saudara Isman Hadi Jaafar dan isteri yang telah selamat menimang cahaya mata pertama (baby boy) 5 hari lepas. Semoga terus dimurahkan rezeki.

Rasulullah SAW di dalam Kitab Hindu dan Buddha  

Posted by zizane62 in


Umat Islam masih ramai yang tidak tahu sebenarnya di dalam Kitab Hindu dan Buddha terdapat kisah tentang Nabi Muhammad SAW.

Sungguhpun tidak dinyatakan di dalam Al-Quran tentang pengiktirafan kitab-kitab ini sebagai Kitab Allah, Dr. Jamal Badawi, Pengarah Pusat Islam di Halifax, Canada yang juga Ahli Majlis Fekah Jawatankuasa Persatuan Islam Amerika Utara (ISNA) berpendapat tidak mustahil ianya datang daripada Allah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan Kami mengutuskan rasul-rasul yang Kami kisahkan tentang mereka kepadamu dahulu, dan rasul-rasul yang tidak Kami kisahkan tentang mereka kepadamu." (An-Nisa'; 46).

Seorang pakar bahasa Sanskrit daripada Universiti Prayag, Dr. Ved Prakash Upaddhayaya merumuskan, Nabi Muhammad SAW disebut dalam Vedas dan Purana dengan empat nama dan gelaran.

Nama/gelaran

Maksud

Narashangsa

Yang Terpuji

Antim Rishi

Utusan Terakhir

Kalki Avatar

Utusan Akhir Zaman

Mamaha dan Ahamiddhi

Muhammad dan Ahmad








Yang Terpuji adalah selari dengan maksud Muhammad. Di dalam Atharvaveda 20:127:2 ada menjelaskan bahawa Narashangsa akan mengenderai unta dan mempunyai 12 isteri. Ini juga selari dengan sifat-sifat Rasulullah SAW.

Dalam kitab agama Buddha, Gautama Buddha pernah mengingatkan anak muridnya , Ananda, tentang Buddha akhir zaman yang digelar 'Maireya' yang bermaksud 'Pembawa Rahmat'. Ini juga selari dengan peranan Rasulullah SAW yang disebut dalam surah Al-Anbiya(21:ayat 107) sebagai 'pembawa rahmat bagi seluruh alam'.

Da'ie (pendakwah) pada masa kini perlu untuk mendalami tentang perihal Rasulullah SAW. Keperibadian dan keunggulan Baginda perlu untuk disampaikan kepada sekelian umat manusia.

ABIM Sarawak's blog  

Posted by zizane62 in


I would like to response to one of the reader's comment to my previous posting.

As mentioned in my blog, any comment, criticize and opinion publish in my blog is not representing ABIM Sarawak's official stand or announcement unless it is stated so.

For the readers information, ABIM Sarawak is in progress of establishing its own blog in order to convey ABIM's opinions and activities regarding the progression of dakwah in Sarawak and to get the Sarawakians get to know ABIM better.

For the time being, any announcements from ABIM Sarawak will be publish through my blog. As ABIM Sarawak's blog is ready for activation, I will let the readers informed.


Wan Azizan b. Hj Wan Zainal Abidin
State Secretary
ABIM Sarawak
2008-09

Muktamar Sanawi ABIM Sarawak kali ke-29  

Posted by zizane62 in


Alhamdulillah dengan izin-Nya, ABIM Sarawak buat kesekian kalinya telah melangsungkan Muktamar Sanawi (Mesyuarat Agung) kali ke-29 dengan jayanya di Tingkat 1, Dewan CEC, Bangunan Yayasan Sarawak pada 20 Julai 2008 (Ahad).


Walaupun tidak disekalikan dengan program sisipan seperti tahun-tahun yang sebelumnya, kehadiran dua orang wakil ABIM pusat amat dihargai oleh ABIM Sarawak dalam menerangkan tentang isu-isu semasa yang melatari rakyat Malaysia amnya dan umat Islam khususnya.


