GALAKSI MUHSININ - SATU SUMBANGAN DAKWAH NYDP PERKEPIS  

Posted by zizane62 in


Akan terbit pada: 23 Julai 2008
Harga: RM19.00 (Semenanjung)/RM22.00 (Sarawak&Sabah)
Halaman: 320 muka surat
SINOPSIS

Galaksi Muhsinin adalah satu umat. Mereka berbilang bangsa tetapi bersatu. Mereka maju tetapi bertakwa kepada Tuhan. Misi mereka cuma satu: menyebarkan rahmat ke serata alam.

Tahun 2205. Keamanan galaksi ini mula tergugat. Orang Zion sentiasa mengintai peluang. Liga Lanun mahukan maruah mereka kembali. Maharaja Legion pula berikrar melunaskan sumpah maharaja Empayar Sibernatik Cyborg yang pertama.

Konflik tercetus apabila salah sebuah planet yang berlindung di bawah Galaksi Muhsinin cuba dijajah oleh pihak musuh. Konflik dilanjutkan lagi apabila kapal angkasa yang membawa rombongan haji hilang selepas diserang oleh pasukan yang tidak dikenali.

Kemakmuran yang dahulunya tiada tolok banding kini di ambang kehancuran. Di bawah kepimpinan Khalifah Zulqarnain, mampukah Detasmen Mujahidin Elit ke-15 mempertahankan kedaulatan galaksi?

BETUL KE SAIFUL DILIWAT???  

Posted by zizane62 in


Kepada yang belum mengenali Saiful Bukhari Azlan (baju biru), ini dia wajahnya. Dia mula dikenali setelah membuat laporan polis mendakwa diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ataupun Saiful kecewa setelah gagal masuk AF6?

Yang pastinya Saiful, Allah Maha Mengetahui. Lepas mati, kita ada satu lagi kehidupan yakni yang kekal abadi. Kalau dakwaan itu fitnah, pastilah tak berkat hidup Saiful, lebih-lebih lagi di akhirat. Bak kata Tn Guru Nik Aziz, orang yang fitnah kena laknat Tuhan. Saiful tak takut ke?

Kalau betul, Saifullah hero Islam sejati. Cayalah Saiful.

Pose istimewa bersama Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof.
Saiful buat apa di ofis TPM? Dapat projek besar?

Sumber berita kita banyak. ada yang pro kerajaan, ada yang pro pembangkang dan ada yang neutral.

Pro Pembangkang:
Harakahdaily
Malaysia today

Neutral:
Malaysiakini

Pro kerajaan:
Berita harian
Utusan Malaysia

Bacalah dari pelbagai sumber, kemudian anda nilailah sendiri.

Apa kata Dr. Asyraf Wajdi dan Ezam Md Nor?  

Posted by zizane62 in

Aku ingin sekali nak dengar respon dari dua anak muda ni memandangkan merekalah antara pejuang-pejuang muda yang berada di 'front-liner' sewaktu berlaku peristiwa pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) 10 tahun lalu atas tuduhan liwat dan rasuah.

Merekalah yang mempertahankan DSAI. Apa pendirian mereka sekarang?

Adakah mereka akan berdiri teguh di belakang tuduhan tersebut?

Atau mereka akan kembali mepertahankan DSAI?

Atau membisu seribu bahasa?

'Saspen' betul 'darama' ini....

Susahnya nak Berkuasa  

Posted by zizane62 in

Aku rasalah, nak dapatkan kuasa di Malaysia ni memang susah. Lebih-lebih lagi yang melibatkan jawatan utama dalam kepimpinan negara.

Memanglah satu fitrah manusia cinta kepada kuasa dan apa-apa pun sanggup dilakukan untuk mendapatkan kuasa dengan berlindung di sebalik pelbagai alasan. Dan memang susah bagi kita rakyat biasa untuk meneropong ke dalam hati mereka-mereka ini adakah perjuangan mereka ikhlas atau tidak.

Rakyat hanya boleh membuat keputusan melalui pilihanraya. Lebih dari itu, lambat-laun masuk 'jail'. Kalau lebih berani, boleh kena tuduhan liwat atau apa-apa supaya kena tahan polis dan akhirnya, kempunan nak berkuasa.

