Surah An-Nur : 32  

Posted by zizane62

"Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui."

Jadilah Pelajar Berjasa  

Posted by zizane62

Zaman dan perubahannya semakin hari semakin mendepani kita. Sedikit sahaja kita terleka, banyak perkara yang kita ketinggalan. Ditambah lagi dengan kelekaan yang sengaja kita ada-adakan, menambahkan lagi jurang di antara kita dan masa depan. Mungkin di saat ini generasi pelajar perlu melihat pada diri sendiri. Apa yang kurang dan perlu diperbaiki. Apatah lagi sekiranya topik ini dikupas dalam konteks pelajar Islam di bumi Sarawak yang penuh dengan keindahan dan kehijauan flora dan faunanya.


Adakalanya kita terlalu menoleh ke depan dan terus melupakan apa yang telah berlalu. ‘Zon selesa’ yang kita nikmati selama ini perlu dipertahankan dan adakalanya perlu difikirkan kewajarannya untuk kita pertahankan sekiranya ia melibatkan persoalan maruah dan jatidiri. Apalah makna ‘keselesaan’ yang ingin kita pertahankan kalau maruah dan jatidiri menjadi taruhannya. Identiti pelajar Islam yang kita pegang bukan saja bertapak pada nama semata-mata tetapi perlu dihayati dan difahami dengan sepenuh jiwa. Dalam menghayatinya, perlu untuk kita renungi peranan kita sebagai khalifah melalui Firman Allah di dalam Surah “Dan tidak aku jadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu” (Surah Al-Dzariyat:56)

Setelah mencapai kemerdekaan yang ke-47 untuk Malaysia dan meraikan tahun ke-42 Sarawak dan Sabah bergabung dengan Tanah Melayu untuk membentuk Negara berdaulat Malaysia, terlalu banyak perkara yang telah berubah. Perubahan dari segi pembangunan, ekonomi, kebudayaan, politik, sosial, taraf hidup dan banyak lagi. Perubahan yang tidak mengenal erti sempadan. Tentunya yang paling hebat menerima kesan daripada perubahan tersebut adalah generasi pelajar yang mempunyai semangat ingin tahu yang tinggi dalam apa jua perkara.

Dalam kita berbicara tentang perubahan demi perubahan yang berlaku, satu persoalan yang ingin ditimbulkan semula adalah apakah peranan yang kita mainkan sebagai seorang pelajar Islam? Kenapa perlu kita yang menggerakkan peranan ini? Menurut Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, zaman muda adalah zaman kekuatan di antara dua zaman, iaitu zaman kanak-kanak dan zaman tua. Zaman inilah yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya kerana di zaman ini kita masih mempunyai tulang empat kerat yang kuat, semangat yang membuak-buak dan akal fikiran yang dinamik. Adalah salah sekiranya nikmat ini kita halakan kepada perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat seperti melepak, berlumba haram, berseronok di tempat-tempat yang tidak elok dan sebagainya.

Lihat sajalah anak-anak muda di Zaman Rasulullah SAW seperti Ali bin Abi Talib, Zaid bin Harisah, Zubir bin Awwam, Saad bin Abi Waqqas, Talhah bin Ubaidullah, Abu Ubaidah Al-Jarrah dan lain-lainnya rata-rata masih remaja semasa menyahut seruan Rasulullah SAW dan menjadi perisai baginda semasa baginda dalam kesusahan. Mereka inilah antara nama-nama yang banyak berjasa kepada sejarah perjuangan Islam sehinggakan baginda Rasulullah SAW berbangga dengan semangat yang mereka tunjukkan melalui sabda baginda; “Sesungguhnya Allah telah mengurniakan kepadaku pengkhabaran gembira dan berupa peringatan. Di kala aku ditentang hebat oleh golongan tua, aku didokong oleh golongan muda”.