Saudara Azril Mohd Amin (Naib Presiden Antarabangsa) banyak menyentuh tentang peranan semasa yang ABIM mainkan di peringkat nasional dan antarabangsa. Beliau juga menerangkan sedikit sebanyak tentang isu-isu semasa yang boleh memberi kesan kepada gerak kerja jemaah ABIM. Beliau juga mengharapkan ABIM Sarawak dapat menghantar seberapa banyak perwakilan ke Muktamar ABIM pusat kelak.

Seorang lagi wakil ABIM pusat, Saudara P. Aizan Tukirin (Ahli Majlis Kewangan ABIM) menerangkan tentang Projek Kewangan ABIM 25 iaitu merujuk kepada sumbangan bulanan setiap ahli ABIM sebanyak RM25 melalui 'standing instruction' iaitu potongan bank. Ini adalah penting untuk membantu menjana ekonomi dan kewangan ABIM yang akhirnya kelak akan digunakan untuk ABIM menggerakkan aktiviti dakwah dan tarbiyyah kepada umat.


Seperti lazimnya, saf kepemimpinan yang sedia ada dibubarkan dan digantikan oleh saf kepemimpinan yang baru untuk sesi 2008-2009. Berikut adalah barisan Exco Kanan ABIM Sarawak sesi 2008-2009.


Yang Di-Pertua : Ustaz Suhardi bin Haji Edward
Timb. Yang Di-Pertua: Ustaz Hasfa Bakhry b. Hassan
Setiausaha Negeri: Sdra. Wan Azizan b. Hj Wan Zainal Abidin
Pen. S/U Negeri: Sdra. Safiee b. Hanapi
Setiausaha Kewangan: Sdra. Raja Iskandar b. Raja Halid
Ketua Hal Ehwal Wanita (HELWA): Sdri. Shamsiah bt. Hj Mahli

Di kesempatan ini, selaku pengerusi Muktamar Sanawi ABIM Sarawak kali ke-29, saya merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada ahli jawatankuasa muktamar, barisan pengurusan dan guru taski ABIM, exco dan juga penyumbang individu yang bersama-sama memainkan peranan dalam menjayakan muktamar ini.

'Menegakkan Kebenaran Memperjuang Keadilan'

Wan Azizan b. Hj Wan Zainal Abidin
Setiausaha Negeri
ABIM Sarawak
Sesi 2008/09

POLIS KENA BUKTIKAN DAHULU!!  

Posted by zizane62 in


Polis mungkin guna perintah mahkamah dapatkan DNA Anwar

KUALA LUMPUR: Polis sedang menimbang kemungkinan menggunakan perintah mahkamah bagi mendapatkan sampel DNA (asid deoksiribonukleik) Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan keengganannya memberikan sampel itu malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, dalam sidang akhbarnya di sini, hari ini berkata, polis sedang menimbang tindakan itu dari sudut perundangan bagi membolehkan sampel itu diperoleh.

Katanya, ini kerana ia adalah antara elemen penting dalam siasatan membabitkan kes liwat terhadap Anwar.

(Dipetik daripada Berita Harian online 17 Julai 2008)

Ini ULASANKU

Sepatutnya, polis yang kena buktikan terlebih dahulu kewujudan DNA manusia lain dalam dubur si Saiful tu. Kalau betul ada DNA manusia, bagi satu salinan kepada pihak DSAI dan barulah mintak DNA DSAI. Kemudian bandingkan. Kalau sama, siasat secara adil kerana tidak mustahil pihak hospital atau polis masih menyimpan DNA DSAI dari kes tahun 1998. Kalau tidak sama, Saiful telah buat fitnah.

Kalau pemeriksaan menunjukkan tiada DNA manusia, tiadalah liwat seperti yang didakwa dan Saiful dah buat fitnah lagi.

Ini perkara asas. Yang menuduh kena bagi bukti dulu barulah yang dituduh buat pembelaan. Kalau tidak DNA DSAI boleh dimanipulasi.


Tahniah Pendebat!  