Semua rakyat Malaysia yang berakal dan peka tahu situasi politik tanah air yang berlaku mutakhir ini. Sebagai anak muda Islam, gerak hati mengatakan ada sesuatu yang pelik sedang berlaku. KEPERCAYAAN DAN KEYAKINANKU TERHADAP ISLAM sedang diuji semula.

Buat masa ini, aku menunggu perkembangan terbaru.

Marga Al-Qadri  

Posted by zizane62 in

(Dipetik daripada laman sawang Asyraaf Malaysia)

Yang pertama kali dijuluki (digelari) "Al-Qadri" adalah waliyullah Muhammad bin Salim bin Abdullah bin Muhammad Bin Salim bin Ahmad bin Abdurrahman bin Ali bin Muhammad bin Hasan Al-Muallim bin Muhammad bin Hasan Atturabi.

So'al gelar yang disandangnya karena Beliau dalam semua aspek kehidupannya selalu menyerahkan dirinya (pasrah) pada Taqdir Allah, terutama sewaktu ditimpa suatu Musibah (bencana). Hal tersebut menunjukkan bahwa beliau seorang yang beriman kuat sekali. Kata Taqdir berasat dari bahasa Arab yang sinonimnya yaitu "AI-Qadar".

Waliyyullah Muhammad Al-Qadri dilahirkan di Tarim Hadramaut. Dikurniai 2 orang anak lelaki yang melanjutkan keturunannya, masing-masing bernama :

  1. Abdullah, keturununnya hanya berada di Macha' (Hadramaut)

  2. Husein, keturunannya kebanyakan berada di Indonesia; termasuk diantaranya Sultan Abdurrahman bin Waliyyulah Al-Habib Husein bin Ahmad Al-Qadri, Pendiri Kota Pontianak (Kalimantan). Beliau dikurniai 6 anak. Wafat pada tahun 1231 Hijriyyah di Batu Layang Pontianak.

Waliyyullah Muhammad bin Salim Al-Qadri pulang ke Rahmatullah di kota Tarim pada tahun 1079 Hijriyyah.

Semoga Allah SWT memasukkan beliau ke dalam Syurga dan menghimpunkannya bersama-sama para Nabi, para Syuhada, para Auliya dan para Sholihin. Amin !.

Mengenali Habib Husein Al-Qadri (Siri 1)  

Posted by zizane62 in

HUSEIN AL-QADRI

Penyebar Islam Kalimantan Barat
Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

MENGENAI Habib Husein al-Qadri, tidak terlalu sukar membuat penyelidikan kerana memang terdapat beberapa manuskrip yang khusus membicarakan biografinya. Walau bagaimana pun semua manuskrip yang telah dijumpai tidak jelas nama pengarangnya, yang disebut hanya nama penyalin. Semua manuskrip dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi. Nama lengkapnya, As-Saiyid/as-Syarif Husein bin al-Habib Ahmad/Muhammad bin al-Habib Husein bin al-Habib Muhammad al-Qadri, Jamalul Lail, Ba `Alawi, sampai nasabnya kepada Nabi Muhammad s.a.w. Sampai ke atas adalah melalui perkahwinan Saidatina Fatimah dengan Saidina Ali k.w. Nama gelarannya ialah Tuan Besar Mempawah. Lahir di Tarim, Yaman pada tahun 1120 H/1708 M. Wafat di Sebukit Rama Mempawah, 1184 H/ 1771M. ketika berusia 64 tahun. Dalam usia yang masih muda beliau meninggalkan negeri kelahirannya untuk menuntut ilmu pengetahuan bersama beberapa orang sahabatnya.