Inilah contoh-contoh kita dan bukannya artis-artis remaja semasa yang lebih membawa kepada kelalaian daripada ingatan kita kepada Allah dan Rasul-Nya. Dalam konteks kita di Malaysia, banyak nama-nama gah yang dilahirkan seperti Nur Amalina Che Bakri yang mendapat 17 A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia, Melati Abdul Hamid yang menjadi pemidato terbaik dunia, Nazmil Faiz, yang berjaya mendapatkan PHD melalui kajiannya tentang pengurangan geseran melibatkan teknologi nano dan mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Britain walaupun SPM mendapat pangkat 3 dan banyak lagi contoh-contoh lain yang kita perlu banggakan. Inilah anak-anak bangsa kita dan inilah dia keluaran Islam. Inilah ikutan kita yang sebenarnya.

Pelajar-pelajar Islam di Sarawak perlu menjadi generasi perubah, agen yang membawa kepada perubahan dari segi sikap dan cara berfikir. Allah berfirman; “Dan tidak sekali-kali Tuhanmu hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya selagi mana ada di kalangan mereka orang yang memperbaikinya” (Surah Hud:17)

Pendapat yang mengatakan bahawa kita hanya perlu menumpukan terhadap pelajaran selama mana masih bergelar pelajar perlu dikikis dari mentaliti pelajar-pelajar kita. Kepentingan akademik adalah perkara utama, itu sesuatu yang jelas dan tiada perbahasan. Ada kebenarannya tetapi perlu diperhalusi juga dari sudut yang berlainan. Untuk melahirkan pelajar yang cemerlang tidak memadai dengan hanya menghadap buku pelajaran semata-mata. Daya pemikiran perlu dikembangkan dalam suasana yang lebih membina dan merangsang daya fikir yang kreatif dan kritis. Penglibatan pelajar dalam aktiviti kemasyarakatan perlu dititikberatkan. Tidak hanya terhad dengan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah atau universiti, tetapi inisiatif individu dan ibubapa untuk menggalakkan anak-anak terlibat dengan aktiviti agama dan kemasyarakatan juga merupakan ‘formula’ terbaik dalam ‘persamaan’ ini.

Kefahaman perlu ada dalam diri setiap pelajar Islam. Untuk membina sebuah tamadun Islam yang berdaya saing, tenaga kita perlu digerakkan. Jangan jadikan matlamat hidup kita suatu yang sia-sia. Adakah matlamat kehidupan yang kita tetapkan hanya untuk mendapatkan pendidikan yang sempurna dan cemerlang; mendapat pekerjaan yang baik, berkereta besar, berumah besar dan membina keluarga yang bahagia tanpa memikirkan kepentingan dan keperluan saudara Islam kita yang lain? Inilah yang dikatakan hidup nafsi-nafsi, hanya untuk kepentingan sendiri. Tidak layak untuk pelajar-pelajar Islam untuk memejam sebelah mata, memekak sebelah telinga, mengikat sebelah kaki ataupun memangku sebelah tangan terhadap apa jua masalah yang melatari umat Islam. Marilah kita merenung sabda baginda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang tidak mengambil berat perihal orang Muslim yang lain maka dia bukanlah termasuk daripada kalangan mereka. Sesiapa yang tidak menjadi penasihat untuk Allah, Rasul-Nya, pemimpin umatnya dan orang awamnya maka dia bukanlah daripada kalangan mereka” (Riwayat At-Thobrani)

Dari saat ini, marilah kita bersama-sama melakukan transformasi, mengorak langkah anak muda dari segi sikap dan cara berfikir. Kikiskan budaya lama yang selama ini sudah membekas dalam diri kita. Bermula dari diri kita seterusnya generasi-generasi berikutnya, wujudkan budaya untuk melibatkan diri dan mengerahkan tenaga demi kepentingan Islam khususnya dan masyarakat umumnya. Jadilah pelajar yang berjasa kepada masyarakat terutamanya kepada anak-anak agama dan bangsa kerana inilah merupakan ‘jual-beli’ yang telah Allah janjikan selaras dengan firman-Nya;

“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang Mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berpegang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka gembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (Surah At-Taubah:111)