Posted by zizane62 in


Malam tadi, seluruh rakyat Malaysia (yang ada Astro sahaja) berpeluang menonton secara langsung perdebatan terbuka antara Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) (Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat) dan Datuk Ahmad Shabery Cheek (DASC) (Menteri Penerangan).

Inilah julung kalinya diadakan perdebatan seumpama ini di Malaysia. Dalam nada berbaur sindiran, pendebat masih bijak mengawal emosi, tahniah!.

Bagiku Menteri Penerangan ini memang layak diberi pujian. Bukan kerana hujahnya (yang bagiku banyak keluar dari 'maudhu' debat) tetapi kerana keberaniaannya mempertahankan apa yang dirasakannya betul, berhadapan dengan antara 100 pemimpin terbaik dunia, DSAI.

Bukan sebarangan pemimpin kerajaan yang berani mengambil keputusan sebegini. Tahu akan dimalukan tetapi kerana tanggungjawab, beliau berani menyahut cabaran. Datuk Seri Syed Hamid ALbar yang banyak mengkritik DSAI akhir-akhir ini, beranikah? Yang sepatutnya berdebat dengan DSAI adalah Datuk Seri Najib Razak (DSNR) atau PM sendiri. Yang lebih cocok bagiku DSNR kerana seperti DSAI, mereka berdua inilah yang disebut-sebut akan menjadi Perdana Menteri suatu hari kelak.

Oleh itu, bakal Perdana Menteri kena meyakinkan kepada rakyat siapa yang lebih berkredibiliti, bijak menyusun ekonomi, berwawasan dan menjaga kesejahteraan rakyat. Barulah rakyat yakin.

Debat ini BERAT SEBELAH. PM dan TPM tidak sepatutnya membiarkan maruah mereka dijatuhkan dengan menghantar DASC. Pembaca boleh menilai, DSAI, bekas Menteri Kewangan selama 8 tahun lawan DASC, Menteri Penerangan 4 bulan. ADILKAH??? Hujah yang dikemukakan jauh berbeza dari segi kualitinya.

Pusing2....

Satu lagi, kalau betul ingin menunjukkan kepada rakyat Malaysia yang dakwaan DSAI menurunkan harga minyak tidak berasas, kenapa tidak ditunjukkan 'live' dalam RTM? Barulah rakyat tahu DSAI PEMBOHONG, kalau betul beliau membohongi rakyat. Ini tidak, hanya orang yang ada Astro boleh melihatnya. Mana asas untuk menyatakan yang benar, menyanggah yang batil??? Apa rasionalnya berbuat demikian sedangkan DASC adalah Menteri Penerangan, berkuasa penuh ke atas RTM. Siapa yang bagi arahan supaya tidak disiarkan 'live' dalam RTM?? Ada tangan lainkah?

Kalaulah semua rakyat Malaysia boleh melihat secara langsung bagaimana kaedah DSAI menurunkan harga minyak barulah rakyat boleh menilai masuk akal atau tidak.

Aku juga tidak faham mengapa DASC asyik lari daripada topik perbincangan. Kenapa perlu disentuh banyak peribadi DSAI? Kita kan bercakap tentang nak turunkan harga minyak? Tentang kebajikan rakyat? Minat betul DASC kepada DSAI...Itupun dah dijawab oleh DSAI secara ringkas dan padat, siap dengan cabaran lagi.

Suatu lagi yang agak melucukan bagaimana Tan Sri Datuk Nordin Kardi 'diajar' DSAI. Beliau dikenali sebagai seorang yang bijak 'mengenakan' seseorang tetapi kali ini beliau yang kena. Kasihan Nordin Kardi.

Kepada yang belum melihat debat ini, anda lihat sendiri rakaman debat ini di youtube atau blog DSAI, http://anwaribrahimblog.com dan buatlah pertimbangan secara adil kerana anda rakyat Malaysia, punyai hak ke atas apa yang berlaku dalam negara.