PENDIDIKAN, PENGEMBARAAN DAN SAHABAT

Mengembara ke negeri Kulaindi dan tinggal di negeri itu selama empat tahun. Di Kulaindi beliau mempelajari kitab kepada seorang ulama besar bernama Sayid Muhammad bin Shahib. Dalam waktu yang sama beliau juga belajar di Kalikut. Jadi sebentar beliau tinggal di Kulaindi dan sebentar tinggal di Kalikut. Habib Husein al-Qadri termasuk dalam empat sahabat. Mereka ialah, Saiyid Abu Bakar al-`Aidrus, menetap di Aceh dan wafat di sana. Digelar sebagai Tuan Besar Aceh. Kedua, Saiyid Umar as-Sagaf, tinggal di Siak dan mengajar Islam di Siak, juga wafat di Siak. Digelar sebagai Tuan Besar Siak. Ketiga, Saiyid Muhammad bin Ahmad al-Qudsi yang tinggal di Terengganu dan mengajar Islam di Terengganu. Digelar sebagai Datuk Marang. Keempat, Saiyid Husein bin Ahmad al-Qadri (yang diriwayatkan ini)

Maka Habib Husein pun berangkatlah dari negeri Kulaindi menuju Aceh. Di Aceh beliau tinggal selama satu tahun, menyebar agama Islam dan mengajar kitab. Selanjutnya perjalanan diteruskan ke Siak, Betawi dan Semarang. Saiyid Husein tinggal di Betawi selama tujuh bulan dan di Semarang selama dua tahun. Sewaktu di Semarang beliau mendapat sahabat baru, bernama Syeikh Salim bin Hambal. Pada suatu malam tatkala ia hendak makan, dinantinya Syeikh Salim Hambal itu tiada juga datang. Tiba-tiba ia bertemu Syeikh Salim Hambal di bawah sebuah perahu dalam lumpur. Habib Husein pun berteriak sampai empat kali memanggil Syeikh Salim Hambal. Syeikh Salim Hambal datang menemui Habib Husein berlumuran lumpur. Setelah itu bertanyalah Habib Husein, ``Apakah yang kamu perbuat di situ?''
Jawabnya: ``Hamba sedang membaiki perahu.'' Habib Husein bertanya pula, ``Mengapa membaikinya malam hari begini?'' Maka sahutnya, ``Kerana siang hari, air penuh dan pada malam hari air kurang.'' Kata Habib Husein lagi, ``Jadi beginilah rupanya orang mencari dunia.'' Jawabnya, ``Ya, beginilah halnya.''

Kata Habib Husein pula, ``Jika demikian sukarnya orang mencari atau menuntut dunia, aku haramkan pada malam ini juga akan menuntut dunia kerana aku meninggalkan tanah Arab sebab aku hendak mencari yang lebih baik daripada nikmat akhirat.''

Habib Husein kembali ke rumah dengan menangis dan tidak mahu makan. Keesokan harinya wang yang pernah diberi oleh Syeikh Salim Hambal kepadanya semuanya dikembalikannya. Syeikh Salim Hambal berasa hairan, lalu diberinya nasihat supaya Habib Husein suka menerima pemberian dan pertolongan modal daripadanya. Namun Habib Husein tiada juga mahu menerimanya. Oleh sebab Habib Husein masih tetap dengan pendiriannya, yang tidak menghendaki harta dunia, Syeikh Salim Hambal terpaksa mengalah. Syeikh Salim Hambal bersedia mengikuti pelayaran Habib Husein ke negeri Matan.

Setelah di Matan, Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal menemui seorang berketurunan saiyid juga, namanya Saiyid Hasyim al-Yahya, digelar orang sebagai Tuan Janggut Merah. Perwatakan Saiyid Hasyim/ Tuan Janggut Merah itu diriwayatkan adalah seorang yang hebat, gagah dan berani. Apabila Saiyid Hasyim berjalan senantiasa bertongkat dan jarang sekali tongkatnya itu ditinggalkannya. Tongkatnya itu terbuat daripada besi dan berat. Sebab Saiyid Hasyim itu memakai tongkat demikian itu kerana ia tidak boleh sekali-kali melihat gambaran berbentuk manusia atau binatang, sama ada di perahu atau di rumah atau pada segala perkakas, sekiranya beliau terpandang atau terlihat apa saja dalam bentuk gambar maka dipalu dan ditumbuknya dengan tongkat besi itu.