Hubbud Dunya - Cinta Dunia  

Posted by zizane62 in

Ramai yang masih belum mengadaptasi sepenuhnya konsep hubbud dunya (cinta dunia) dan hubbul akhirah (cinta akhirat) walaupun pada dasarnya memahami dengan sedalam-dalamnya terdapat hidup sesudah mati. Islam mengajar supaya umatnya mencintai Allah SWT dan Rasulullah SAW tanpa mengabaikan dunia sebagai ladang akhirat.


Formulanya mudah, cintakan Allah melahirkan rasa cinta kepada akhirat. Cintakan Allah akan mendapat keberkatan hidup dunia dan akhirat. Manifestasi dari rasa cinta ini adalah wujudnya keberaniaan menyanggah segala bentuk kebatilan yang melanda. Inilah Ashabul Kahfi akhir zaman.

Rasulullah menggelar mereka ini sebagai 'Ghuraba' berdasarkan sabda Baginda yang bermaksud, "Islam bermula asing dan kembali asing seperti permulaannya, maka bahagialah golongan Ghuraba. " Sahabat bertanya, "Siapa Ghuraba, ya Rasulullah?' Baginda bersabda, "Mereka ialah golongan yang memperbaiki keadaan yang dirosakkan oleh manusia," - Riwayat Ahmad.

Inilah sebahagian daripada manifestasi kecintaan terhadap Allah yang akhirnya menyedarkan umat manusia bahawa hubbud dunya secara semberono hanya akan menjauhkan cinta Allah kepada kita. Na'uzubillah...

10 tahun berlalu...Al-Fatihah  

Posted by zizane62 in

Hari ini genaplah 10 tahun Islam ibuku kembali ke rahmatullah. Beliau meninggal pada 7 Rejab 1419H bersamaan 28 Oktober 1998.


Sepanjang hidupnya, ibuku seorang yang cekal, tabah dan sanggup berbuat apa sahaja demi anak-anak dan suaminya. Segala pengorbanan si ibu pernah aku rasai, cuma tidak berkesempatan untuk membalasnya.

Antara pengorbanan yang tidak mungkin dapat dilupakan adalah kesanggupan ibuku pergi dari rumah ke rumah untuk menjual barangan perhiasan semata-mata untuk mengumpul duit untuk membeli kereta proton saga merah supaya dapat mengambilku pulang lebih awal daripada Tadika. Aku biasa diambil ayahku sekitar jam 2.30-3.00 petang. Waktu tadika habis jam 11.00 pagi.

Dan banyak lagi pengorbanan lain yang tidak mungkinkan terbalas semuanya.

Kasih-sayang arwah ibu, tidak akan setara dengan kasih-sayang orang lain. Ibarat baru semalam sentuhan, derai tawa, gurauan ibuku terngiang-ngiang di telinga. Adik-beradikku 7 orang semuanya, 6 lelaki, yang terakhir perempuan. Anak-anak lelaki biasanya cerewet dalam hal makanan. Biasanya kami akan bertanya, ini ikan apa? sayur apa? Untuk mendorong kami supaya makan, ibuku akan menjawab, "tok ikan nombor satu, sayor nombor satu".

Sehingga sekarang aku rindukan kata-kata begitu dari ibuku. Bangun pagi hujung minggu, ibu akan bertanya, nak makan apa? Nasik goreng? Memang ibu tahu apa yang aku gemari. Ibu, hanya ibuku yang tahu dan memahami selera makanku. Sebut saja, jarang aku menolak makanan ibu.

Nampak rambut panjang sikit, ibu akan memanggil-manggil anak bujangnya untuk digunting rambut. Semuanya dibuat sendiri oleh ibu. Semuanya sentuhan tangan ibu. Mungkin itulah yang menyebabkan kami adik-beradik lelaki tidak pandai berambut panjang sampai sekarang.

Ibuku hobinya menanam pokok bunga, memelihara ikan. Setiap kali tidur malamnya terganggu akibat asma, ibuku akan duduk di hadapan akuarium ataupun keluar melihat bunga-bunganya hatta jam 2 atau 3 pagi. Lebih-lebih lagi di saat-saat akhir pemergiannya. Semakin kerap 'berhubung' dengan ikan dan bunga-bunganya. Mungkin untuk menyatakan selamat tinggal.