KEDUDUKAN DI MATAN

Setelah beberapa lama Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal berada di Matan, pada suatu hari Sultan Matan menjemput kedua-duanya dalam satu jamuan makan kerana akan mengambil berkat kealiman Habib Husein itu. Selain kedua-duanya juga dijemput para pangeran, sekalian Menteri negeri Matan, termasuk juga Saiyid Hasyim al-Yahya. Setelah jemputan hadir semuanya, maka dikeluarkanlah tempat sirih adat istiadat kerajaan lalu dibawa ke hadapan Saiyid Hasyim. Saiyid Hasyim al-Yahya melihat tempat sirih yang di dalamnya terdapat satu kacip besi buatan Bali. Pada kacip itu terdapat ukiran kepala ular. Saiyid Hasyim al-Yahya sangat marah. Diambilnya kacip itu lalu dipatah-patah dan ditumbuk-tumbuknya dengan tongkatnya. Kejadian itu berlaku di hadapan Sultan Matan dan para pembesarnya. Sultan Matan pun muram mukanya, baginda bersama menteri-menterinya hanya tunduk dan terdiam saja. Peristiwa itu mendapat perhatian Habib Husein al-Qadri. Kacip yang berkecai itu diambilnya, dipicit-picit dan diusap-usap dengan air liurnya. Dengan kuasa Allah jua kacip itu pulih seperti sediakala. Setelah dilihat oleh Sultan Matan, sekalian pembesar kerajaan Matan dan Saiyid Hasyim al-Yahya sendiri akan peristiwa itu, sekaliannya gementar, segan, berasa takut kepada Habib Husein al-Qadri yang dikatakan mempunyai karamah itu.

Beberapa hari setelah peristiwa di majlis jamuan makan itu, Sultan Matan serta sekalian pembesarnya mengadakan mesyuarat. Keputusan mesyuarat bahawa Habib Husein dijadikan guru dalam negeri Matan. Sekalian hukum yang tertakluk kepada syariat Nabi Muhammad s.a.w. terpulanglah kepada keputusan Habib Husein al-Qadri. Selain itu Sultan Matan mencarikan isteri untuk Habib Husein. Beliau dikahwinkan dengan Nyai Tua. Daripada perkahwinan itulah mereka memperoleh anak bernama Syarif Abdur Rahman al-Qadri yang kemudian dikenali sebagai Sultan Kerajaan Pontianak yang pertama. Semenjak itu Habib Husein al-Qadri dikasihi, dihormati dan dipelihara oleh Sultan Matan. Setelah sampai kira-kira dalam dua hingga tiga tahun diam di negeri Matan, datanglah suruhan Raja Mempawah dengan membawa sepucuk surat dan dua buah perahu akan menjemput Habib Husein untuk dibawa pindah ke Mempawah. Tetapi pada ketika itu Habib Husein masih suka tinggal di negeri Matan. Beliau belum bersedia pindah ke Mempawah. Kembalilah suruhan itu ke Mempawah. Yang menjadi Raja Mempawah ketika itu ialah Upu Daeng Menambon, digelar orang dengan Pangeran Tua. Pusat pemerintahannya berkedudukan di Sebukit Rama.

HABIB HUSEIN PINDAH KE MEMPAWAH

Negeri Matan dikunjungi pelaut-pelaut yang datang dari jauh dan dekat. Di antara ahli-ahli pelayaran, pelaut-pelaut yang ulung, yang datang dari negeri Bugis-Makasar ramai pula yang datang dari negeri-negeri lainnya. Salah seorang yang berasal dari Siantan, Nakhoda Muda Ahmad kerap berulang alik ke Matan. Terjadi fitnah bahawa dia dituduh melakukan perbuatan maksiat, yang kurang patut, dengan seorang perempuan. Sultan Matan sangat murka, baginda hendak membunuh Nakhoda Muda Ahmad itu. Persoalan itu diserahkan kepada Habib Husein untuk memutuskan hukumannya. Diputuskan oleh Habib Husein dengan hukum syariah bahawa Nakhoda Muda Ahmad lepas daripada hukuman bunuh. Hukuman yang dikenakan kepadanya hanyalah disuruh oleh Habib Husein bertaubat meminta ampun kepada Allah serta membawa sedikit wang denda supaya diserahkan kepada Sultan Matan. Sultan Matan menerima keputusan Habib Husein. Nakhoda Muda Ahmad pun berangkat serta disuruh hantar oleh Sultan Matan dengan dua buah sampan yang berisi segala perbekalan makanan. Setelah sampai di Kuala, Nakhoda Muda Ahmad diamuk oleh orang yang menghantar kerana diperintah oleh Sultan Matan. Nakhoda Muda Ahmad dibunuh secara zalim di Muara Kayang. Peristiwa itu akhirnya diketahui juga oleh Habib Husein al-Qadri. Kerana peristiwa itulah Habib Husein al-Qadri mengirim surat kepada Upu Daeng Menambon di Mempawah yang menyatakan bahawa beliau bersedia pindah ke Mempawah.

Tarikh Habib Husein al-Qadri pindah dari Matan ke Mempawah, tinggal di Kampung Galah Hirang ialah pada 8 Muharam 1160 H/20 Januari 1747 M. Setelah Habib Husein al-Qadri tinggal di tempat itu ramailah orang datang dari pelbagai penjuru, termasuk dari Sintang dan Sanggau, yang menggunakan perahu dinamakan `bandung' menurut istilah khas bahasa Kalimantan Barat. Selain kepentingan perniagaan mereka menyempatkan diri mengambil berkat daripada Habib Husein al-Qadri, seorang ulama besar, Wali Allah yang banyak karamah. Beliau disegani kerana selain seorang ulama besar beliau adalah keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Dalam tempoh yang singkat negeri tempat Habib Husein itu menjadi satu negeri yang berkembang pesat sehingga lebih ramai dari pusat kerajaan Mempawah, tempat tinggal Upu Daeng Menambon/Pangeran Tua di Sebukit Rama. Manakala Upu Daeng Menambon mangkat puteranya bernama Gusti Jamiril menjadi anak angkat Habib Husein al-Qadri. Dibawanya tinggal bersama di Galah Hirang/Mempawah lalu ditabalkannya sebagai pengganti orang tuanya dalam tahun 1166 H/1752 M. Setelah ditabalkan digelar dengan Penembahan Adiwijaya Kesuma.

Akan kemasyhuran nama Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah itu tersebar luas hingga hampir semua tempat di Asia Tenggara. Pada satu ketika Sultan Palembang mengutus Saiyid Alwi bin Muhammad bin Syihab dengan dua buah perahu untuk menjemput Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah datang ke negeri Palembang kerana Sultan Palembang itu ingin sekali hendak bertemu dengan beliau. Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah tidak bersedia pergi ke Palembang dengan alasan beliau sudah tua.

WAFAT

Dalam semua versi manuskrip Hikayat Habib Husein al-Qadri dan sejarah lainnya ada dicatatkan, beliau wafat pada pukul 2.00 petang, 2 Zulhijjah 1184 H/19 Mac 1771 dalam usia 64 tahun. Wasiat lisannya ketika akan wafat bahawa yang layak menjadi Mufti Mempawah ialah ulama yang berasal dari Patani tinggal di Kampung Tanjung Mempawah, bernama Syeikh Ali bin Faqih al-Fathani.

Insya-Allah, dalam ruang dan kesempatan yang ada kelak, aku akan menyatakan pandanganku berhubung dengan industri Multi Level Marketing (MLM). Sejak akhir-akhir ini aku sering 'diasak' untuk menyertai dan terlibat secara aktif dalam industri MLM ini. Dengan tidak menafikan kebaikan yang dibawanya, aku juga mempunyai pandangan dari sudut yang berlainan.

Sesudah kesekian kalinya menelaah bagaimana untuk menjadikan isi blog nampak lebih menarik, aku akhirnya berjaya. Kalau tidak bagi orang lain, bagi aku ada peningkatan.

Singgah di blog Sdra. Azrul menarik perhatianku dengan novel terbarunya yang akan keluar dalam masa terdekat. Sudah tentu aku akan mendapatkannya dan menambahkan royalti jualan Sdra. Azrul. Sememangnya beliau Allah anugerahkan dengan kebolehan menulis dengan baik. Semoga anugerah ini terus digunakan untuk manfaat Islam.

Panduan Solat Hajat  

Posted by zizane62 in

Bagi sesetengah orang yang bukan daripada latarbelakang pendidikan agama, banyak perkara yang merunsingkan dan kadang-kadang mengelirukan apabila berdepan dengan permasalahan hukum atau panduan dalam mengerjakan sesuatu ibadah.