Aku bermain bola, ibulah peminat nombor satu walaupun pada hakikatnya dia tidak tahu sukan bola. Dialah akan hadir setiap kali perlawanan diadakan. Kejayaanku sehingga keluar di dada akhbar, ibulah orang pertama yang aku beritahu dan segera dia mendapatkan surat khabar. Kadang-kadang aku geram bilamana dia mengkritik caraku bermain sedangkan satu pun dia tak tahu. Bila mengenangkan kembali saat itu, lucu ada, sayu pun ada.

Kalau keputusan peperiksaan kami adik-beradik cemerlang, ibu ibarat 'ayam bertelur sebiji, riuh sekampung'. Ibu akan berkongsi kecemerlangan anak-anaknya bersama adik-beradiknya. Dia amat rapat dengan adik-adiknya. Ibu sering berkata kepada adik-adiknya, "tidak mengapa hidupku susah sekarang tapi suatu hari kelak, anak-anakku akan membelaku". Kalaulah ibu masih hidup, mesti dia berbangga dengan kami semua lebih-lebih lagi abangku yang sudah bergelar Doktor Falsafah.

Kenangan-kenangan itu aku simpan sebaik-baiknya. Mudah-mudahan di Syurga Allah aku dapat berjumpa semula dengan arwah ibu. Al-Fatihah...

(Sumber didapati daripada laman sawang rasmi Malaysiakini di http://www.malaysiakini.com/news/85834)

Klik di atas imej tersebut untuk lebih jelas.

Mereka yang alim, tolong nyatakan pandangan  

Posted by zizane62 in


Subuh tadi aku dan isteri solat Subuh di Masjid Gita. Mendambakan kekhusyukan bacaan Ustaz Hashim Man Al-Hafiz, kami berdua masih berkesempatan masuk ke rakaat pertama walaupun sedikit terlewat.

Hanyut dalam bacaan surah dengan makhraj dan tajwid yang indah, tumpuanku terganggu dengan tangisan anak kecil yang memanggil-manggil nama ibunya dalam rakaat pertama. Memandangkan Al-Fadil Ustaz membacakan surah yang agak panjang (kebiasaannya memang begitu), tangisan tersebut terus kedengaran bahkan bertambah kuat pada suatu ketika. Seolah-olah anak kecil itu melihat sesuatu yang menakutkan, melolong tanpa perhatian si ibu.

Ahhh...khusyukku terganggu. Sempat lagi fikiranku melayang kenapa si ibu tidak menghiraukan si anak kecil? Mungkin khusyuk juga agaknya. Tangisan, jeritan terus kedengaran. Si ibu mungkin berasa sayang untuk 'keluar' dari solat untuk mententeramkan anak, lantas membiarkan suara itu kedengaran tanpa menyedari ianya mengganggu jemaah lain.

Dan tangisan, rintihan, jeritan tersebut terus kedengaran sepanjang rakaat yang kedua. Apabila selesai bacaan doa qunut, suara anak kecil itu mula perlahan tetapi semakin kedengaran menghampiri jemaah lelaki dan akhirnya terus senyap.

Setelah tazkirah, aku bertanya kepada isteriku. Rupa-rupanya, menyedari rintihannya tidak dilayan si ibu, anak kecil tadi pergi kepada ayahnya di saf hadapan. Terlihat sahaja kelibat anaknya berjalan ke saf hadapan, si ibu dengan serta-merta ’keluar’ dari jemaah dan mendapatkan si anak kecil tanpa sempat menghabiskan solatnya.

Timbul persoalan dalam diriku. Untuk seorang wanita bergelar isteri, yang manakah keutamaan padanya? Adakah menunaikan solat bersendirian sahaja di rumah menemani si anak kecil tidur ataupun berjemaah di masjid dengan membawa anak kecil yang mungkin mengantuk tanpa diawasi oleh sesiapa?