Contohnya dalam melaksanakan solat sunat hajat. Dari sekolah rendah ke sekolah menengah hinggalah sekarang, pelbagai versi solat hajat yang aku pelajari daripada mereka yang berpendidikan agama. Lebih-lebih lagi dalam bilangan bacaan, surah yang dibaca, sujud meminta hajat sebelum atau selepas salam.

Ustaz ini kata begini, ustazah itu kata begitu. Bagiku yang bukan dari 'mainstream' agama, satu pun aku katakan tidak betul. Siapalah aku untuk mengatakan ini betul atau itu salah. Silap-silap, Dr Asri memfatwakan aku sesat.

Cuma aku ingin berkongsi kaedah pelaksanaan solat sunat hajat seperti yang tertulis di dalam kitab Al-Qirthaas, Syarah Raatib Qutub Al Anfaas Alhabib Umar Bin Abdurrahman Al-Attas yang ditulis oleh Al'Allaamah Alhabib Ali Bin Hasan Abdullah Bin Husen Bin Umar Al-Attas Baa'alawi Alhadhrami.

Menurut Asy Syaikh Abul Khair Alyamaani Asy Syarji yang telah mengutip dari Muhammad bin Darsituwiyyah, ia telah berkata:" Aku telah melihat pada Kitab Al Imam Asy Syafi'i (rahimahullah) yang ditulisnya sendiri tentang 'Solat Hajat' untuk 1000 (seribu) hajat atau keperluan, yang diajarkan oleh Nabi AlKhidhir kepada sebahagian hamba-hamba Allah iaitu melakukan solat 2 (dua) raka'at sebagai berikut:

Pada raka'at pertama: Membaca Al-Fatihah dan surah Al-Kafirun (10 kali)

Pada raka'at kedua: Membaca Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas (11 kali)

Kemudian sesudah salam, ia sujud kembali sambil membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW 10 kali disusuli dengan mengucapkan "Subhaanallah Walhamdulillah Walaa Ilaha Illallah Wallahu Akbar Walaa Haula Wala Quwata Illa Billahil A'liyyil A'zim" sebanyak 10 kali. Kemudian disusuli dengan "Rabbana Aatina Fiddunya Hasanah Wafil Aakhirati Hasanah Waqina A'zabannar" sebanyak 10 kali juga. Kemudian mintalah hajat kepada Allah, Insya-Allah akan terkabul.

Alhakim berkata,"Barang siapa yang melaksanakan solat sunat hajat, hendaklah ia mandi pada malam Jumaat dan memakai pakaian yang bersih dan solatlah di waktu sahur dengan niat mohon dipenuhi hajatnya".

Mudah-mudahan dengan adanya sedikit ilmu ini akan menambahkan pengetahuan kita untuk dikongsi bersama umat-umat Islam yang lain.

Wallahua'lam.

(Nota: Bacaan ayat Quran dalam bentuk tulisan rumi boleh mengandungi kesilapan. Bacaan yang terbaik adalah dalam bentuk tulisan Arab itu sendiri. Harap maaf sekiranya terdapat kesilapan pada tulisan rumi tersebut)






Pesan Dr. Yusuf al-Qaradhawi  

Posted by zizane62 in

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah menetapkan di dalam bukunya ‘Nasr Jail al-Mansyud’ bahawa generasi muda perlulah mempunyai ciri-ciri seperti: berpegang dengan realiti dan tradisi keilmuan, bekerja untuk membina masyarakat, bersifat rabbaniyyah dan penuh keikhlasan, menghayati Islam dengan sebenarnya dan bukan melalui keturunan atau suasana, berdakwah dan berjihad, mempunyai kekuatan dan rasa ‘izzah serta bersifat fleksibel dan sederhana.

Beliau juga di dalam kitabnya, ‘Kritikan dan Saranan untuk Para Da’ie’ menambah beberapa ciri lain, iaitu berpandangan jauh, kreatif, inovatif, personaliti yang disenangi umum, berfikiran strategik, berketrampilan, berdinamisme dan mempunyai ketahanan diri yang tinggi.