Mereka yang alim, tolong nyatakan pandangan untuk ingatan kita bersama.

Political Minded?  

Posted by zizane62 in

Sejak kebelakangan ini, posting blogku banyak menyentuh isu mutakhir politik yang berlaku dalam negara hinggakan ada di kalangan teman-teman yang mengambil berat bertanya ok ke kalau aku buat posting begitu.

Kalau nak dijawab, panjang lebarlah ulasannya. Cuma yang aku boleh kongsi adalah sebagai khalifah yang diutuskan untuk memakmurkan bumi Allah, aku juga bertanggungjawab untuk memastikan bumi yang makmur dipimpin oleh insan yang makmur. Bagaimana aku boleh membantu?

Aku boleh menyuarakan pandangan dan persoalan untuk difikirkan bersama oleh pembaca blog. Apa yang aku bangkitkan tidak semestinya menyatakan sokongan atau penolakan secara hakiki terhadap seseorang. Pemimpin yang menerajui negara adalah mereka yang akan membuat polisi dan peraturan negara. Secara tidak langsung kemakmuran kehidupan umat manusia bergantung kepada bagaimana pemimpin tersebut indah dari segi akhlaknya, cemerlang dari segi amanahnya dan taat dari segi pengabdian kepada Pencipta.

Jadi, seseorang pemimpin itu perlu bersih akhlaknya. Kalau ada dakwaan terlibat dengan kes pembunuhan atau liwat, lakukan penyiasatan secara adil dan saksama.

Bayangkan saudara saudari pembaca, kalau anda terlibat dalam sesuatu fitnah untuk menjatuhkan seseorang dan disebabkan kerjasama anda juga hidupnya menderita dan tidak mendapat haknya yang sepatutnya, bagaimana anda hendak menjawab di hadapan Allah SWT apabila ditanyakan kelak?

Tenteramkah anda duduk di tempat yang tidak sepatutnya anda duduk? Bagaimana dengan gaji atau elaun yang tidak sepatutnya dibayar kepada anda dan kemudiannya jadi darah daging anak isteri anda? Halalkah ia? Na'uzubillah...

Ingatlah, kita ada kehidupan kedua dan setiap yang kita lakukan di dunia pasti ada ganjaran atau balasan di akhirat kelak. Jadilah umat yang menyesal selagi masih hidup di dunia kerana menyesal apabila nyawa sudah tersekat-sekat, ianya sudah terlambat.

MEREKA PUNYAI SATU PERSAMAAN  

Posted by zizane62 in

Kedua-duanya mengharapkan suami merekalah yang layak untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Dan mereka akan menjadi 'the first lady' dan seterusnya menjadi 'ibu' kepada seluruh rakyat Malaysia.

Siapakah yang anda fikir sesuai untuk menjadi 'ibu' kepada rakyat Malaysia?

Ini Pendirian Ezam  

Posted by zizane62 in

Bekas Setiausaha Politiknya, Mohamad Ezam Mohd. Nor berkata, adalah mustahil kerajaan sengaja mereka-reka atau membuat konspirasi seumpama itu untuk menjatuhkan Anwar.

Menurutnya, perbuatan Anwar mengaitkan nama beberapa pemimpin negara dan kerajaan dengan konspirasi serta menuduh mereka membuat dakwaan itu untuk menjatuhkannya juga bercanggah dengan ajaran Islam.

(Sumber dipetik daripada Utusan malaysia 1 Julai 2008)

Inilah kenyataan pendekar yang pernah aku kagumi suatu ketika dahulu. Teringat ketika menghadiri ceramah Ezam, dialah sendiri yang mengatakan segala berlaku ke atas DSAI adalah suatu konspirasi politik tertinggi.

Malah buku dan VCD nya pun aku pernah beli.

Itulah manusia, rambutnya hitam tapi hati berbelang-belang.

p/s: Mungkin juga apa yang Ezam buat sekarang adalah satu strategi...