Analisis Mudah Kesan Kenaikan Harga Minyak  

Posted by zizane62

Kenaikan harga minyak dalam tempoh seminggu yang lepas seperti diduga telah menyebabkan 'kesan domino' kepada kos-kos barangan dan perkhidmatan yang lain.

Boleh dikatakan semua lapisan masyarakat tidak bersetuju dengan langkah ini. Iyalah, siapa yang suka kan?

Aku ingin berkongsi analisis mudah untuk dinilai oleh pembaca. Analisis ini mengambil contoh caj perjalanan kereta/van sapu dari Kuching ke Sebuyau. Agak mudah untuk mengagak berapa margin keuntungan yang diperolehi oleh pemandu-pemandu ini.

Aku menggunakan kadar keretaku sendiri, Myvi 1.3. Sebelum harga minyak naik, kos petrol yang aku perlu tanggung adalah RM30 (perjalanan pergi-pulang). Kos ini tanpa menggunakan 'aircond' (pemandu van/kereta sapu pun bukannya menggunakan 'aircond'). Jika dibahagikan dengan kadar lama per liter untuk petrol iaitu (RM30/RM1.92), aku hanya menggunakan sebanyak 15.625 liter petrol untuk perjalanan pergi-pulang Kuching-Sebuyau-Kuching. Jadi kos petrol adalah RM30.

Caj sebelum ini adalah RM20 untuk perjalanan Sebuyau-Kuching dan sebaliknya. Katakan dalam sebuah kereta aku membawa 4 orang (kebanyakannya kereta sapu seperti Kancil, Proton Saga, Van tak usah dikata, lagipun van menggunakan diesel). Jadi, pulangan yang aku perolehi adalah RM20 x 4 orang = RM80. Ditolak dengan kos petrol RM30, jadi keuntungan untuk satu perjalanan adalah RM80 - RM30 = RM50.

Ingat, satu perjalanan RM50. Kalau pergi pulang RM50 x 2 = RM100. RM100 sehari untung tak besar ke?

Sekarang apa berlaku bila minyak naik. Pemandu sekarang mengenakan caj RM25 seorang untuk satu perjalanan. Bermakna dalam satu kereta dengan penumpang 4 orang pulangannya adalah RM100. Kos pula bagaimana? Begini. Petrol yang digunakan tetap sama iaitu 15.625 liter untuk perjalanan pergi pulang. Yang berbezanya adalah kadar per liter. Bermakna, 15.625 liter x RM2.70 (kadar baru) = RM42.20.

Pulangan RM100 ditolak dengan kos petrol RM42.20, jadi keuntungan untuk satu perjalanan adalah RM100 - RM42.20 = RM57.80. Kalau return trip dah untung RM57.80 x 2 = RM115.60.

Untung sebelum kenaikan = RM100
Untung selepas kenaikan = RM115.60

Pertambahan keuntungan kepada pemandu RM115.60 - RM100 = RM15.60.

Jadi, boleh dikatakan kenaikan harga minyak ini menambahkan keuntungan kepada pengusaha kerana sedikit sebanyak 'profit margin' mereka dapat dinaikkan (inilah peluangnya!) dengan alasan harga minyak naik! Untung akan bertambah besar sekiranya pemandu menggunakan van dengan Diesel sebagai bahan bakar. Wah!!Untung2 atas kenaikan harga minyak ni...

Kesannya, sudah tentu 'final user' iaitu pengguna dan penumpang. Adilkah begini? Anda bayangkan pula bagaimana dengan barangan/perkhidmatan lain?

Pokoknya, peniaga tidak akan mahu rugi atau mengurangkan margin keuntungan kerana itu adalah tujuan berniaga (mendapatkan keuntungan). Akhirnya, segala kos akan dipulangkan kepada pengguna. Lainlah kalau dapat dijelaskan kepada aku kaedah yang digunakan dan rasional peniaga/pemandu untuk menaikkan harga barangan/perkhidmatan. Alangkah senangnya kalau aku seorang menteri, semuanya 'free' sebab dapat elaun daripada cukai rakyat.

Ini adalah analisis mudahku yang berlatarbelakangkan Perakaunan sebagai disiplin ilmu.

Pembaca dialu-alukan untuk menyuarakan pandangan.